Satu lagi wasasau mahathir menjadi kenyataan. Lepas ni budaya mesia jadi macam holiwud pulaklah!

Planet Hollywood buka cawangan di Kuala Lumpur

Planet Hollywood, restoran terkemuka berkonsepkan hiburan yang diasaskan oleh beberapa penghibur terkenal Hollywood, membuka cawangannya di negara ini.

Pembukaannya sekali gus menjadikan Kuala Lumpur pilihan ke-10 restoran itu di rantau Asia.

Rangkaian Planet Hollywood yang dipegang sahamnya oleh aktor Arnold Schwarzenegger, Sylvester Stallone, Bruce Willis dan aktres Demi Moore itu dibuka kepada umum, kelmarin.

Restoran yang dibina dengan kos RM10 juta itu terletak di Plaza Kuala Lumpur dengan keluasan 1,200 meter persegi dan dibina dua tingkat.

Pihak pengurusan memberi penekanan kepada pembukaannya di negara-negara Asia kerana menjangkakan ia lebih mempunyai prospek yang baik pada masa akan datang.

''Negara-negara Asia diberi keutamaan kini kerana ia menunjukkan prestasi yang memberangsangkan,'' kata Timbalan Presiden Operasi Planet Hollywood Asia, Michael G. Brunner.

Beliau juga berkata pembukaan restoran itu bakal menambah satu lagi destinasi pelancongan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengerusi Planet Hollywood Kuala Lumpur, Syed Yusof Nasir dalam ucapan pada majlis pembukaannya berkata, restoran itu akan memberi keutamaan kepada pelakon tempatan.

Malah, pihaknya telah berusaha mendapatkan pakaian prop pelakon legenda negara untuk dipamerkan di satu sudut restoran itu pada masa akan datang.

''Kami rancangkan ini untuk menunjukkan satu ciri kelainan restoran itu berbanding cawangan-cawangan lainnya di Asia,'' katanya.

Sementara itu, pada majlis yang sama diadakan Makan Malam Amal Perdana untuk mengutip wang bagi disalurkan kepada Yayasan Amal Budimas. Budimas adalah satu badan yang tidak berteraskan keuntungan, tetapi membiayai projek kebajikan dan pendidikan kanak-kanak.

Pada majlis itu juga, replika cek sejumlah RM50,000 diserahkan kepada pengerusi Budimas, Tan Sri Mohamad Yaacob.

''Menjadi tradisi Planet Hollywood untuk memikirkan aktiviti amal khususnya semasa prapelancaran,'' kata Syed Yusof lagi.

Mereka juga berharap dengan cara ini, golongan korporat akan lebih prihatin terhadap golongan yang memerlukan bantuan, jelasnya.

Syed Yusof seterusnya memberitahu, para pelakon yang mengasaskan restoran itu akan dibawa ke negara ini pada satu majlis pembukaan rasmi nanti.

Restoran itu mempunyai tarikan tersendiri kerana ia mempamerkan kostum dan prop asli yang digunakan di dalam filem-filem Hollywood.

Kostum dan prop serta koleksi pelakon popular dipamerkan di dinding dan bumbung restoran itu.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian penyanyi tempatan.

Kirim email ke