*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
  Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
ASSALAMUALAIKUM Sahabatku saudara/i yang dikasihi, disayangi, diingati dan 
dirahmati Allah Ta'ala sentiasa.

Bertemu kembali kita di pelayaran maya ini di dalam memuzakarahkan ilmu 
Allah yang tiada pernah habis-habisnya di anugerahkan-Nya kepada 
hamba-hamba-Nya yang diredhoi .

Bicara kali ini, saya perjelaskan nisbah kaitannya Ilmu Tauhid di dalam 
kajian saintifik.


- Ilmu Tauhid Berasaskan Kajian Saintifik -


TUJUAN utama penulisan ini ialah untuk menjelaskan sama ada ilmu Tauhid 
boleh diasaskan atau tidak kepada kajian saintifik. Bagi menjawab soalan ini 
perlu terlebih dahulu diterangkan apa yang kita maksudkan dengan ilmu Tauhid 
dan kajian saintifik serta dijelaskan ruanglingkup masing.


RUANGLINGKUP ILMU TAUHID

KITA semua sedia maklum bahawa ilmu Tauhid adalah intisari ajaran agama 
Islam. Ilmu ini merujuk kepada hakikat keesaan Allah SWT. Ilmu Tauhid 
membicarakan prinsip keesaan Tuhan. Di dalam ketuhanan Islam, Allah adalah 
Esa dari segi zat-Nya, Esa dari segi sifat-sifat-Nya dan Esa dari segi 
perbuatan-Nya.

Sumber utama ilmu Tauhid ialah ajaran wahyu seperti yang terkandung di dalam 
Kitab Suci Al-Quran. Allah sendiri memberitahu manusia siapa Dia, apakah 
sifat-sifat diri-Nya dan apakah aktiviti-aktiviti-Nya. Di dalam hal ini, 
peranan akal adalah sekadar untuk memahami makna butir-butir diri Tuhan yang 
Dia sendiri telah maklumkan (tajallikan) kepada kita.

Ayat Al-Quran yang bermaksud "Katakanlah (wahai Muhammad!) "Allah Maha Esa 
(Ahad)", menegaskan keesaan Tuhan dari segi Zat-Nya kerana Allah adalah nama 
zat Tuhan. Tetapi ayat yang sama turut menegaskan keesaan Tuhan dari segi 
sifat-sifat-Nya dan dari segi perbuatan-perbuatan-Nya (af'al) kerana Allah 
adalah nama Tuhan yang serba meliputi. Di dalam nama Allah terhimpun segala 
sifat Tuhan atau segala nama-Nya yang lain seperti Al-Rahman, Al-Rahim, 
Al-Hayy, Al-Qudus dan sebagainya.

Sifat-sifat Tuhan atau nama-nama-Nya adalah sebenarnya hubungan antara zat 
Tuhan dan setiap sesuatu selain daripada-Nya. Dengan kata lain, alam semesta 
mempunyai hubungan dengan Allah menerusi nama-nama-Nya. Malahan alam semesta 
adalah mazahir (manifestasi) nama-nama Tuhan. Oleh sebab itulah di dalam 
Al-Quran setiap kali Allah menerangkan tentang sesuatu kejadian yang 
dicipta-Nya Dia sudahi keterangan-Nya itu dengan menyebut satu dua nama-Nya.

Sebagai contoh, ayat di dalam surah Yasin yang bermaksud "Dan matahari 
beredar ke suatu tempat yang sudah ditetapkan baginya; demikianlah ketentuan 
(Allah) Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana". Ada hubungan hakiki antara 
peredaran matahari dan dua nama atau sifat Allah yang disebutkan di sini. 
Gerakan matahari dan peredarannya yang mematuhi hukum-hukum tertentu adalah 
manifestasi keperkasaan dan kebijaksanaan Allah. Pengetahuan manusia yang 
mendalam tentang peredaran matahari di dalam sistem planet kita akan 
menimbulkan kesedaran di dalam dirinya tentang kekuasaan dan kebijaksanaan 
Penciptanya.

