DZC <[EMAIL PROTECTED]> wrote:
 

MENGENALI YANG MAHA PENCIPTA 

 

Tuhan bagi alam semesta ialah Allah subhanahu wataala. Allah ialah Tuhan yang esa yang tidak ada sebarang sekutu bagiNya sama ada di dalam bentuk anak, isteri, roh suci atau yang lain-lainnya. Allah berfirman: dalam surah Al-Ikhlas ayat 1-4, “Katakanlah: Dialah Allah Tuhan Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada seorang pun yang setara dengannya.”

 

Konsep keesaan Tuhan bukanlah suatu konsep yang baru kerana kebanyakan agama berpegang dengan konsep ini, sebagai contoh, agama Judaisme, Kristian dan Hindu. Di dalam agama Judaisme, konsep ini telah ditekankan di dalam ayat Shema iaitu ayat yang terdapat di dalam bab Deuteronomy yang bermaksud, “Tuhan kita ialah Tuhan yang satu.” (Deuteronomy 6:4) 1500 tahun selepas itu, Nabi Isa menekankan tentang konsep ketuhanan yang sama, seperti yang disebutkan di dalam Bible dalam Gospel Mark, "The first of all the commandments is, Hear, O Israel; the Lord our God is one Lord." (Mark 12:29)  Ia bermaksud, “Yesus menjawab: ‘Inilah perintah yang paling utama. Dengarlah hai bangsa Israel! Tuhan Allah kita, Dialah Tuhan Yang Esa’.” Konsep keesaan Tuhan juga telah ditekankan di dalam agama Hindu. Di dalam Shetash-watar Upanishad bab 6 mantra 11 disebutkan, “Tuhan bagi alam semesta ialah Dia Tuhan yang satu.”

 

Allah tidak dapat dilihat dengan menggunakan mata atau pancaindera, sebaliknya Allah akan dikenali dengan mengamati kejadian langit, bumi serta manusia kerana alam serta makhluk insan menyimpan seribu satu rahsia tentang keagungan Ilahi dan ia akan terserlah apabila manusia mengkaji dan bertafakur tentangnya. Nabi s.a.w bersabda, “Berfikirlah tentang penciptaan yang telah Allah lakukan tetapi janganlah berfikir tentang Zat Allah.” (Riwayat Abu Naeem)

 

Akal adalah alat penting untuk mengenali Allah. Pengamatan yang mendalam tentang diri dan alam boleh mendekatkan seseorang kepada Allah. Allah berfirman dalam surah Al-Mukminuun ayat 78-80, “Dan Dialah yang telah menciptakan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati. Amat sedikitlah yang bersyukur. Dan Dialah yang menciptakan serta meramaikan kamu di bumi ini dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan. Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah yang (mengatur) pertukaran malam dan siang. Apakah kamu tidak berfikir tentangnya?”

 

Imam Abu Hanifah pernah ditanya oleh sekumpulan manusia tentang bukti kewujudan Tuhan Yang Maha Pencipta, dan beliau menjawab: “Aku sedang berfikir tentang sebuah kapal di laut yang sarat dengan muatan dan barang dagangan tetapi yang peliknya kapal ini tidak ada nakhoda dan anak-anak kapal. Ia belayar ke sana ke mari dan menyelesaikan masalah dengan sendirinya”. Mereka yang mendengar perkataan Imam Abu Hanifah ini terus berkata: “Ini adalah satu kisah gila yang tidak masuk akal”. Imam Abu Hanifah terus menjawab: “Kamu menganggap orang yang mengatakan kapal boleh belayar dengan sendirinya adalah seorang yang gila. Bagaimana pula dengan golongan yang mengatakan, alam ini yang begitu halus dan tersusun kejadiannya, terjadi dengan sendirinya tanpa Pencipta dan Pengurus?” Golongan yang menemui Imam Abu Hanifah itu terus tergamam dan akhirnya mengucap dua kalimah syahadah.

 

Imam Syafie pula ketika ditanya tentang dalil kewujudan Allah telah berkata: “Lihatlah daun Tut ini (mulberry leaves). Apabila dimakan oleh ulat, ia mengeluarkan sutera. Apabila dimakan oleh lebah, ia mengeluarkan madu. Apabila dimakan oleh binatang ternakan, ia mengeluarkan najis. Apabila dimakan oleh rusa, ia mengeluarkan kasturi. Bagaimana semua ini boleh berlaku sedangkan daun yang dimakan adalah sama jenisnya?”

 

Di dalam kitab Tafsir Al-Quran Al-Azim, Imam Ibn Kathir berkata: “Sebahagian ulama berpendapat, sesiapa yang mengamati langit yang luas dengan bintang-bintang, bulan dan matahari yang beredar di atas paksinya tanpa henti, kemudian memerhatikan laut yang mengelilingi tanah daratan, kemudian memerhatikan bumi serta gunung ganang yang terpancang di atasnya, kemudian memerhatikan sungai yang mengalir....... di samping pelbagai jenis haiwan serta tumbuh-tumbuhan, akan memperolehi bukti tentang kewujudan Tuhan Yang Maha Pencipta lagi Maha Agung dan Maha Bijaksana”.

 

Mereka yang mencintai Allah amat mencintai Al-Quran dan As-Sunnah serta suka berzikrullah. Berhubung dengan ini, Imam Al-Ghazali berkata: “Antara tanda kecintaan hamba terhadap Allah ialah kesukaan seseorang untuk berzikir kepada Allah serta tidak lesu lidah dan tidak kosong hatinya dari zikrullah. Hal ini disebabkan, mereka yang mencintai sesuatu pasti akan sentiasa mengingati dan menyebut-nyebut tentangnya. Justeru, mereka yang mencintai Allah akan mencintai zikrullah sekali gus mencintai Al-Quran kerana Al-Quran adalah Kalam Allah. Mereka juga akan mencintai Rasulullah kerana Rasulullah dikasihi oleh Allah. Sahl bin Abdullah telah berkata: ‘Di antara tanda kecintaan seseorang terhadap Allah ialah dia mencintai Al-Quran. Tanda bahawa seseorang mencintai Allah dan Al-Quran ialah dia mencintai Nabi s.a.w, dan tanda seseorang mencintai Nabi s.a.w ialah dia mencintai As-Sunnah. Tanda seseorang mencintai As-Sunnah ialah dia mencintai akhirat. Tanda seseorang mencintai akhirat ialah dia memarahi dunia. Tanda seseorang memarahi dunia ialah dia tidak mengambil daripada dunia melainkan perbekalan yang diperlukan untuk sampai ke akhirat”.

 

Bersikap pengasih dan penyayang kepada hamba-hamba Allah juga merupakan sebahagian daripada manifestasi kecintaan terhadap Allah. Imam Al-Ghazali berkata: “(Mereka yang mencintai Allah) bersikap pengasih dan penyayang kepada semua hamba Allah dan sebaliknya bersikap keras terhadap musuh-musuh Allah. Mereka juga membenci golongan yang suka mengerjakan maksiat terhadap Allah. Celaan dan cacian manusia tidak mempengaruhi mereka (kerana perkara yang paling penting bagi mereka ialah terhindar dari kemurkaan Allah.)”

 

Nukilan Hamba Allah,

Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Alexandria),

Penulis buku "Perubatan Islam Dan Bukti Sains Moden", "Empayar Minda Muslim" dan "The Misunderstood Religion."

 



Solehah women SMILE in trouble, gather strength from DOA and grow brave by ISTIGHFAR & SOLAT.
 


Do you Yahoo!?
Yahoo! SiteBuilder - Free, easy-to-use web site design software

Kirim email ke