*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
  Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Usah jatuhi darjat bangsa dengan sifat lalai dan jahil

Oleh Muhd Mazdiuky Muhd Ishak


KITA sering mendengar ungkapan 'tak kan hilang Melayu di
dunia.'

Tetapi pernahkah kita memikirkan bagaimana Melayu tidak akan
hilang di dunia?

Bagaimanakah kita dapat bertahan dalam arus kemodenan yang
kian mencabar 'kemelayuan' ini?

Sayangnya, Hang Tuah tidak menurunkan pada kita kaedahnya.
Saya yakin, insya-Allah, jika kita dapat menjawab
soalan-soalan di atas, maka terhurailah semua masalah bangsa
kita dan terbukti benarlah apa yang dikatakan oleh Laksamana
Hang Tuah.

Marilah kita renungkan, jika Islam, agama yang dianuti
majoriti bangsa Melayu, dapat memberi satu jalan untuk kita
mempertahankan 'kemelayuan' kita...

Islam adalah pegangan hidup yang tertinggi mengatasi
sebarang agama dan ideolagi. Ia diturunkan oleh Allah s.w.t
kepada kekasih-Nya, Nabi Muhammad s.a.w supaya umat manusia
selamat dan berbahagia di dunia dan akhirat.

Ini telah diterangkan dalam al-Quran melalui firman Allah
yang bermaksud:

"Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa
petunjuk dan agama yang sebenarnya untuk dimenangkan di atas
segala bentuk agama selainnya, walaupun orang-orang yang
syirik tidak meyukainya." -- Surah As-Saff:9.

Ini diperkuat lagi oleh sabda Rasulullah s.a.w: "Islam
adalah tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi
daripadanya." -- Riwayat Baihaqi dan Darul Quthni.

Dengan itu, apa jua bangsa atau golongan yang benar-benar
menjadikan Islam sebagai pegangan hidup, layak untuk
memperoleh ketinggian Islam.

Dari itu, jelaslah bahawa bangsa yang menjadikan Islam
sebagai pegangan hidup akan menjadi bangsa yang mulia.
Mereka menjadi kuat kerana dengan Islam, mereka akan
mendapat takwa, satu kekuatan yang akan memuliakan manusia,
tidak kira apa bangsa atau warna kulit sekalipun.

Sejarah telah membuktikan hakikat ini.

Bangsa Arab yang sebelumnya terkenal dengan jahiliahnya,
seperti yang dikatakan oleh Gibbon dalam bukunya 'Decline
and Fall of the Roman Empire' (The human brute, almost
without sense, is poorly distinguished from the rest of the
animal creation) telah bertukar menjadi bangsa yang kuat dan
mulia setelah menerima Islam.

Dalam jangka masa tidak sampai 30 tahun selepas
keislamannya, bangsa Arab telah berjaya menjadi empayar
dunia. Ini diakui oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a dengan
katanya:

"Kami bangsa Arab kuat dan berkuasa kerana dengan Islam
semata, tanpa Islam, kami tetap akan menjadi bangsa yang
rendah dan terhina."

Ketetapan Allah ini tidak hanya berlaku kepada bangsa Arab,
malah bangsa Turkey, Mongol, Kurdi, Tartar dan lain-lain
yang pernah menempa zaman keagungan masing-masing dengan
Islam.

Inilah rahsia kekuatan yang dibina oleh para pemimpin yang
bertakwa dari kalangan bangsa-bangsa itu, seperti Nabi
Muhammad s.a.w serta para sahabat dari kalangan bangsa Arab;
Sultan Muhammad Al-Fateh dari bangsa Turkey dan Sultan
Salahuddin Al-Ayyubi dari bangsa Kurdi.

Dengan mendaulatkan Islam, mereka menjadi bangsa yang kuat
dan mulia.

Bangsa Melayu juga tidak terkecuali daripada ketetapan Allah
ini. Walaupun bangsa Melayu belum pernah menjadi empayar
bertaraf dunia tetapi Islam telah terbukti memuliakan bangsa
ini sejak kedatangannya ke Nusantara pada kurun ke-9 Masihi.

Setelah menerima Islam, bangsa Melayu telah mengalami
revolusi dalaman yang merubah mereka menjadi mulia dan
bertamadun. Islam telah membebaskan bangsa ini daripada
kongkongan sistem ajaran Hindu dan feudal, belenggu dongeng,
kepercayaan anamisme, tahyul paganisme, legenda dan sihir.

