*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
  Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pemikiran Agama Perdana Menteri* 

SIAPA KATA Dr. Mahathir Jahil Agama?

KALANGAN mereka tidak suka dan menentang Perdana
Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad adalah terdiri
dari kalangan puak pembangkang terutama Parti Islam
Se-Malaysia (Pas). Mereka menganggap beliau jahil
agama. 

Malah ada yang menuduh Dr. Mahathir sekular dalam erti
kata sekular Barat dan kafir dalam erti kata lain
tidak beragama. 

Kerana dianggap jahil agama itulah yang menyebabkan
ada kalangan para ulama Pas menuntut Dr. Mahathir
supaya pergi belajar agama semula di IKIM seperti
disuarakan oleh Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi
Awang. 

Hakikatnya mereka yang menuduh Dr. Mahathir itu
sebenarnya yang jahil agama tentang pemikiran agama
yang menjadi falsafah dan pegangan Dr. Mahathir. 

Adalah amat menyedihkan sekali ketika golongan intelek
di negara-negara Barat, Arab, Afrika, Amerika Latin,
Jepun dan lain-lain membuat kajian dan penyelidikan
terhadap pemikiran Dr. Mahathir termasuk mengenai
agama, tetapi terdapat kalangan orang Islam di
Malaysia ini masih buta tentang pemikiran pemimpin
tersohor negara yang disanjung tinggi di dunia ketiga
itu. 

Sesetengah negara Islam turut mempelajari bagaimana
Malaysia berjaya membangunkan ekonomi dan mentadbir
negara yang bermasyarakat majmuk dengan jayanya. Malah
sesetengah negara Islam itu menjadikan Malaysia
sebagai model mereka. 

Amat malang sekali terdapat kaum intelek agama di
negara sendiri berusaha keras untuk menghapuskan nama
baik Dr. Mahathir termasuk dalam pemikiran agama. 

Pada waktu yang sama mereka pula mengagung-agungkan
tokoh pemikiran agama dari puak pembangkang di luar
negara yang tidak pernah berjaya dalam perjuangan
mereka. Mereka tidak mempunyai sebarang pengelaman
dalam pemerintahan dan pembangunan negara kerana tidak
pernah berkuasa atau sentiasa menjadi pembangkang
setiap masa. Malah idea-idea mereka pun tidak begitu
laku di negara mereka secara khas dan negara-negara
Arab secara keseluruhannya. 

Sebenarnya telah menjadi trend di kalangan mereka yang
berada dalam pelbagai pergerakan agama di negara ini
mengagung-agungkan tokoh agama dan ulama luar negara,
apatah lagi dari negara Arab daripada negara sendiri. 

Padahal ada juga tokoh agama yang mereka agungkan itu
bukan pun tokoh agama atau ulama. Malah kebanyakan
tokoh agama dan ulama luar tersebut bukan saja menjadi
pembangkang, tetapi menjadi pemberontak juga. 

Mulakan langkah 

Sebenarnya kita mesti jujur dalam menilai pemikiran
Dr. Mahathir dari segi agama tanpa campur aduk dengan
sepak terajang politik. Karya terbaik beliau yang
membolehkan anda memulakan langkah untuk mengenali
pemikiran agama Dr. Mahathir ialah apabila membaca
buku hasil karya beliau berjudul Menghadapi Cabaran
dalam bahasa Melayu atau The Challenge dalam bahasa
Inggeris. 

Buku ini merupakan kumpulan karya Dr. Mahathir yang
dihasilkan pada waktu yang berlainan dan dicetak kali
pertama pada tahun 1976, iaitu sebelum beliau menjadi
Perdana Menteri lagi. 

Profesor Muchtar Lintang yang merupakan pensyarah
Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) pada tahun 1976 menulis kata pengantar
buku Menghadapi Cabaran dengan berkata: "Saya gembira
pula melihat penulis buku ini berminat besar memahami
Islam. Memang sepatutnya demikian. Islam bukanlah
wakaf buat segolongan kaum Muslimin saja. Tetapi
tiap-tiap Muslimin wajib mempelajarinya dan
memahaminya dengan sebaik- baiknya. 

"Ilmu-ilmu yang dianggap sekular pun bukan pula wakaf
buat segolongan lain. Bibit-bibit ilmu itu,
sebagaimana dinyatakan penulis buku ini (Dr.
Mahathir), adalah berasal dari kaum Muslimin." 

Muchtar Lintang menyamakan Dr. Mahathir dengan Haji
Agus Salim, Muhammad Natsir, Prof Dr. Haji Ali Akbar
di Indonesia dan Datuk Patinggi Dr. Haji Abdul Rahman
Yaakub di Malaysia yang mendapat pendidikan sekular,
tetapi mewajibkan diri masing-masing mempelajari
Islam. 

