Azizan dan Norhayati mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan semasa dihadapkan buat kali kedua di mahkamah yang sama pada 22 September lalu. Hakim Mohammad Adib meminta Azizan dan Norhayati mengulangi pengakuan itu sebanyak lima kali sepanjang prosiding yang bermula pada 9.35 pagi semalam. Kedua-dua pasangan itu mengaku mereka membuat pengakuan atas kerelaan hati dan tiada dorongan atau paksaan apabila ditanya hakim kenapa mereka membuat pengakuan itu selepas membuat pengakuan tidak bersalah pada minggu lalu.

Azizan dijel tiga bulan kerana khalwat

ALOR GAJAH (Melaka) -- Azizan Abu Bakar, saksi utama perbicaraan kes liwat mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam dihukum penjara tiga bulan dan denda RM7,000 ($3,129) oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini selepas mengaku berkhalwat dan cuba melakukan persetubuhan haram dengan Norhayati Saad.

Norhayati, pelajar kolej swasta yang dikahwini Azizan selepas kejadian itu, pula dihukum penjara tiga bulan dan denda RM6,300 atas kedua-dua tuduhan yang sama.

Hakim Mohammad Adib Hussain menjatuhkan hukuman selepas Azizan dan Norhayati mengaku bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Azizan, 39 tahun, didenda RM2,500 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda bagi kesalahan pertama iaitu berkhalwat mengikut Seksyen 53 (1), Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka (EKSNM) 1991.

Bagi tuduhan kedua mengikut Seksyen 52, enakmen yang sama iaitu cuba melakukan persetubuhan haram, Azizan didenda RM4,500 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda dan penjara tiga bulan.

Norhayati, 22 tahun, didenda RM1,800 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda bagi kesalahan berkhalwat.

Dia didenda RM4,500 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda dan penjara tiga bulan bagi tuduhan kedua iaitu tuduhan mengikut Seksyen 52.

Hakim Mohammad Adib memerintah hukuman berjalan serentak dan berkuatkuasa dari tarikh kedua-dua mereka diperintahkan ditahan reman pada 22 September lalu.

Azizan dan Norhayati mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan semasa dihadapkan buat kali kedua di mahkamah yang sama pada 22 September lalu.

Hakim Mohammad Adib meminta Azizan dan Norhayati mengulangi pengakuan itu sebanyak lima kali sepanjang prosiding yang bermula pada 9.35 pagi semalam.

Kedua-dua pasangan itu mengaku mereka membuat pengakuan atas kerelaan hati dan tiada dorongan atau paksaan apabila ditanya hakim kenapa mereka membuat pengakuan itu selepas membuat pengakuan tidak bersalah pada minggu lalu. -- Bernama.

Kirim email ke