Banjir kian buruk 15,000 orang dipindahkanKUALA LUMPUR 26 Okt. - Kejadian banjir dan air pasang yang melanda beberapa negeri di utara Semenanjung dan Melaka sejak semalam menjadi bertambah buruk hari ini dengan jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat hampir 15,000 orang. Keadaan banjir ini memaksa lapan buah sekolah di Kedah dan Perak ditutup akibat dinaiki air sementara di Teluk Intan, Perak sebahagian bandar itu ditengelami air pasang dan dua buah sekolah terpaksa ditutup. Mangsa yang mati akibat bencana itu masih kekal seorang. Laporan Jabatan Kaji Cuaca meramalkan hujan lebat akan berterusan selama dua ke tiga hari lagi di kawasan pantai barat Semenanjung. Di Kedah, bencana banjir semakin buruk menyebabkan mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 8,500 orang berbanding 4,242 orang, semalam. Jurucakap bilik gerakan banjir berkata, hampir semua daerah di Kedah dilanda banjir menyebabkan berlaku perpindahan kecuali di Langkawi sementara Kota Setar dan Sik berada di dalam berjaga-jaga. Daerah Kuala Muda dan Baling masih mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir yang dipindahkan diikuti daerah Kulim, Yan dan Pendang. Di Pulau Pinang, keseluruhan daerah Seberang Perai Utara yang membabitkan 100 buah kampung dinaiki air dan sehingga 9 pagi ini, seramai 2,696 penduduk dipindahkan ke 22 pusat pemindahan. Di Butterworth, keadaan banjir di tiga buah daerah di Seberang Perai bertambah buruk hari ini apabila jumlah mangsa banjir yang sudah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir meningkat kepada 4,600 orang setakat ini. Walaupun hujan telah mula berhenti sejak petang semalam dan cuaca panas sepanjang hari, kebanyakan kawasan rendah masih ditenggelami air dipercayai akibat hujan dan limpahan air daripada beberapa batang sungai di Kedah seperti Sungai Jeniang, Sungai Kulim dan Sungai Baling. Daerah Seberang Perai Utara merupakan daerah yang paling teruk dilanda banjir dengan lebih 3,100 orang sudah dipindahkan ke 22 pusat pemindahan banjir di daerah itu dan kira-kira 1,500 orang lagi dari daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan. Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Abdul Ghani Ariffin berkata, lebih ramai penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Kulim dijangka dipindahkan berikutan paras air sungai itu semakin meningkat sejak petang semalam. Paras air di Rumah Pam Bumbung Lima sudah berada pada paras 4.19 meter melebihi paras bahaya 3.68 meter, manakala, di Pinang Tinggal pula 6.95 melebihi para bahaya 6.45 meter. Tidak kurang daripada 10 batang jalan utama di daerah ini masih lagi ditutup kepada kenderaan kecil kerana ditenggelami air. Antara jalan terlibat ialah jalan bawah di persimpangan bertingkat Seberang Jaya yang masih ditenggelami air sedalam kira-kira sembilan meter. Jalan-jalan lain ialah Jalan Permatang Tinggi, Jalan Ara Kuda, Jalan Alma, Jalan Bukit Tengah, Taman Mangga, Jalan Binjai, Jalan Betik, Jalan Pokok Tampang dan Lahar Yooi. Sementara itu, tinjauan Utusan mendapati, kesesakan lalu lintas masih lagi berlaku di beberapa jalan utama menuju ke Bukit Mertajam, Butterworth dan Nibong Tebal. Di Perak, sekurang-kurangnya 55 buah rumah mengalami kerosakan, empat daripadanya teruk apabila beberapa buah kampung di bandar raya Ipoh dilanda ribut petang Ahad lalu. Di Teluk Intan, sebahagian bandar itu terus menjadi lautan hari ini ekoran air pasang yang lebih buruk berbanding semalam dengan banjir mencapai paras sehingga 1.5 meter. Dua buah sekolah iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Phooi Yong dan SRJK San Min 2 terpaksa ditutup. Banjir air pasang hari ini yang bermula pada pukul 5.30 pagi mengambil masa lebih lama iaitu sehingga pukul 2 petang untuk surut sepenuhnya. Di daerah Kerian, keadaan banjir di beberapa buah kampung bertambah buruk hari ini dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 606 orang dan ditempatkan di sekurang-kurangnya lima pusat pemindahan. Di Melaka, beberapa kawasan rendah di bandar itu termasuk Kampung Morten dan Limbongan mengalami banjir kilat selama empat jam akibat air pasang bagaimanapun banjir kilat itu surut pada 12 tengah hari ini dan tiada penduduk yang dipindahkan. |