Dengan kedatangan Islam, barulah bangsa Melayu dapat
menikmati kemerdekaan jiwa dan fikiran berteraskan iman dan
ilmu. Lalu dalam masa yang singkat sahaja, ba ngunlah mereka
dengan kekuatan barunya itu, hingga tertegaklah beberapa
kerajaan Melayu Islam yang berpengaruh di Asia Tenggara.

Contohnya, kerajaan Sriwijaya Islam yang berhubung rapat
dengan kerajaan Bani Umayyah di Damsyik, kerajaan Melayu
Melaka menjalin hubungan dengan kerajaan China melalui
Laksamana Cheng Ho, kerajaan Aceh yang rapat dengan Turkey
Usmaniah dan berbagai-bagai lagi.

Kerajaan Melayu Islam ketika itu sentiasa dinaungi oleh
empayar-empayar Islam yang lebih gagah di dunia Islam yang
lain.

'Bahasa Islam' seperti ilmu, muafakat, alim, ulama dan
sebagainya sudah cukup untuk membuktikan betapa teras hidup
bangsa Melayu telah diperteguh sejak Islam.

Dengan itu, dominasi bahasa Sanskrit yang berhubung rapat
dengan agama Hindu-Buddha telah digantikan dengan 'bahasa
Islam'.

Sekaligus bahasa Melayu telah diislamasikan. Perubahan yang
baru ini sangat rapat hubungannya dengan bahasa Arab dan
ajaran Islam. Ini juga merupakan akibat langsung daripada
penghapusan adat istiadat warisan Hindu yang telah
digantikan dengan syariat Islam dalam kehidupan bangsa
Melayu.

Bahasa adalah jiwa bangsa. Bangsa Melayu kuat dengan
penerimaan iman, maka bahasanya juga kian berpengaruh.

Akhirnya bahasa Melayu berjaya diangkat sebagai bahasa Islam
di gugusan Kepulauan Melayu.

Para mubaligh telah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
dakwah Islamiah. Para ulama telah menggunakannya sebagai
bahasa persuratan untuk menterjemahkan kitab-kitab Arab dan
meluaskan ilmu ad-din ini.

Bila kepentingan agama didahulukan, terbuktilah bahawa
bahasa Melayu boleh menjadi bahasa antarabangsa.

Kedatangan Islam ke dunia Melayu membawa perubahan besar
kepada alam pemikiran bangsa ini. Dengan terdedahnya minda
bangsa Melayu kepada ilmu dan cara hidup Islam, lahirlah
daripada bangsa ini ulama, ahli fikir, cendekiawan, pemimpin
dan pejuang Melayu-Islam.

Mereka seperti Almarhum Ustaz Haji Muhammad Kamil M.F
Suhaimi, seorang peguam yang bertauliah dan juga seorang
bekas pendidik.

Beliau, yang pernah berkhidmat sebagai mudir di Madrasah
Al-Maarif, menguasai dua bidang ilmu, yakni ilmu ukhrawi di
bidang syariah Islamiah dan ilmu duniawi di bidang
undang-undang sivil.

Islam juga telah melahirkan pejuang daripada kalangan bangsa
Melayu yang boleh kita banggakan.

Orang-orang seperti mereka inilah yang sepatutnya
ditonjolkan kepada masyarakat khususnya para remaja supaya
dapat dijadikan sebagai contoh dan teladan.

Janganlah kita menjatuhkan darjat bangsa ini dengan
kelalaian, kejahilan dan kurang semangat cinta pada Islam.

Ingin saya akhiri pandangan ini dengan nasihat kepada para
remaja dan kepada diri saya sendiri.

Kita bukan mahu semangat dan slogan yang membakar perasaan.
Kita mahu panduan, pimpinan arah tuju dan matlamat yang
tepat. Kita bukan hanya mahu membela bangsa Melayu dan mahu
menguasai dunia yang bersifat sementara ini saja. Kemahuan
kita lebih besar dan lebih jauh daripada itu.

Yang pasti ialah akhirat penentu segala-galanya.

Kerana itu, bangsa pendukung agama tidak akan hilang di
dunia ini. Selagi agama dibesarkan, dimulia dan diamalkan,
selagi itulah bangsa yang mendukungnya dimuliakan Tuhan.


Nota: Penulis, 22 tahun, ialah mahasiswa Universiti Islam
Madinah.


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Concorde" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke