Note: forwarded message attached.
Do you Yahoo!?
Yahoo! Domains - Claim yours for only $14.70/year
--- Begin Message ---Assalammualaikum... Kepenatapan Along yang dirindui selalu,Termasuk yang ini, aku tidak pasti untuk kali ke berapakah warkah aku layangkan buatmu. Setiap kali harapan kusidai agar Along kembali menitipkan bicara buatku, setiap kali itu jugalah harapan murni itu akan tersadai. Namun aku tidak pernah berputus asa. Demi darah yang mengalir di dalam tubuhku. Demi insan mulia itu yang masih menantimu. Dan demi esokmu yang lebih bermakna, aku lagang jua tikar bicara. Moga untuk kali ini, Along bisa memahami segalanya dengan hati yang jitu. Tatkala aku coretkan warkah ini, malam begitu sunyi. Sesunyi hatiku. Sesunyi hati Idham, Farhan dan Idiza. Malah lebih daripada itu, kesunyian lebih hebat mencengkam di sukma ibu. Semenjak Along pergi meninggalkannya, ibu sering berkata... dia rindukan Along. Rindukan suasana bagai yang pernah dinikmati dulu. Dulu yang mengikat sopan-santun dan budi pekerti Along. Kudengar getar suara ibu mengalunkan surah Yassin. Menghadiahkan buat arwah ayah yang terpanggil lebih dulu. Tahukah kau Along, telah dua musim ayah pergi meninggalkan kita? Pergi bersama terkilan rasa. Tanya ayah... mengapa di saat-saat akhir ini, ayah telah kehilangan seorang daripada lima orang anak ayah? Mengapa di sisi ayah cuma empat? Sedang sebenarnya ayah mempunyai Irdina, Idinaz, Farhan, Idham dan Idiza. Berulang kali ayah bertanya begitu. Namun satu pun tak terjawab. Ibu hanya mampu memandang wajahku dengan sinar mata yang berkaca. Ada sesuatu yang meruntun kalbu. Namun tak terluahkan. Terlintas di fikiranku, mengapa tergamak Along melukakan hati ibu. Hati ayah. Hati kami adik-adik. Mengapa Along tinggalkan syurga kasih sayang kita sekeluarga. Tidak tersentuhkah hati Along dengan jerih payah ayah mencari rezeki? Tidak cukup dengan pengorbanan ayah, ibu turut membantu. Lima orang anak ayah, semuanya bersekolah. Tiga di peringkat menengah. Dua di sekolah rendah. Bayangkan segala perbelanjaan yang perlu disediakan. Segala keperluan yang harus dipenuhi. Pernahkah wang belanja Along ke sekolah terputus? Tak pernah kan, Along? Along dididik dengan penuh kasih sayang. Dijentik sekalipun payah. Perasaaan dijaga. Tetapi, mengapa Along tidak mahu menjaga hati ibu? Hati ayah? Hati kami adik beradik? Mengapa tergamak melukakan hati kami semua dengan tindakan mengikut perasaan? Tunduk kepada runtunan hati remaja. Yang masih kabur menilai antara kaca dan permata. Along anak sulung. Along harapan ibu ayah. Biar menjadi contoh pada adik-adik. Dan sememangnya Along pelajar cemerlang. Keputusan peperiksaan Along jarang mengecewakan. Sejuk perut ibu yang melahirkan. Bangga hati ayah yang bersusah payah mencari rezeki untuk kita sekeluarga. Terasa hilang penat lelah. Cita-cita Along mahu menjadi pendidik. Ibu merestui. Ayah menggalakkan. Sesuai benar dengan jiwa Along seorang wanita. Setiap kali menandatangani kad prestasi Along, ayah tak lupa mengalungkan ucapan tahniah. Belajar sungguh-sungguh, Along. Nanti adik-adik bangga dengan Along. Biar Along menjadi pembuka tirai kejayaan keluarga kita. Tinggi harapan ibu. Harapan ayah. Setinggi kasih sayang terhadap Along. Tetapi sudahnya, apa yang ada? Along berubah sejak kenal si Beeba. Kata Along, dia rakan yang baik. Along kenalnya di mana? Selamba jawab Along, di pusat membeli belah di bandar. Pastinya