12 ciri insan jadi sahabat

KEPUTUSAN menggalakkan dalam peperiksaan baru-baru ini menyebabkan
ramai anak kita mendapat tawaran memasuki institusi pengajian tinggi
awam (IPTA).
Ibu bapa adalah orang yang paling bahagia dengan kejayaan anak
melanjutkan pelajaran ke menara gading selepas bertungkus lumus di
sekolah menengah dan rendah selama bertahun-tahun.

Tidak kurang juga yang berasa bimbang kehidupan baru yang bakal
ditempuhi anak mereka di IPTA kerana selama ini mereka berada dalam
pengawasan.

Kini anak seorang diri menimba ilmu dengan kehidupan dengan kawan
baru. Mereka bimbang anak tidak dapat menyesuaikan diri dan mungkin
tersalah pilih kawan.

Tidak kurang juga ibu bapa yang mencari formula untuk menasihati anak
dalam memilih kawan yang baik bagi meneruskan kehidupan di universiti.

Rasulullah saw pernah berpesan: "Agama seseorang itu terletak di atas
agama atau jalan yang dipilih oleh rakannya". Oleh itu kita hendaklah
berhati-hati dalam memilih siapa yang harus dijadikan sahabat.

Kehidupan setiap manusia memerlukan seseorang untuk dijadikan sahabat.
Tidak ada sesiapa pun yang mampu hidup tanpa mempunyai kawan, seperti
kata seorang ustaz, "Tarzan (kalaupun ceritanya benar) juga memerlukan
sahabat!"

Betullah apa yang dikatakan oleh Rasulullah, siapa sahabat kita
begitulah juga corak kehidupan kita.

Sahabat rapat Tarzan adalah orang utan, jadi begitulah cara
kehidupannya, daripada cara berjalan, tidur hinggalah makan seperti
seekor orang utan!

Jadi dalam bersahabat, kita mesti pandai membuat pilihan supaya tidak
tersalah pilih.

Pilihan yang bijak bukan sekadar ketika ingin mendirikan rumah tangga,
tetapi juga dalam memilih sahabat.

Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai
berpesan kepada anak lelakinya: "Wahai anakku, sekiranya engkau berasa
perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih
orang yang sifatnya seperti berikut:

# Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;

# Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik
persahabatan kamu;

# Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu
kamu;

# Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan
menerimanya dengan baik;

# Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia
akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;

# Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan
menutupnya;

# Jka engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;

# Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan
menanyakan kesusahan kamu;

# Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan
kesusahan kamu;

# Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;

# Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu; dan

# Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah
untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Sahabat Rasulullah, Saidina Ali ada berkata: "Saudaramu yang sebenar
ialah orang yang sentiasa berada di samping kamu. Dia sanggup
membahayakan dirinya demi kemaslahatan kamu. Orang yang setiap masa
bekerja untuk keperluan kamu. Sanggup mengorbankan segala-galanya
untuk kepentingan kamu."

Ada juga yang berpesan: "Sesiapa yang suka berkawan, tetapi tidak suka
melebihkan kawan daripada diri sendiri, maka lebih baik dia berkawan
dengan ahli kubur!".

Begitu sekali pesanan dalam memilih kawan. Marilah bersama-sama kita
periksa diri masing-masing sama ada layak menjadi sahabat sejati atau
hanya layak menjadi kawan kepada ahli kubur.

Siapakah sahabat paling rapat yang pernah kita miliki?

Bagi seorang anak, sahabat yang paling rapat ialah ibu dan bapanya,
manakala bagi ibu atau bapa, anak adalah sahabat yang paling akrab
dengan mereka.

Bagi seorang isteri, suami adalah sahabatnya dan begitu juga bagi
suami, isteri adalah yang sepatutnya menjadi sahabat karib mereka.

Cuma persoalannya di sini, selepas kita mengetahui akan ciri-ciri
seorang sahabat dan siapakah sahabat akrab yang kita ada, apakah sudah
terlaksana persahabatan itu?

Sudahkah kita menjadi sahabat kepada anak dan kedua ibu bapa kita atau
kepada pasangan kita?

Seorang remaja memilih remaja lain sebagai sahabatnya dan seorang bapa
pula memilih bapa lain sebagai sahabatnya.

Sebenarnya, bukan kita tidak boleh memilih orang lain untuk menjadi
sahabat, tetapi perlulah bijak memilihnya. Jangan tersalah pilih,
nanti seperti Tarzan jadinya!

Jika kita adalah remaja, lihatlah dulu dengan siapa kita bersahabat.
Sahabat yang baik umpama penjual kasturi yang mana wanginya akan tetap
terpercik kepada kita, namun sahabat yang jahat akan memalit kejahatan
itu kepada kita.

Jadilah insan yang bijak dalam memilih orang yang boleh dijadikan
sahabat.



Do you Yahoo!?
New and Improved Yahoo! Mail - Send 10MB messages!

Kirim email ke