Al-Quran memang menjelaskan bahawa nama Allah juga meliputi segala 
perbuatan-Nya. Keesaan Allah dari segi sifat-sifat-Nya yang bermakna keesaan 
Allah dari segi perbuatan-Nya. Menurut Al-Quran lagi, demikianlah juga 
sebaliknya. Kesatuan alam semesta membuktikan keesaan Allah.

Sepotong ayat ayat Al-Quran mengemukakan hujjah berikut :

"Kalaulah terdapat di kedua-duanya (yakni langit dan bumi) Tuhan-tuhan 
selain Allah nescaya rosak binasalah kedua-duanya."

[Al-Anbiya' : 22]

Ayat ini menegaskan kepada kita bahawa alam semesta wujud dalam keadaan 
kesatuan atau dalam keadaan teratur, bertertib dan terencana kerana yang 
menciptanya ialah Tuhan Yang Maha Esa.

Dengan kata lain, Al-Quran memberitahu manusia bahawa sekiranya mereka 
mengkaji alam semesta ini dengan teliti serta adil dan saksama (atau 
objektif, menurut istilah ahli-ahli sains zaman sekarang) maka mereka akan 
dapati alam ini benar-benar merupakan sebuah kosmos, bukan chaos, yakni alam 
yang teratur, bertertib dan terencana. Hakikat ini sepatutnya diterima oleh 
mereka sebagai bukti keesaan Allah.

Ajaran agama memberitahu kita bahawa tidak ada sesiapa pun yang dapat 
mengetahui tentang zat Allah. Hanya Allah yang mengetahui rahsia zat-Nya. 
Bagaimana pun, ada dua aspek diri Tuhan yang boleh diketahui oleh manusia. 
Aspek pertama ialah sifat-sifat-Nya dan aspek satu lagi ialah 
aktiviti-aktiviti-Nya. Sebenarnya dua aspek ini tidak dapat dipisahkan 
antara satu sama lain. Aktiviti Tuhan mencerminkan sifat-sifat-Nya dan 
sebaliknya pada Tuhan menzahirkan sifat-sifat-Nya menerusi aktiviti-Nya.

Di dalam konteks perbincangan kita tentang hubungan antara Tauhid dan sains, 
adalah penting kita merujuk kepada hakikat bahawasanya manusia boleh 
mengetahui sifat-sifat dan perbuatan Allah. Suatu soalan yang wajar 
ditimbulkan di sini ialah adakah sains berkemampuan mencapai ilmu 
pengetahuan tentang sifat-sifat Allah dan perbuatan-Nya tanpa bantuan agama 
atau wahyu??? Tentang perbuatan Allah yang samalah maksudnya dengan alam 
ciptaan-Nya manusia memang mampu mengetahuinya menerusi daya usahanya 
sendiri, iaitu dengan membuat pencerapan, menjalankan ujikaji dan analisis 
rasional dan berbagai-bagai lagi bentuk pengajian dan penyelidikan ilmiah.

Namun demikian perlu ditegaskan bahawa tanpa bimbingan agama kemampuan sains 
untuk membongkar rahsia alam semesta ini adalah sangat terbatas. Sains akan 
memperolehi keupayaan yang lebih besar dan akan mencapai kemajuan yang lebih 
seimbang apabila kegiatannya disinari dengan cahaya agama. jangan 
sekali-kali pandangan kita dikaburi oleh kejayaan ajaib yang dicapai oleh 
sains moden, iaitu sains yang kita ketahui telah membelakangkan agama.

Ada beberapa perkara yang patut ada di dalam ingatan kita. Pertama, sains 
moden tidak bermula daripa tiada dan berakhir dengan segala pencapaian yang 
menakjubkan seperti yang dapat kita lihat sekarang ini. Sains moden 
menggunakan tapak sains yang sudah disediakan oleh sains Islam. Dari segi 
falsafah alam, falsafah manusia dan falsafah ilmu, mungkin sains moden telah 
berkerat rotan, berputus arang dengan sains Islam dan sain pra-moden yang 
lain. Tetapi dari segi pengetahuan sains, sains moden adalah kesinambungan 
daripada sains Islam. Dengan kata lain, sains moden bertitik-tolak daripada 
pengetahuan saintifik yang sebahagian besarnya adalah sumbangan 
tamadun-tamadun beragama, khususnya tamadun Islam.