perkenalan itu tercipta sewaktu Along lepak di situ. Argh Along, tahun itu tahun penting buat Along. SPM menanti Along dengan seribu ranjaunya. Bersedia menerima rempuhan keyakinan Along. Biar tercapai impian pangkat satu. Tetapi malang yang teramat walang, tahun itulah yang menyaksikan perubahan sikap Along. Setiap pagi lagak Along bagai biasa. Lengkap berpakaian sekolah. Tetapi langkah Along melencong ke lain. Along lepak di pusat permainan video. Menghabiskan duit saku yang dibekalkan ibu. Along jamu mata dengan merayau-rayau di pusat membeli-belah. Along juga sudah pandai pulang lewat. Bila ditanya, pantas Along menyatakan ada kelas tambahan. Benarkah itu, Along? Masih ingat tak lagi pada peristiwa malam itu? Hari itu Along pulang lewat dari biasa. Jam 9 malam Along sampai di rumah. Pulang dengan pakaian biasa. Ke mana baju sekolah Along? Ayah hairan. Ibu pun begitu. Tidakkah pagi tadi Along keluar dengan pakaian sekolah? Mengapa pula bertukar baju? Kata Along - "Along pinjam baju kawan, mak. Baju sekolah Along kotor sebab Along terjatuh." Maha Suci Allah yang lebih mengetahui. Lima bulan Along melakonkan watak hebat. Penuh pembohongan. Hinggalah suatu hari yang telah diizinkan Tuhan, Along terserempak dengan Usu Adi. Terkejut Along. Pucat lesi. Rakan-rakan Along selamba malah sinis menatap wajah Usu Adi. Remaja hari ini, pentingkan keseronokan semata. Tidak berfikir panjang. Hidup tanpa matlamat. Masih mentah dengan tipu daya duniawi, sudah pandai berlagak dewasa. Hancur masa depan!!! Berbincang dengan Along malam itu, ayah bukan ingin memarahi Along tanpa usul periksa. Sekadar mahu menelaah punca yang membawa Along kepada dunia keseronokan tanpa matlamat. Bukankah Along masih belajar? Mengapa bercampur dengan mereka yang tidak lagi berminat dengan pelajaran? Hanya dengan niat ingin mengetahui, segalanya menjadi kucar-kacir. Along berkurang ajar dengan ayah. Mengapa sampai begitu Along? Aku sendiri tidak menyangka Along sanggup berkasar dengan ayah. Alongkah itu yang meninggikan suara dengan ayah, membebel? Bermimpikah aku? Ingat lagi tak, betapa lembutnya tangan ibu mengusap kepala Along sambil memujuk? Along, jangan berkasar dengan ayah. Tetapi, apa yang Along lakukan pada ibu? Along tepis tangan ibu. Kasar. Along menjerit kuat - jangan ambil tahu hal Along. Along tak nak belajar lagi. Jeritan kasar Along, itulah punca kemarahan ayah. Sungguh. Ayah tak berniat mengajar Along dengan kekasaran. Tetapi, sikap Along melampaui batas. Sudahnya tak tersedar tangan kasar ayah hingga ke pipi Along. Aduhai... Malam itu buat pertama kalinya riuh tawa dan gurau senda kita bertukar dengan esakan ibu. Bersulam suara ayah yang meninggi. Itulah buat pertama kali dalam hayat kita, ayah meninggikan suara. Along pula dengan kasar bergegas ke bilik. Menghempas kuat daun pintu. Ayah ingin menerpa ke arah Along. Tetapi langkah ayah mati dek runtunan tangan Farhan dan Idiza yang memaut kaki ayah. Idham merapati ibu. Mengusap-ngusap tangan ibu. Rumah itu adalah syurga kita semua sehinggalah Along memusnahkan semua itu. Benarkah Along, rakan-rakan di luar lebih membahagiakan? Bahagia yang bagaimanakah? Hidup tanpa pegangan kuat pada agama. Islam hanya dari keturunan. Islam hanya pada kulit tapi isinya adalah hampas. Demi keseronokan, tak terhitung lagi dosa pahala. Kebebasan yang bagaimanakah yang Along mahukan? Along lupakan pelajaran kerana rakan-rakan yang lain, semuanya