*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
  Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
BERITA MALAYSIA


------------------------------------------------------------
--------------------
October 04 , 1999 21:27PM



 WARTAWAN FEER AKAN DIBEBASKAN ISNIN



KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Wartawan Far Eastern
Economic Review, Murray Hiebert yang dihukum penjara pada 11
Sept lepas kerana menghina mahkamah akan dibebaskan Isnin
ini (11 Okt), menurut seorang pegawai kanan Jabatan Penjara
hari ini.

Hiebert, 50, Ketua Biro majalah itu di Malaysia, telah
dihukum penjara enam minggu tetapi akan menjalani hukuman
itu selama empat minggu sahaja kerana kelakuan baik, kata
Penguasa Perhubungan Awam jabatan itu Jamil Razif Kassim
kepada Bernama.

Kes Hiebert, seorang rakyat Canada, telah menjadi bahan
siaran muka depan akhbar di seluruh dunia ketika beliau
dijatuhi hukuman itu.

Jamil berkata Hiebert pada mulanya menjalani hukuman di
Penjara Sungai Buloh dekat sini tetapi telah dipindahkan ke
Penjara Seremban, Negeri Sembilan, 64 km dari sini 10 hari
kemudian.

Apabila ditanya mengenai masa Hiebert akan dibebaskan pada
hari itu, beliau berkata: "Bila-bila masa antara pukul 8
pagi dan 4 petang."

Jamil enggan menyatakan sebab Hiebert dipindahkan ke Penjara
Seremban.

Hiebert didapati bersalah melakukan perbuatan itu pada
September 1997 berkaitan rencana yang ditulisnya untuk
majalah yang beribu pejabat di Hong Kong itu pada tahun yang
sama.

Rencana itu, bertajuk "See You in Court" (Jumpa Lagi Di
Mahkamah) membincangkan tentang peningkatan jumlah saman
malu di Malaysia, khususnya kes membabitkan seorang anak
lelaki seorang hakim terkemuka di Malaysia.

Hiebert, dari Steinbach, Manitoba, dipenjarakan setelah
rayuannya ditolak ekoran penyabitan kesalahan itu.

Hukuman penjara terhadapnya telah menarik perhatian dunia
kerana beliau menjadi wartawan pertama dalam tempoh separuh
abad yang dipernjarakan kerana menghina mahkamah di
mana-mana negara Komanwel.

Pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa dan
Presiden Amerika Syarikat Bill Clinton melahirkan
kebimbangan berkaitan tindakan terhadap Hiebert tetapi
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menyatakan
kritikan mereka merupakan campur tangan terhadap sistem
kehakiman negara ini.

Hiebert telah menulis tentang kewajaran saman yang belum
selesai dibicarakan yang dikemukakan oleh Datin Chandra Sri
Ram, isteri kepada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram
terhadap Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur.

Isteri Hiebert adalah guru di sekolah itu. Beliau dan dua
orang anaknya sudah meninggalkan Malaysia dan kini tinggal
di Washington, D.C.

Beberapa orang peguam dari negara Komanwel mengunjungi
Hiebert di penjara Sungai Buloh, enam hari selepas beliau
dipenjarakan, ketika mereka menghadiri Persidangan
Undang-undang Komanwel di sini.

Peguam-peguam itu dari Britain, New Zealand dan Malaysia.
Mereka diiringi Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Canada Otch van
Finckenstein.

Sementara itu, Mahkamah Persekutuan akan mendengar
permohonan Hiebert untuk mendapatkan kebenaran membuat
rayuan terhadap sabitan kesalahan dan hukuman terhadapnya.

Hiebert pada mulanya dihukum penjara tiga bulan setelah
beliau didapati bersalah pada 1997 tetapi Mahkamah Rayuan
mengurangkan hukuman itu kepada enam minggu.

Beliau bersetuju untuk menjalani hukuman penjara pada hari
yang sama setelah Mahkamah Rayuan enggan menyerahkan balik
pasportnya. -- BERNAMA





 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Concorde" <[EMAIL PROTECTED]>

Reply via email to