*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
PERTAMA kali saya menunai fardu Jumaat di Kuala Lumpur
ialah di masjid lama Kampung Baru, sebuah bangunan
kayu, pada tahun 1952 masa saya cuti sekolah.
Waktu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri saya
sembahyang di Masjid Negara. Setelah dibebas dari
tahanan ISA Julai 1981 saya solat di Masjid ''VIPs'',
Masjid Jalan Aman (belakang Yow Chuan Plaza). Lepas
itu saya berhijrah ke Cambridge, London dan Harvard
(1982-88). Apabila saya pulang menetap di Ampang
Hilir, saya menjadi ahli kariah Masjid Kampung Datuk
Keramat tetapi solat Jumaat di merata masjid terutama
di Masjid Kampung Pandan. Masjid Istana Negara, Masjid
Bangsar dan juga Kampung Baru. Jarang sekali ke Masjid
Negara. Waktu berada di Kok Lanas, di Masjid Desa
Pahlawan dan merata masjid dalam kawasan Parlimen Kok
Lanas.
Pada hari Jumaat lalu (3 September), saya tidak sempat
ke masjid lalu seorang jiran datang ke rumah bertanya
kenapa saya ''cuai''? Dia mengerti sebab saya tiada
dapat ''hadir penuh'' di masjid tetapi kehadiran saya
pukul rata melebihi markah kelulusan. Jiran saya itu
bukan busybody (suka jaga tepi kain orang) , dia
menghormati saya tetapi kayu ukurnya seseorang itu
baik ialah dia selalu ke masjid dan solat! Dia simple
(mudah) dan senang tertarik dengan kulit kitab bukan
isinya. Lalu teringat saya kepada sebuah pepatah
Inggeris; Don't judge a book by its cover. Saya
huraikan maksud peribahasa itu kepadanya. Dia senyum
malu kerana kami amat mengenali diri masing-masing.
Sebelum sahabat saya pulang, setelah makan jagung
bakar dan kopi beng, dia memberi saya satu kad
jemputan yang dia ambil di Masjid Kampung Pandan yang
berbunyi; ''Himpunan Sejuta Rakyat II. Ulang Tahun
Pertama Reformasi 4 September 1999 di Dataran Merdeka.
Sila datang bersama keluarga. Bersurai jika diarah
pihak polis. Patuhi undang-undang''. Langsung dia
memberi tahu saya khutbah hari itu tidak mengecam
kerajaan seperti kelaziman. Hari Sabtu (4 September)
malam saya dan isteri berlepas pulang ke New York
dengan pesawat Malaysia.
Pagi Ahad (5 September) saya berada di rumah membaca
New York Post dan New York Times dan terpapar berita
dengan huruf besar; ''Khalid's Harlem Rally A Big Bust
- Million Youth March Attracts Under 1,000 -
Perhimpunan Khalid di Harlem gagal kurang 1,000 orang
hadir''. Khalid Abdul Muhammad ialah seorang pemimpin
kulit hitam Amerika yang bencikan orang kulit putih,
Yahudi dan pemimpin-pemimpin kulit hitam lain yang
tidak menyokongnya. Tahun lepas himpunan tahunannya di
hadiri 6,000 orang.
Teringat pula saya kepada perarakan Reformasi di
Dataran Merdeka. Tiada berita dalam penerbangan selama
21 jam itu dan tiada satu perenggan pun dalam New York
Times, Financial Times dan International Herald
Tribune yang lazimnya menyebar besar-besaran berita
Reformasi dan pemimpin-pemimpinnya. Setiausaha saya di
Kuala Lumpur telah fakskan keratan berita dari The
Star dan The Sun yang berkata perhimpunan reformasi
tiada sambutan. Hanya sekumpulan seramai 100 pemuda
yang mendakwa pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi
di Kuala Lumpur berarak secara riuh dan bising dekat
Masjid Jamek sempena setahun pemecatan wira mereka,
Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan UMNO.
Sungguhpun begitu kerajaan mesti terus berwaspada api
dalam sekam. UMNO dan kerajaan mesti terus bekerja
keras agar tiada kejadian tidak diingini berlaku di
Barisan Nasional menang pilihan raya akan datang
dengan dua pertiga kalau pun tidak empat perlima.
Nampaknya masjid-masjid di sekitar Wilayah Pesekutuan
telah menjadi pangkalan bagi penentang-penentang
kerajaan menaburkan risalah-risalah antikerajaan dan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.
Bahkan satu masa tahun lepas saya dapati
risalah-risalah anti-Mahathir di Masjid Bukit Aman!
Masjid-masjid telah, sedang dan akan terus digunakan
oleh parti-parti pembangkang dan penentang-penentang
kerajaan. Datuk Dr. Hamid Othman dan kerajaan-kerajaan
negeri (kecuali Kelantan) yang ditadbirkan oleh
Barisan Nasional masakan boleh membenarkan
gerakan-gerakan antikerajaan dan Dr. Mahathir berlaku
di rumah Allah dalam wilayah tanggungjawab
masing-masing. Masjid rumah Allah, tempat kita
menunaikan fardu solat bukan tempat himpunan menabur
fitnah, menghasut dan benci-membenci. Kalau Hamid
Othman dan kerajaan negeri BN tiada berbuat sesuatu
yang berkesan segera samalah seperti menyerahkan
''pedang kerajaan'' kepada bilal-bilal, imam-imam dan
jawatankuasa masjid.
Demokrasi seperti juga kesabaran, ketahanan dan
toleransi ada sempadannya. Saya tidak tahu sebuah
kerajaan pun dalam wilayah ASEAN yang tersabar seperti
kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin UMNO, UMNO
dilemparkan berbagai fitnah; dikecam dan rakyat diseru
membencinya.
Dr. Mahathir adalah seorang yang sabar hati tetapi
awas semalap-malap puntung di dapur, ditiup bernyala
juga.
Sesabar insan, pemimpin bukan semuanya seperti kata
orang tua sabar-sabar tanah, yakni jika terus dicabar
selalu, ia akan dan mesti bertindak juga.
__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Bid and sell for free at http://auctions.yahoo.com
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: Mat Rencana <[EMAIL PROTECTED]>