tidak berminat lagi ke arah itu. along juga mahu jadi seperti mereka. Tetapi Along dan rakan-rakan Along lupa, suatu hari nanti Along akan menyesal. Ketika Along lupa dan mereka yang mengasihi mengingatkan, Along marah. Ketika anak bangsa lain berlumba-lumba mencecah puncak kejayaan, anak-anak Melayu, termasuk Along sendiri kian tunduk layu. Kuyu. Jahanam dengan seks bebas, pergaulan bebas, dadah, pil khayal. Anak bangsa lain berebut-rebut mencari kedudukan terbaik, bangsa kita berebut-rebut menjadi ahli kongsi gelap, samseng dan 'black metal'. Pelajaran tercicir. Peribadi tidak lagi murni. Benarlah. Along benamkan cita-cita. Benarlah. Along leburkan harapan ibu ayah. Dan kami adik-adik. Along nekad keluar rumah. Pergi tanpa pesan dan ucap selamat tinggal. Sampai hati... Tatkala melihat air mata ibu yang gugur, ada luluh di jiwaku. Along bertindak mengikut hati muda. Malam itu, Along menelefon ke rumah. Kebetulan aku yang menjawab. Dalam bising suara rakan-rakan Along berpesan, usah cari Along. Along tak akan pulang lagi ke rumah. Ibu menerpa ke arahku. Mahu berbual dengan Along. Ingin memujuk Along agar kembali. Tapi Along matikan talian. Ibu terhenyak. Aku adikmu Along. Darah yang mengalir dalam tubuhku, sama dengan darah yang mengalir dalam tubuhku. Juga Idham, Idiza, Farhan. Lalu aku tidak rela Along menderita kemudian hari atas perbuatan Along hari ini. Tidak teringinkah Along menjadi anak yang sentiasa mendoakan kesejahteraan dua ibu bapanya? Kita tak akan mencecah satu takah pun dalam membayar kembali jasa bakti ayah ibu. Pengorbanan mereka, dari saat kita dilahirkan sehinggalah ke usia ini, dengan apakah mampu kita tebus? Lalu, pulanglah Along. Ingat-ingatilah jalan kembali ke syurga kita yang telah Along musnahkan. Pintu rumah sentiasa terbuka menanti kepulanganmu. Ayah telah lama memaafkanmu. Pulanglah. Ziarahi pusara ayah. Hadiahkan Al-Fatihah. Mengenangkan pemergian ayah, tak tertanggung sebak di dadaku ini. Malam-malam sebelum malam terakhirnya, ayah sering masuk ke kamar Along. Lama ayah di situ. Ayah terlalu rindukan Along. Along anak yang baik sebelumnya. Cuma bila bertemu dengan rakan-rakan yang tercicir dalam pelajaran, Along berubah. Dan, alangkah terharunya, malam itu ayah meminta izin ibu, mahu bermalam di kamar Along. Benarlah. Ayah melunaskan rindunya terhadap Along dengan bermalam di kamar itu. Lena dengan aman sekali. Hayat ayah berakhir di kamarmu, Along. Airmata tak tertunda walau sesaat pun bila subuhnya, ketika mengejutkan ayah untuk bersolat, tubuh itu kaku tak bernyawa lagi. Farhan, Idham dan Idiza duduk penuh hiba di sisi ayah. Dengan suara bergetar menahan sebak, suara dialun membaca Yassin. Kalaulah Along ada, tidakkah sempurna anak sulung menghantar perjalanan terakhir seorang ayah dengan iringan Yassin. Tetapi, apakan daya... Carilah jalan kembali ke syurga kita, Along. Seorang ibu dan empat orang adik masih setia menunggu Along sampai ke saat ini. Tidak ada syurga lain yang lebih diredhai Tuhan selain dari memuliakan seorang ibu yang telah Along kasari. Yang telah melimpah airmatanya akibat perbuatan Along. Along, jalan kembali ke sini tetap masih seperti dulu. Pulanglah. Satukan kembali retak yang telah terbelah. Raihlah ampun dan maaf dari ibu. Kita hanya ada seorang ibu. Bukan dua. Bukan tiga dan kiranya tiada kesungguhan untuk menemui jalan kembali, andai menderita di kemudian hari, terimalah.
--- End Message ---