Mereka, menurut Muchtar Lintang, tidak kurang daripada
ulama-ulama yang ada. 

Untuk menyelami pemikiran agama Dr. Mahathir, tidak
dapat tidak kita mesti bermula pada pendahuluan
bukunya. Beliau berkata, perbincangan beliau dalam
buku itu menyentuh tiga perkara, iaitu orang Melayu,
agama dan politik mereka. 

Dalam kata lain, buku itu membincang mengenai
nasionalisme, agama dan fahaman politik yang beliau
percaya merupakan tiga kuasa utama yang menjadi
penggerak masyarakat manusia. 

Tidak ragu lagi orang yang waras fikiran boleh menilai
bahawa apa yang diperjuangkan oleh Dr. Mahathir yang
telah berhasil dan sudah dapat dinikmati hasilnya itu
tidak lari dari landasan agama. Ini kerana apa yang
disebut oleh beliau sebagai nasionalisme Melayu bukan
asabiah jahiliyyah dan dasar politik yang dilaksanakan
sejak beliau memerintah 18 tahun lalu adalah tidak
bercanggah dengan agama seperti yang cuba digambarkan
oleh Pas. 

Dr. Mahathir menegaskan mengapa beliau memberi tumpuan
kepada tiga kuasa penggerak utama itu. Beliau berkata,
kerana bangsa Melayu menghadapi cabaran yang besar di
zaman moden ini. 

Menurutnya, sama ada orang Melayu akan berjaya
menghadapi cabaran atau tidak adalah bergantung kepada
pengertian yang mereka faham tentang peranan dan kesan
ketiga kuasa itu. 

"Tidak keterlaluan jika dikatakan kesalahan dalam
memahami atau mengguna kuasa-kuasa ini boleh melemah,
bahkan menghancurkan bangsa mereka (Melayu) sendiri. 

"Sejarah telah membuktikan bagaimana bangsa seperti
Babylonia, Assyria, Macedonia, Carthargenia yang
begitu kuat dan maju jaya telah hilang dari muka bumi
ini. Sudah tentu bangsa yang lemah seperti orang
Melayu akan lebih mudah hapus jika mereka kurang faham
tentang kuasa-kuasa yang ada pada mereka dan, kerana
terdorong oleh nafsu, menyalahgunakan kuasa itu." 

Amaran Dr. Mahathir ini masih relevan dengan suasana
politik negara kini walaupun bukunya telah ditulis
pada tahun 1976, di mana campur tangan luar bukan lagi
berlaku secara sembunyi, tetapi berlaku secara
terang-terang. Kumpulan-kumpulan agama tertentu turut
diperalatkan secara tidak langsung oleh pihak luar
itu. 

Dalam pendahuluan yang sama Dr. Mahathir menyebut
tentang orang Islam yang diperalatkan oleh musuh
agama. Beliau bercerita, dalam sebuah majlis seorang
pensyarah dengan berani menyebut ayat-ayat al-Quran,
hadis dan sejarah Islam untuk menyokong pendapatnya
bahawa orang Melayu patut bertindak supaya pemimpin
sebangsa dan seagama dengan mereka dapat dibunuh
dengan mudah oleh komunis. 

Dr. Mahathir berkata, syarahan pensyarah itu secara
langsung menjadikan Islam sebagai alat musuh Islam dan
musuh orang Melayu. 

Ini juga yang sedang berlaku di sebalik tabir dengan
Pas dan puak reformasi sekarang. 

Dr. Mahathir mempertikaikan terjemahan dan tafsiran
sebuah hadis yang terkandung dalam sebuah buku. 

Hadis itu ialah La taa'ata limakhluuqin fii ma'siati
al-khaaliqi. 

Penulis buku tersebut menterjemah maksudnya sebagai
"Jangan ditaati kepada seorang makhluk yang
bergelumang dengan maksiat terhadap khaliq (Allah)." 

Dr. Mahathir berkata, sepatutnya hadis termaksud
diterjemahkan begini: "Janganlah (tidak boleh) taat
kepada makhluk dalam membuat maksiat kepada Tuhan." 

Begitu sekali Dr. Mahathir teliti dalam pemahaman
agama sehingga penulis membuat kesilapan dalam membuat
terjemahan dan tafsiran terhadap hadis itu dapat
dikesan dan diperbetulkan oleh beliau. 

Terjemahan hadis dan al-Quran yang menyeleweng masih
berlaku di hari ini. Sesetengah dilakukan secara
sengaja seperti menganggap Allah pun mencarut dalam
al-Quran di mana Dr. Mahathir mencabar siapa saja yang
dapat membuktikan terdapat ayat memperuntukkan perkara
itu, beliau akan membayar RM100,000. 