Kedua, banyak ahli sains yang membuat sumbangan besar terhadap perkembangan 
dan kemajuan sains moden adalah individu yang mempunyai kepercayaan agama, 
sekurang-kurangnya kalau dilihat dari kacamata Islam tentang konsep agama. 
Tokoh-tokoh sains moden seperti Johannes Kepler, Isaac Newton dan Albert 
Einstein dan para pengasas ilmu fizik kuantum pada kurun ke-20 ini bukan 
sahaja menyakini kewujudan Tuhan Yang Maha Esa, malah konsep alam semesta 
mereka hampir-hampir sama dengan konsep alam semesta di dalam Islam yang 
berdasarkan ajaran Tauhid. Mereka ini boleh saya sifatkan sebagai ahli 
Tauhid tanpa Nabi dan Rasul dan tanpa syariah. Di dalam kes Einstein, memang 
ada hubungan konsep yang jelas antara pemikiran sainsnya dan pandangan 
Tauhidnya.

Ketiga, sains moden baru berusia lebih kurang 350 tahun. Ini suatu usia yang 
sangat muda barbanding dengan usia sains di dalam kebanyakan tamadun 
beragama sebelum zaman moden seperti usia sains Islam yang mampu 
mempertahankan kegemilangannya selama lebih kurang lapan kurun. Walaupun 
usia sains moden masih muda, tetapi banyak pemerhati masa kini telah 
mengeluarkan pendapat yang era sains moden sudah berakhir.

Teori ilmu dan pandangan alam semesta yang menjadi asas kepercayaan falsafah 
sains moden sejak kelahirannya pada kurun ke-17M tidak dapat dipertahankan 
lagi ekoran daripada perkembangan-perkembagan dalaman baru yang dicetuskan 
oleh sains itu sendiri. Ada pendapat mengatakan manusia Barat sekarang 
sedang memasuki suatu era baru di dalam sejarah pemikiran sains, iaitu era 
sains pasca moden.

Berdasarkan ketiga-tiga perkara yang saya sebutkan ini saya ingin menegaskan 
semula kesimpulan berikut. Walaupun sains mampu menghasilkan 
penemuan-penemuan saintifik baru, merumuskan teori-teori sains baru dan 
menghasilkan berbagai-bagai bentuk teknologi baru tanpa bantuan agama, namun 
pencapaiannya tentu lebih besar, keterangan-keterangannya lebih memuaskan 
kehendak akal manusia dan kemajuannya lebih menguntungkan umat manusia 
sekiranya ia berpadu tenaga dengan agama. Dalam hal ini saya ingin memetik 
kata-kata masyhur Einstein :

"Agama tanpa sains buta, sains tanpa agama cacat."

Bagaimana pula dengan ilmu tentang sifat-sifat Tuhan??? Mampukah sains 
menemui sifat-sifat Tuhan dengan bergantung semata-mata kepada kaedah 
saintifik yang sudah terbuk sangat berkesan dan berhasil di dalam bidang 
pengajian alam lahiriah??? Elok kita bincangkan dahulu secara ringkas sifat 
sains dan ruanglingkup kajian saintifik menurut fahaman umum dewasa ini. 
Tetapi sebelum itu kita boleh memberi jawapan berdasarkan ajaran wahyu 
Islam.

Ilmu Ilahiyah (metafizik) atau Ilmu Usuluddin memberitahu kita bahawa wahyu 
adalah satu-satunya sumber ilmu kita tentang sifat-sifat Allah. Allah 
sendiri yang mengajar kita nama-nama-Nya atau sifat-sifat-Nya. Kalau Dia 
tidak memberitahu kita tentangnya maka kita tidak akan mengetahuinya. Adalah 
di luar kemampuan tabii akal manusia untuk membuat penemuan sendiri tentang 
sifat-sifat Tuhan. Tetapi setelah kita diberitahu nama-nama-Nya akal kita 
mampu memahami makna yang terkandung di dalam nama-nama itu.

