BERITA MALAYSIA


October 22 , 1999 16:11PM

 

BARISAN ALTERNATIF JUMPA SPR

 

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Beberapa pemimpin Barisan Alternatif mengadakan perjumpaan selama dua jam dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Omar Hashim, di sini, hari ini.

Mereka membangkitkan beberapa isu seperti pengundi baru, undi pos dan tanda jari selepas mengundi selain tempoh berkempen dan cadangan perjumpaan antara SPR dan semua parti politik.

Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) Dr Syed Husin Ali, selaku jurucakap Barisan Alternatif, berkata mereka telah meminta SPR membenarkan pengundi baru mengundi jika pilihan raya diadakan tahun ini.

"SPR bagaimanapun berkata ini tidak mungkin dibenarkan dan kami menegur proses pendaftaran dan pengesahan daftar pemilih yang mengambil masa terlalu lama sehingga lapan bulan," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah setiausaha agung PRM Dr Sanusi Osman, naib presiden PAS Haji Mustafa Ali, setiausaha agung PAS Nasharudin Mat Isa, timbalan presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Chandra Muzaffar, naib presiden Keadilan Marina Yusof, setiausaha publisiti DAP Tan Kok Wai dan setiausaha organisasi kebangsaan DAP Kerk Kim Hock.

SPR menjalankan proses pendaftaran pemilih dibuat antara 2 April dan 13 Mei lepas dan pengundi baru akan dibenarkan mengundi tahun depan.

Syed Husin berkata mereka turut meminta wakil-wakil parti dibenarkan turut sama dengan pegawai SPR memantau proses pengundian melalui pos.

Menurutnya SPR juga memaklumkan kepada mereka bahawa ia telah menggugurkan nama-nama mereka yang telah meninggal dunia atau yang tidak lagi berkhidmat dengan pasukan tentera dan polis.

Mengenai penggunaan dakwat khas untuk menanda jari pengundi yang telah mengundi, beliau berkata SPR akan mendapatkan pandangan beberapa pihak lain mengenai cadangan itu dan tidak membuat sebarang janji mengenai pelaksanaannya buat masa ini.

Syed Husin berkata Barisan Alternatif juga meminta SPR membenarkan tempoh berkempen sekurang-kurangnya tiga minggu pada pilihan raya umum akan datang.

Selain itu, mereka turut mencadangkan supaya SPR mengadakan perjumpaan dengan semua parti politik bagi membincangkan proses pilihan raya dan peraturan SPR supaya wujud kesefahaman semua pihak.

Beliau berkata pertemuan dengan SPR itu berlangsung dalam suasana mesra, terbuka dan berterus terang.

-- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke