Pembohongan Mahathir Terbongkar
Selama ini, apabila Dr
Mahathir Mohamad mahu mempertahankan projek-projek mega yang dibangunkan di
negeri ini oleh sektor swasta ataupun awam, Perdana Menteri dengan cepat
mendabik dada serta berkata bahawa projek-projek mega itu dibina dengan wang
kita sendiri. Malaysia tidak meminjam dari luar, kata Mahathir. Malaysia
membina projek seperti itu tanpa berhutang kepada pihak luar. Malaysia mampu
dan ada keupayaan. Demikianlah hujah Mahathir selama ini untuk menepis
kritikan rakyat bahawa projek-projek mega kesayangannya sebagai boros, mewah
dan membazir.
Pendedahan di Parlimen
Tetapi pembohongan Mahathir itu
terbongkar semalam, 19 Oktober di Dewan Rakyat (Parlimen) apabila Timbalan
Menteri Kewangan, Datuk Wong See Wah membentangkan di Parlimen akan kedudukan
hutang luar negara Malaysia. Sehingga akhir Jun tahun 1999, hutang
luar Malaysia berjumlah RM160.9 bilion atau 57 peratus daripada Keluaran
Negara Kasar (KNK). Hutang luar sebanyak itu merupakan jumlah yang sangat
besar bagi sebuah negara seperti Malaysia. Bukan sesuatu yang boleh
dibanggakan. Angka di atas juga menunjukkan jumlah hutang negara kita melebihi
separuh daripada pendapatan negara. Malaysia meletakkan dirinya dalam senarai
negara banyak berhutang.
Pembangunan Dengan Cara Berhutang?
Dari jumlah RM160.9 bilion
itu, sebanyak RM131.9 bilion (82%) adalah hutang jangka sederhana dan panjang
terdiri daripada RM17.4 bilion (11%) pinjaman kerajaan Persekutuan. Berbagai
pihak, baik kerajaan Persekutuan, perbadanan awam bukan kerajaan dan sektor
swasta turut meminjam dari luar negara. Misalnya RM53.5 bilion (33%) bagi
pinjaman Perbadanan Awam Bukan Kerajaan (PABK) dan RM61 bilion (38%) pinjaman
sektor swasta.
Dasar Penswastaan Mahathir Punca Hutang Bertambah
Dasar
penswastaan yang digalakkan oleh kerajaan Barisan Nasional di bawah Dr
Mahathir Mohamad telah menyebabkan banyak projek-projek mewah dan mega
dibangunkan di Malaysia. Apabila projek itu mega, maka untungnya pun mega
untuk kroni, tapi bukan untuk negara, yang terpaksa menanggungnya. Apabila
kroni-kroni mendapat untung mega, maka komisyen rasuah kepada pemimpin
besar BN juga mega. Di Malaysia di bawah Mahathir, nilai rasuah juga
mega-mega.
Sokongan Perdana Menteri Kepada Kroni
Sektor swasta yang
mendapat projek-projek penswastaan itu kemudian mendapat sumber modal bagi
membangunkan projek itu dengan cara meminjam dari luar negara. Kroni-kroni
Mahathir dan Daim mudah sahaja diberi kebenaran oleh Bank Negara untuk
mendapatkan kebenaran pinjaman asing itu. Kerana pengaruh Mahathir dan Daim.
Jika sektor swasta hendak membuat pinjaman luar negara melebihi RM5 juta,
maka kelulusan Bank Negara diperlukan. Tetapi kelulusan itu mudah sahaja
diperolehi kerana projek-projek penswastaan yang dikendalikan oleh kroni-kroni
itu mendapat sokongan dan dokongan Perdana Menteri sendiri.
Hutang Luar Jangka Pendek
Hutang luar Malaysia bagi jangka
pendek pula ialah berjumlah RM29 bilion. Hutang jangka pendek bermaksud mesti
dibayar dalam tempoh yang cepat. Kerana banyak berhutang, maka setiap
tahun, 6.6% dari pendapatan negara terpaksa digunakan untuk membayar kembali
hutang luar negara itu. Jika Malaysia tidak banyak berhutang di luar, maka
lebih banyak wang dapat digunakan untuk membina rumah rakyat, kelengkapan
hospital, melatih lebih ramai tenaga pakar dalam bidang perubatan,
meningkatkan tahap mutu pendidikan dan sekolah, memperbaiki mutu bekalan air
bersih kepada rakyat dan sebagainya.
Projek Mewah Punca Berhutang
Jika projek-projek yang mewah dan
membazir tidak dibangunkan, maka satu kesan positif ialah Malaysia tidak perlu
berhutang di luar negara. Hutang luar sekarang sebanyak RM160.9 bilion adalah
jumlah yang melebihi wang rezab negara. Mahathir berdusta jika berkata
semua projek yang dibangunkan kononnya untuk 100 atau 200 tahun itu dengan
wang Malaysia sendiri, tanpa berhutang dan meminjam. Jika tidak berhutang
dan meminjam kenapa sampai demikian banyak hutang luar Malaysia?
Warisan Tinggalan Mahathir
Jika Mahathir tidak lagi menjadi
Perdana Menteri, dia telah meninggalkan satu warisan yang membebankan rakyat
Malaysia sekarang dan generasi masa depan. Mahathir akan meninggalkan hutang
negara yang banyak. Mahathir meletakkan Malaysia ke kedudukan yang bahaya.
Jika hutang tidak dapat dibayar, Malaysia boleh jadi bangkerap atau muflis.
Malaysia akan menjadi sebuah negara pariah di dunia antarabangsa sebagai
sebuah negara banyak berhutang.
Dana Rakyat Diboroskan
Bukan hutang yang banyak sahaja yang
dibebankan Mahathir ke atas ekonomi Malaysia angkara sikap angkuh dan
sombongnya membangunkan negara secara tempang dan songsang dengan
projek-projek mega yang mewah dan membazir itu. Ada satu lagi kesan negatif
lain. Hutang negara sebanyak RM160.9 bilion itu masih tidak cukup untuk
menampung membangun projek-projek mega seperti KLIA, KLCC dengan Menara
Kembara Petronas, Cyberjaya, Putrajaya, MSC, Litar Formula Satu dan banyak
lagi. Sumbr dari dana dalam negara juga diguna pakai. Dana rakyat juga
digunakan. Wang KWSP, wang Tabung Haji, wang Tabung Angkatan Tentera dan wang
Khazanah Holding serta wang Petronas semuanya digunakan untuk menjayakan
projek-projek mega yang mewah itu.
18 Tahun Di Bawah Mahathir Yang Boros
Semua projek mewah dan
boros yang disebutkan di atas tadi telah dibangunkan dalam tempoh 18 tahun
Mahathir berkuasa sebagai Perdana Menteri. Tunku Abd Rahman, Bapa Kemerdekaan.
Tun Abdil Razak, Bapa Pembangunan. Tun Hussein Onn, Bapa Perpaduan. Mahathir
Mohamad layak digelar Bapa Pembaziran.
Projek Mewah: Siapa Yang Untung?
Siapa yang untung dengan
projek-projek mewah dan boros itu. Mahathir untung sebab dia dapat mahligai
baru di Putrajaya. Anak-anak Mahathir untung. Mereka mendapat
kontrak-kontrak di Putrajaya dan KLIA. Kroni-kroni Daim dan Mahathir
seperti Vincent Tan, Ananda Krishnan, Tajuddin Ramli, Azmi Wan Hamzah,
Halim Saad, Arumugam, Francis Yeoh, Ting Pik Khiing dan lain-lain
lagi, sekadar menyebut beberapa nama. Mereka ini yang mendapat untung dari
projek-projek mewah, mega, boros dan membazir itu. Mereka yang menjadi
mahajutawan atau bilionwan. Yang ruginya ialah rakyat, baik generasi sekarang
apatah lagi generasi akan datang. Semua rakyat secara langsung atau tidak
langsung akan menanggung beban dari hutang luar Malaysia yang banyak, dana
dalam negara yang merosot dan wang Petronas yang semakin susut kerana
digunakan sewenang-wenang untuk membangunkan pelbagai projek mega.
Malaysia Hutang Keliling Pinggang
Untuk membina Menara Kembara
Petronas, RM2 bilion dibelanjakan. Untuk membangunkan KLCC, kroni yang
mendapat projek itu terpaksa berhutang di luar negeri. Pendek kata, Malaysia
di bawah Mahathir telah berhutang keliling pinggang. Hutang-hutang ini tak
masuk lagi dengan bon berbilion ringgit yang dijual di Jepun, Eropah dan
Amerika. Jadi Mahathir tidak bercakap jujur sebenarnya. Dia membohongi rakyat
dengan mendakwa Malaysia ada wang untuk membangunkan semua projek-projek mewah
dan membazir yang banyak terdapat terutamanya di Kuala Lumpur, Putrajaya,
Sepang dan Cyberjaya.
TAMAT
Para pembaca diminta mencetak, menyalin dan mengedar Kini,
terutamanya kepada mereka yang mungkin berminat. Kami juga menghendaki alamat
e-mail supaya dapat mengirim risalah harian ini secara langsung.
Terima kasih atas kerjasama
anda.