Kes Anwar

Anwar dakwa Daim salah laku seks

'Menteri Kewangan bawa masuk wanita guna jet peribadi'

KUALA LUMPUR -- Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, melakukan salah laku seks.

Semasa memberi keterangan pada hari kedua beliau dipanggil membela diri, Datuk Seri Anwar juga berkata Tun Daim menggunakan pengaruh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, untuk mengambil alih sebuah bank tempatan.

Tun Daim dikatakannya telah menerima saham bernilai RM400 juta (sekitar $174.8 juta) tanpa membelinya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Arifin Jaka, berkata kenyataan itu tidak relevan tetapi tidak pula mengarahkan supaya ia digugurkan daripada rekod perbicaraan.

Datuk Seri Anwar sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah menyalahgunakan kuasa.

Beliau mendakwa Tun Daim datang berjumpanya sebelum beliau dipecat September tahun lalu, dan menggesanya supaya meletakkan jawatan bagi mengelakkan malu.

"Saya katakan kepadanya (Tun Daim), you berani berbohong dan menuduh saya melakukan rasuah dan salah laku seks sedangkan ramai yang tahu you telah mensia-siakan berjuta wang negara.

"You menggunakan jet persendirian untuk membawa masuk wanita tanpa diperiksa kastam dan imigresen menerusi laluan VIP," Datuk Seri Anwar memberitahu mahkamah.

Beliau juga memberitahu Tun Daim "jangan mengada-adakan cerita yang tak benar".

Beliau tidak pula memberikan butir-butir lanjut mengenai dakwaan salah laku seks itu.

Datuk Seri Anwar berkata beliau menentang usaha Tun Daim untuk membeli bank Hock Hua tetapi terpaksa beralah apabila Dr Mahathir menyebelahi Tun Daim.

Hakim Datuk Arifin mengingatkan peguam bela, Encik Christopher Fernando, supaya menumpukan kepada fakta yang menunjukkan Tun Daim berkomplot untuk memusnahkan kerjaya politik Datuk Seri Anwar.

"Ketepikan soal dendam, soal wang yang tidak bersih dan soal wanita-wanita jahat. Saya menyuruh awak berhenti, Encik Fernando. Fikirkan tentang bagaimana (Tun) Daim terlibat dalam komplot ini," katanya. -- Reuters.

4luar.jpg

selasa2-5.jpg

selasa2-5a.jpg

Kirim email ke