*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
  Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
BERITA MALAYSIA


------------------------------------------------------------
--------------------
October 06 , 1999 20:13PM



 TUDUHAN LIWAT TERHADAP ANWAR DAN SUKMA TERBUKTI, KATA
PEGUAM NEGARA



KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Tuduhan liwat terhadap
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya Sukma Darmawan
Sasmitaat Madja telahdibuktikan oleh pihak pendakwaan,
Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah memberitahu Mahkamah
Tinggi di sini hari ini.
Katanya tujuh kategori keterangan yang beliau namakan "tujuh
tonggak kes pendakwaan", telah dibuktikan bagi membantu
Hakim Datuk Arifin Jaka membuat keputusan bagi memanggil
kedua-duanya membela diri.

Anwar, 52, dan Sukma, 38, dituduh bersama-sama meliwat
Azizan Abu Bakar, 39, di apartmen Sukma di Tivoli Villa,
Bangsar, pada 7.45 malam antara Januari dan Mac 1993. Sukma,
seorang ahli perniagaan, turut menghadapi satu lagi tuduhan
iaitu bersubahat dengan bekas timbalan perdana menteri itu
meliwat Azizan, yang merupakan bekas pemandu isteri Anwar,
di tempat dan pada masa yang sama.

Mohtar yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, tonggak
pertama kes pendakwaan ialah cara dan keadaan berhubung
kehadiran Azizan yang diaturkan oleh Sukma dan bagaimana
perbuatan liwat itu dilakukan.

Mohtar berhujah bahawa Azizan telah memberikan keterangan
bahawa dia dijemput oleh Sukma datang ke apartmen itu dan
tidak diberitahu sebabnya, oleh itu, apabila dia tiba di
situ, dia terkejut apabila melihat Anwar.

Beliau berkata Azizan juga menyatakan bahawa dia tidak akan
pergi jika dia mengetahui bahawa dia akan diliwat, malahan,
dia berpendapat Sukma mempelawanya untuk melihat apartmen
barunya.

"Kebenaran didedahkan dalam keterangan Azizan yang dibuat
secara tertutup, contohnya, bahawa tertuduh yang dalam
keadaan berbogel bergilir-gilir meliwat Azizan yang juga
dalam keadaan berbogel di atas katil di bilik tidur di
apartmen Sukma," katanya.

Mohtar juga berkata bahawa Azizan mampu menggambarkan secara
terperinci bagaimana perbuatan liwat itu dilakukan kerana
dia mengalaminya, jika tidak, dia hanya akan memberitahu
mengenai kedudukan biasa perbuatan liwat dan bukan
"kedudukan luar biasa" seperti yang diberitahunya kepada
mahkamah.

"Perbuatan itu adalah luar biasa tetapi tidak mustahil
dilakukan. Kebenaran selalunya lebih luar biasa daripada
fiksyen dan ini merupakan contoh yang paling jelas," katanya
sambil menjelaskan bahawa liwat adalah jenayah khas dalam
kategori khas.

Mohtar berkata keterangan Azizan amat jelas bahawa dia telah
diliwat oleh Anwar dan Sukma, seperti cara dan tempat yang
digambarkan olehnya. "Satu-satunya perkara yang saksi tidak
pasti ialah tarikh sebenarkejadian itu," katanya.

Tonggak kedua kes pendakwaan, menurut Mohtar, ialah terdapat
keterangan yang jelas dan kukuh dalam pengakuan Sukma
seperti yang telah diakui oleh mahkamah bahawa ia dibuat
secara sukarela.

Pengakuan itu jelas merujuk kepada perbuatan liwat oleh
Sukma dan Anwar terhadap Azizan di apartmen Sukma dan selain
daripada beberapa perbezaan kecil, cerita utama dalam
pengakuan itu dan keterangan oleh Azizan adalah serupa dan
oleh itu, membuktikan kebenarannya kerana kedua-duannya
saling menyokong antara satu sama lain, kata Mohtar.

Beliau berkata tonggak ketiga pula ialah terdapat bukti
jelas daripada keterangan Azizan sebelumnya dalam kes rasuah
Anwar dalam usaha mereka untuk mencabarnya yang menyokong
dakwaan liwat oleh Azizan.

"Rujukan yang jelas semasa perbicaraan terdahulu dalam
kejadian Tivoli Villa bukan pertama kali dalam perbicaraan
ini bahawa dia bercakap mengenai kejadian itu -- keterangan
ini bukan untuk pengesahan tetapi menunjukkan keterangan
Azizan adalah konsisten," kata Mohtar, dan menurutnya bahawa
keterangan itu adalah satu manfaat daripada pihak pembelaan
yang telah mengemukakan perkara itu terlebih dahulu.

Mohtar berkata tonggak keempat kes pendakwaan bahawa
terdapat keterangan bebas yang jelas oleh Tun Hanif Omar,
bekas Ketua Polis Negara, yang sudah tentu bukan satu
rekaan.

Katanya Anwar tidak pernah menafikan dakwaan pembabitannya
dalam aktiviti homoseksual semasa dia ditanya oleh Hanif,
sebaliknya Anwar lebih mementingkan soal berapa ramai orang
yang tahu mengenainya dan sama ada dia akan diugut oleh
mana-mana pegawai polis.

"Kelimanya, terdapat keterangan bebas yang jelas oleh Dr
Fadzil Man mengenai hubungan homoseksual Sukma dengan abang
angkatnya dan seorang lagi," kata Peguam Negara.

Katanya dua lagi tonggak dalam kes pendakwaan ialah
berkenaan perbuatan Anwar, pertama meminta Azizan menafikan
"Pengakuan Bersumpah" yang dibuatnya semasa dipanggil oleh
polis.

"Dalam hal ini, Azizan memberitahu mahkamah bahawa Anwar
menyuruhnya berbohong. Perhatikanlah bahawa pada waktu yang
dikatakan itu, polis telah memulakan penyiasatan berhubung
satu laporan polis yang telah dibuat," kata Mohtar.

Mohtar berkata, laporan itu disiasat oleh SAC I Musa Hassan
yang juga memberikan keterangan bahawa beliau telah
diarahkan oleh Anwar untuk menutup siasatan berhubung satu
laporan yang dibuat oleh ASP Zull Aznam Haron mengenai
sepucuk surat bertajuk "Talqin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim"
walaupun hasil siasatannya mendapat dakwaan itu tidak
semuanya tidak berasas.

"Berdasarkan keterangan ini, kami berhujah bahawa dengan
mengambil kira kesemua keterangan itu selepas menolak
apa-apa percanggahan kecil, bahawa terdapat keterangan kukuh
dan jelas untuk membuktikan bahawa kes pendakwaan melampaui
keraguan yang munasabah yang menghendaki Anwar dan Sukma
membela diri," katanya.

Perbicaraan disambung esok selepas Arifin menolak permohonan
peguam bela Christopher Fernando untuk menangguhkannya ke
Isnin.

Fernando telah mengemukakan permohonan itu dengan alasan
bahawa pihak pembelaan memerlukan masa untuk menjawab hujah
Mohtar. -- BERNAMA





 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Concorde" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke