Perkongsian minda......

moga ada manfaatnya....


Assalamualaikum wbt. Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. Tuan-tuan dan puan-puan, para peminat Mutiara FM yang dimuliakan. Orang-orang yang berjaya biasanya merupakan orang-orang yang tahu keutamaan dalam hidup. Mereka menentukan keutamaan dalam aktiviti kehidupan mereka. Umat islam sebelum ini berjaya dan satu diantara sebabnya ialah menentukan keutamaan dengan betul. Umat islam pada hari ini kurang berjaya ataupun tidak berjaya kerana kita sering menjadikan perkara no. 2, jadi no. 1. Maksudnya kita sering mengutamakan perkara yang tidak utama. Remaja-remaja lebih suka bercinta daripada belajar ilmu. Orang-orang tua lebih suka melihat gusti daripada membaca buku-buku tentang kemahiran keibubapaan. Begitulah seterusnya dalam konteks kemasyarakatan dan seumpamanya. Benda no 2 kita jadikan no 1. Sebab itu kita tidak pernah mendapat no 1, kita tidak pernah berada diatas, kita tidak boleh menjadi first class.


Islam mengajar kita supaya tahu keutamaan. Bukan hanya tahu hidup, makan, minum tapi tahu keutamaan. Mengikut As-Sheikh Hassan An-Nadwi, umat islam jatuh merudum sebab tidak faham keutamaan. Dalam kitab yang bertajuk " Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam", As-Sheikh Hassan An-Nadwi menulis Tetapi sayang sekali, kata beliau, kaum muslimin tidak mensyukuri nikmat Allah. Selama berabad-abad lamanya umat islam membuangkan masa dan tenaga untuk berfikir dan berfalsafah berhubung perkara yang tidak bermanafaat. Jika mereka memfokuskan kepada ilmu yang menguntungkan islam dan kaum muslimin, kedudukkan umat tidak akan menjadi separah ini. Umat islam bukan saja asyik membahaskan sifat-sifat Allah, ertinya sfat-sifat 20, mereka juga asyik berbicara tentang ruh. Apa itu ruh. Asyik berbicara tentang falsafah wehdatul ujud dan seumpamanya. Semua ini kata beliau memakan masa dan tenaga yang bukan sedikit. Akhirnya hasil penemuan sains kaum muslimin samada disudut kuantiti atau kualitinya tidak mendatangkan apa-apa makna jika dibandingkan dengan penemuan barat pada abad ke 17 dan 18 masihi.

Jadi bermula pada abad 17 dan 18 masihi, umat islam mula merudum. Sebab apa. Mereka asyik membahaskan perkara-perkara no 2 dan 3 dan bukan no 1. Ini berterusan sampai kehari ini. Anda cuba lihat di masjid, di surau apa yang sering dibicarakan. Antaranya berbincang tentang hendak usalli ataupun tidak, tahlil itu ada ataupun tidak, nak selawat dengan pakai saidina ataupun tidak, tarawih dimusim Ramadhan 20 + 3 rakaat ataupun 8 + 3. Bertengkar tidak habis-habis tentang isu ranting dan cabang ini. Akhirnya tidak ada masa hendak membaca buku-buku baru, akhirnya tidak ada masa mendalami Al-Quran dan sains. Akhirnya tidak ada masa untuk menerokai ilmu teknologi yang amat-amat penting bagi umat islam pada hari ini. Akhirnya tidak ada masa untuk benar-benar memahami Al-Quran dan wahyu. Hasilnya seperti yang kita lihat. Umat islam berada di tahap yang paling hina pada hari ini di seluruh dunia. Orang lain yang menguasai ilmu, orang lain yang menguasai sains, orang lain yang menguasai teknologi. Itu kita lihat termasuk di Malaysia ini.

Lantas kita mengharapkan kesemua ini mengejutkan dan yang lebih penting menyedarkan kita supaya kita kenal keutamaan. Justeru jangan lupa tuan-tuan dan puan-puan, bila kita kenal keutamaan insyaallah kita akan berjaya. Sebab itu dalam agama ada hukum taklifi yang dibahagikan kepada 5 iaitu hukum wajib, sunat, makruh, haram dan juga harus. Hukum-hukum yang 5 ini bukan semata-mata hukum. Hukum ini mengajar kita keutamaan. Wajib lebih utama dari sunat. Tetapi setengah orang lebih mementingkan sunat seperti janggut dan serban tetapi tidak pernah belajar secara mendalam. Bila makan dia jaga cara makan, duduknya mestilah lutut diatas dan seumpamanya, tetapi makanannya masih haram, diambil sosej-sosej yang haram. Yang dipentingkan hanyalah membaca doa ketika makan tetapi yang haram, yang penting untuk dijaga tidak dijaganya. Kita penting no2, no 3 dan bukan no 1. Bila ini berlaku, akhirnya orang lain menyediakan makanan untuk kita, dia tidak kira halal dan haram dan kita makan dengan doa tapi benda yang haram. Sebab apa, kita hanya pengguna, kita tidak pernah jadi pengeluar. Itu hasil daripada umat yang hanya mementingkan no 2 dan terlupa no 1. Ertinya umat islam mengabaikan keutamaan.

Semoga peringatan dari As-Sheikh Hassan An-Nadwi dari bukunya, menyedarkan kita bahawa kita perlu kembali kepada keutamaan. Semoga dengannya kita akan cemerlang insyaallah.

.

Dari Dr. Danial bin Zainal Abidin
Motivasi Mutiara pada 2 Mei 2005. Jam 7.30 pagi di Mutiara FM Pulau Pinang.

_________________________________________________________________
Find love online with MSN Personals. http://match.msn.com.my/match/mt.cfm?pg=channel


_______________________________________________
Hira mailing list

Kirim email ke