Dan yang pentingnya, menurut Al-Quran, ilmu kita tentang sifat-sifat Allah 
boleh menjadi lebih mendalam dan lebih meyakinkan dengan bertambahnya ilmu 
pengetahuan kita tentang alam semesta. Tegasnya, andainya kita berIman 
dengan sifat-sifat Allah yang diwahyukan menerusi Al-Quran itu maka sains 
boleh membantu meningkatkan ilmu kita tentang sifat-sifat Allah. Dengan kata 
lain, ada peranan bagi sains untuk memantapkan ilmu Tauhid seseorang insan.


RUANGLINGKUP KAJIAN SAINTIFIK


KAJIAN saintifik adalah berdasarkan pencerapan pancaindera, kaedah ujikaji. 
kaedah matematik yang bersifat kuantitatif dan analisis data (maklumat) 
secara rasional yang melibatkan fikiran logik (mantik). Bagi tujuan 
menghasilkan pengumpulan data atau maklumat seseorang ahli sains akan 
menggunakan pancainderanya dengan dibantu oleh peralatan saintifik yang 
terkini. Demikian juga dengan ujikaji. Bagi tujuan membuat pentafsiran data 
yang sudah terkumpul beliau akan menggunakan peralatan konsep yang sesuai 
yang tersimpan di dalam fikirannya dan teknik-teknik analisis dan sintesis 
atau teknik-teknik berfikir yang biasa dikaitkan dengan ilmu mantik.

Pada umumnya, kajian saintifik terbatas kepada benda-benda atau 
kejadian-kejadian yang dapat dialami oleh pancaindera, yang dapat diukur dan 
disukat (yakni, yang boleh diberi kuantiti) dan yang boleh dianalisis dengan 
menggunakan kaedah-kaedah logik. Proses pentafsiran dan ujikaji akhirnya 
akan membuahkan hukum-hukum atau teori-teori sains yang merupakan idaman 
utama ahli-ahli sains.

Maka jelaslah bahawa kajian saintifik sangat sesuai dan berguna di dalam 
usaha mendapatkan ilmu tentang alam lahiriah dan alam kuantiti. Tetapi 
kaedah saintifik tidak boleh digunakan untuk mengkaji alam rohaniah, jauh 
sekali daripada mengkaji sifat-sifat Tuhan. Alam rohaniah tidak boleh 
dialami dengan pancaindera, tidak boleh diberi kuantiti dan tidak tertakluk 
kepada hukum-hukum matematik yang bersifat kuantitatif. Namun demikian kita 
masih boleh bertanya : Apakah tidak mungkin akal manusia melanjutkan proses 
pentafsiran di dalam sains sehingga menyentuh aspek ketuhanan?

Akal manusia memang mempunyai kecenderungan tabii untuk membuat pelbagai 
tafsiran apabila ianya disuapkan dengan maklumat-maklumat. Tetapi 
pentafsiran boleh menghasilkan berbagai-bagai kesimpulan. Kepercayaan yang 
dianuti seseorang ahli sains boleh mempengaruhi pentafsirannya. Oleh sebab 
itulah ada ahli-ahli sains yang mengemukakan pengetahuan sains sebagai hujah 
untuk menafikan kewujudan Tuhan dan menidakkan kebenaran agama.

Tetapi ada pula ahli-ahli sains yang menggunakan pengetahuan yang sama 
sebagai dalil untuk membuktikan kewujudan agama dan kebenaran agama. 
Nampaknya, kesimpulan akhir tentang Tuhan dan agama yang dibuat oleh 
seseorang ahli sains banyak bergantung kepada kepercayaannya tentang Tuhan 
dan agama yang sedia ada pada dirinya sebelum dia membuat kajian saintifik 
dan pentafsiran terhadap penemuan-penemuan saintifik.

Jika orang itu sudah berIman sedikit sebanyak dengan Tuhan dan wahyu maka 
pengetahuan sainsnya akan menjadi bukti kebenaran kepercayaannya. Sebaliknya 
jika dia tidak percaya kepada Tuhan maka pengetahuan sainsnya akan 
dijadikannya bukti untuk membenarkan kepercayaannya itu. Walau bagaimana 
pun, sekiranya seseorang itu ikhlas untuk mencari kebenaran maka ada 
kemungkinan besar pengetahuan sainsnya akan mendorong dirinya untuk mengubah 
kepercayaannya yang tidak selaras dengan pengetahuan itu.

