Syukur kpd Allah

HUKM terima laporan -- Keputusan ujian arsenik dari MINT, makmal England dan Australia

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Semua keputusan ujian klinikal termasuk dari makmal luar negara berhubung dakwaan keracunan arsenik yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diterima oleh Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) malam Rabu lalu.

Pengarah HUKM, Prof. Datuk Dr. Khalid Abdul Kadir berkata, hasil ujian itu telah dimaklumkan kepada Anwar sebaik sahaja diperoleh.

Katanya, laporan lengkap berhubung semua hasil ujian itu yang sedang disediakan hari ini, akan dikemukakan kepada mahkamah Isnin ini.

Anwar sebenarnya sudah boleh dibenarkan keluar dari hospital sejak Khamis lalu, katanya kepada Mingguan ketika ditemui sebelum menghadiri mesyuarat dengan pasukan perubatan yang merawat Anwar di HUKM, Cheras, hari ini.

Beliau memberitahu, keputusan ujian klinikal membabitkan hasil ujian ke atas sampel rambut, kuku dan air kencing bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ia dijalankan oleh Jabatan Kimia, Fakulti Sains Fizis dan Gunaan, UKM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT) serta dari makmal di Australia dan England.

Bagaimanapun katanya, keputusan tidak melibatkan ujian terhadap sampel yang diambil mengikut peraturan polis.

''Sama ada dia sakit kena racun atau tidak, kita sebagai doktor yang merawatnya perlu memberitahu dia,'' katanya.

Dr. Khalid bagaimanapun enggan memberitahu keputusan ujian kerana tidak mahu tindakan itu dianggap sebagai menghina mahkamah.

Isu keracunan arsenik tercetus pada 10 September lalu apabila ditimbulkan oleh peguam Anwar, Karpal Singh di Mahkamah Tinggi.

Karpal memberitahu mahkamah, keputusan ujian sampel air kencing yang dihantar ke Makmal Patologi Gribbles di Melbourne, Australia, menunjukkan Anwar mengalami keracunan arsenik yang tinggi.

Anwar kemudian dimasukkan ke HUKM untuk pemeriksaan lanjut atas perintah Hakim Ariffin Jaka.

Sementara itu, Dr. Khalid hairan bagaimana akhbar The Straits Times Singapura kelmarin boleh menyiarkan laporan mengenai keputusan ujian makmal dalam dan luar negara bahawa Anwar bukan mangsa keracunan arsenik.

Laporan itu yang memetik sumber-sumber perubatan mendakwa ujian awal terhadap sampel rambut, kuku dan air kencing Anwar yang dilakukan di England dan Australia menunjukkan beliau sihat.

Menurut Dr. Khalid, selain pihak HUKM, orang lain yang tahu mengenai keputusan ujian yang diterima Rabu lalu itu ialah Anwar.

''Tetapi kita minta kerjasama dia (Anwar) supaya merahsiakannya sehingga mendapat perkembangan lanjut,'' katanya.

Beliau bagaimanapun memberitahu Anwar mahu memaklumkan mengenai keputusan tersebut kepada isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail.

Kelmarin, Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dalam kenyataan menerusi Pas meminta rakyat agar tidak terkejut jika Anwar dilaporkan tidak mengalami keracunan arsenik.

Wan Azizah mendakwa penghantaran sampel-sampel yang diambil dari Anwar dengan perkhidmatan kiriman cepat makmal luar negara meragukan beliau, sama ada benar milik suaminya.

Dalam pada itu, menurut Dr. Khalid, HUKM telah memaklumkan kepada Anwar bahawa beliau boleh dikeluarkan daripada hospital hari Khamis atau Jumaat lalu.

''Malangnya peguam-peguamnya menyatakan kita (HUKM) tidak boleh melepaskannya balik ke penjara dan kita seharusnya pulangkan dia balik ke mahkamah.

''Saya hairan kenapa ini patut berlaku?'' soalnya.

Menurut Dr. Khalid, HUKM telah menghubungi mahkamah mengenai perkara itu dan pihak mahkamah mengatakan Anwar boleh dihantar balik ke Penjara Sungai Buloh.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua permintaan peguam Anwar dan kenyataan mahkamah itu dibuat secara lisan dan menyukarkan pihaknya untuk membuat keputusan.

''Kita sebagai doktor dan kakitangan kerajaan perlu mendapat jawapan dari mahkamah tetapi hakimnya (Ariffin) kini menghadiri persidangan di Terengganu.

''Kami telah diberitahu secara lisan bahawa (pendapat peguam Anwar) itu tidak benar. Kami tersepit antara peguam Anwar dan mahkamah,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pihaknya akan meminta peguam Anwar menyediakan kenyataan secara bertulis mengenai perkara itu supaya HUKM tidak terus dipersalahkan kerana masih menahan bekas Timbalan Perdana Menteri itu di wad.

Beliau akan meminta mahkamah membuat keputusan mengenai perkara itu apabila perbicaraan bersambung Isnin ini.

Dr. Khalid kemudian menemui Anwar di wadnya di tingkat tujuh HUKM bagi memaklumkan mengenai perkara itu.

''Saya minta Anwar mengarahkan peguamnya supaya mengemukakan secara hitam putih. Jika tidak saya akan keluarkan surat ''discharged'','' katanya.

Kira-kira pukul 5 petang, Wan Azizah dan anak-anaknya datang melawat Anwar dan menghabiskan masa kira-kira sejam setengah di wad berkenaan.

Wan Azizah yang diminta pengesahan sama ada Anwar akan dibenarkan pulang ke penjara hari ini, bagaimanapun enggan mengulas.

Sehingga petang ini, Anwar masih berada di HUKM.

Kirim email ke