Bagaimanapun, Dr. Mahathir menjelaskan bahawa
pendapat, ayat-ayat al- Quran dan hadis yang
terkandung dalam buku beliau itu telah dibincang dan
dibahas khusus dengan beberapa orang yang
berpengetahuan dalam bidang agama. 

Tetapi apa yang menarik pada pendirian Dr. Mahathir
berhubung pemikiran agama yang digarap dalam buku itu
ialah beliau menerima sesiapa yang tidak setuju dengan
beliau dan mengalu-alukan sebarang kritik terhadapnya.


Beliau berkata, mungkin ada alim ulama yang tidak
setuju dengan pendapat dan terjemahan atau tafsiran
yang terdapat dalam buku berkenaan. 

"Tetapi penulis (Dr. Mahathir) ingin menegaskan bahawa
dalam semua yang ditulis, tidak ada tujuan atau niat
untuk sengaja mengelirukan. Mereka yang lebih cekap
bolehlah terang-terang mengulas dan menentang apa yang
telah diperkatakan asalkan mereka juga tidak ada niat
untuk sengaja membahas atau mengelirukan." 

Masalah nasional 

Beliau menerangkan apa tujuannya menulis buku
Menghadapi Cabaran yang menurutnya adalah berkenaan
orang Melayu dan untuk orang Melayu. Matlamatnya ialah
supaya orang Melayu pada zaman moden yang tinggal
dalam masyarakat majmuk dapat menyesuaikan diri dan
bersaing sesama sendiri dan dengan orang lain. 

Dr. Mahathir yang menganggap diri sebagai pelampau
Melayu merumuskan bahawa masalah orang Melayu di
Malaysia adalah masalah nasional dan bukan masalah
kaum. 

Beliau menganggap kejayaan mereka atau kegagalan
mereka akan melibatkan semua kaum lain di negara ini. 

Penulis ingin menarik perhatian bahawa orang-orang Pas
yang menuduh Dr. Mahathir jahil agama cuba
bandingkanlah buku Menghadapi Cabaran dan karya-karya
beliau yang lain yang membincangkan pelbagai isu
pemikiran Islam dengan karya-karya pemimpin mereka
yang bergelar ulama itu. 

Dr. Mahathir membincangkan pelbagai isu agama dalam
karya-karya beliau dalam usaha membaharui pemikiran
agama di kalangan orang Islam terutama orang Melayu.
Dengan itu pandangan yang dibentangnya merupakan
pandangan baru, original dan sesuai dengan zaman ini. 

Sedangkan pandangan yang dibentangkan ulama Pas dalam
beberapa buku 

yang boleh dibilang dengan jari itu merupakan
pandangan lapuk yang dikumpul dari kitab-kitab lama
atau kitab-kitab yang dihasilkan dalam lingkungan
berbeza dari negara ini termasuk kitab-kitab karya
Sayed Qutub. 

Kebanyakan pandangan yang terkandung dalam kitab-kitab
seperti itu dianggap kurang relevan dengan Malaysia. 

Lebih menarik lagi, kebanyakan buku ulama Pas yang
berada dalam pasaran bukan dihasilkan oleh mereka
sendiri, tetapi disusun oleh beberapa orang penulis
dan penyusun buku khas. Para penulis dan penyusun buku
itu menyalin kuliah dan ceramah para ulama Pas.
Kemudian dibukukannya dan dijual atas nama para ulama
Pas berkenaan. 

Buku-buku seperti itu tidak bermutu, tidak berwibawa
dan tidak boleh dijadikan rujukan ilmiah kerana
biasanya pandangan-pandangan yang terkandung di
dalamnya adalah pandangan yang cetek dan tidak matang
kerana ia merupakan ceramah ketika memberi kuliah
kepada orang awam. Kadangkala ia berciri latah. 

Buku-buku yang bermutu dan berwibawa adalah buku yang
dihasil melalui proses dialektika pemikiran yang
sangat lama dan mendalam. Begitulah Dr. Mahathir
menghasilkan buku-buku beliau yang berciri pemikiran
itu. 

Pokoknya penulis berani mencabar bahawa hanya sebuah
buku Dr. Mahathir Menghadapi Cabaran itu tidak dapat
dibandingkan dengan mana-mana karya ulama-ulama Pas
yang ada di pasaran kini. 

Tidak percaya cubalah baca dan buat perbandingan
sendiri. Tidakkah mereka berasa malu kerana menganggap
Dr. Mahathir jahil agama? Siapa sebenarnya yang jahil?


*Diubahsuai dari rencana yang disiarkan dalam Bicara
Agama, Mingguan Malaysia, 11 07 1999 


=====

__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Bid and sell for free at http://auctions.yahoo.com

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Mat Rencana <[EMAIL PROTECTED]>

Reply via email to