KOTA TINGGI, 10 Okt (Bernama) --
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Syed Hamid Albar
berkata pakatan parti pembangkang boleh disifatkan seperti
sumpah-sumpah, sejenis binatang yang menyerupai cicak, yang
boleh bertukar warna mengikut keadaan terutamanya dalam keadaan
terdesak.
Beliau berkata pembangkang hanya
muncul dan berpura-pura semasa kempen menjelang pilihan raya
sahaja.
Katanya rakyat sudah sedar taktik pembangkang
yang sebenarnya tidak ikhlas walaupun mereka mendakwa ceramah
yang dianjurkan mendapat sambutan orang ramai.
"Rakyat
sudah matang dan tidak lagi terpengaruh atau boleh ditipu dengan
dakyah pembangkang melalui ceramah yang lebih bersifat maki
hamun, membenci pemimpin serta kerajaan," katanya kepada
pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Umno
Bahagian Kota Tinggi, di Bangunan Mawar di sini, hari ini.
Menurutnya rakyat, yang sudah banyak mendapat banyak
manfaat daripada pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN)
yang diterajui oleh Umno, akan menolak parti yang berpura-pura
itu.
Syed Hamid, yang juga Menteri Luar, mengingatkan
seluruh jentera BN supaya terus bekerja kuat kerana ancaman
untuk memecah-belahkan perpaduan rakyat tetap ada.
"Kita
tidak boleh duduk selesa walaupun setakat ini, tidak ada ancaman
terhadap parti kerana perkara yang buruk lebih mudah diperolehi
daripada perkara yang membawa kebaikan," katanya.
Syed
Hamid yang juga Anggota Parlimen Kota Tinggi berkata kira-kira
12,000 orang bersiap sedia membantu jentera pilihan raya BN di
kawasan itu dalam menghadapi kemungkinan pilihan raya umum yang
bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja.
"Ini termasuk
melaksanakan kempen memerangi fitnah dan pembohongan yang
disebarkan oleh pembangkang supaya rakyat tidak mudah tertipu
atau terkeliru," katanya. --
BERNAMA |