Hakikat inilah yang ditegaskan di dalam Al-Quran. Menurut Al-Quran, 
orang-orang yang berIman menerima hakikat bahawa seluruh isi alam ini adalah 
risalah daripada Tuhan. Tetapi orang-orang yang menafikan kewujudan Tuhan 
berada dalam kebingungan tentang asal usul dan matlamat alam semesta. 
Pengetahuan sains mereka lebih banyak menimbulkan tanda tanya daripada 
menjawab soalan. Ia tidak membawa mereka kepada keyakinan tetapi sebaliknya 
mencetuskan banyak keraguan di dalam diri mereka. Tegasnya, mereka 
seolah-olah menemui jalan buntu di dalam pemikiran mereka tentang alam ini.


HUBUNGAN ANTARA TAUHID DAN SAINS


SEPERTI yang telah disebutkan tokoh sains seperti Einstein kuat berpendapat 
bahawa sains dan agama tidak seharusnya dipisah-pisahkan. Agama memerlukan 
sains dan sains memerlukan agama. Seperti kata beliau, tanpa sains agama 
menjadi buta. Dengan kata lain, sains mempunyai peranan penting untuk 
membantu cahaya agama menjadi lebih bersinar. Kedudukan agama menjadi lebih 
kuat dan kukuh apabila penganut-penganut agama itu menghasilkan pengetahuan 
dan budaya sains yang tinggi.

Begitu juga sebaliknya. Tanpa agama sains menjadi tempang. sains tidak boleh 
berjalan dengan betul sekiranya ia tidak dibimbingi oleh agama. Itulah yang 
terjadi sekarang. Sains membawa banyak manusia zaman moden kepada kesesatan 
serta meninggalkan banyak kesan buruk ke atas kehidupan manusia dan alam 
sekitar kerana telah disalah-gunakan. Sains moden tempang dari segi teori 
dan amali kerana ia telah membelakangkan agama.

Khususnya, sains memerlukan bimbingan Tauhid. Dalam sejarah manusia, sudah 
terbukti bahawa ilmu Tauhid adalah punca utama kemajuan sains. Pemikiran 
Tauhidlah yang memberi inspirasi kepada Einstein untuk menghasilkan 
teori-teori sains yang agung pada kurun ke-20 ini. dalam tamadun Islam ilmu 
Tauhid menjadi asas utama pemikiran sains.

Tauhid juga memerlukan sains. Oleh itu ada kewajarannya bagi kita 
mengemukakan konsep "Tauhid yang berasaskan kajian saintifik". Ilmu 
ketuhanan Islam sendiri mewajarkan konsep ini. Seperti yang telah saya 
jelaskan sebelum ini, manusia hanya boleh mengetahui sifat-sifat Tuhan 
menerusi pengetahuannya tentang alam. Mereka yang belajar "sifat dua puluh" 
secara tradisionalnya tentu sedar bahawa alam semesta dan segala isi 
kandungannya dikemukakan sebagai dalil atau bukti untuk membenarkan 
sifat-sifat Tuhan yang berkenaan. Untuk kita mengetahui Allah adalah perlu 
kita mempunyai ilmu tentang "selain daripada Allah". Yang dimaksudkan dengan 
"selain daripada Allah" ialah alam semesta.

Salah satu prinsip yang kita dapati daripada Tauhid ialah prinsip kesatuan 
alam tabii. Prinsip ini menjadi titik-tolak dan juga matlamat sains Islam. 
Maksudnya, ahli-ahli sains Islam memulakan kajian saintifik mereka dengan 
menerima kebenaran prinsip kesatuan alam tabii sebagai akibat daripada 
keesaan Allah SWT. Prinsip itu juga dikatakan matlamat sains dalam ertikata 
bahawa ahli-ahli sains Islam ingin membuktikan kebenaran prinsip ini 
menerusi sains. Semakin banyak pengetahuan sains yang dicapai semakin 
benarlah dan semakin kukuhlah prinsip kesatuan alam tabii. Dan secara 
implikasi prinsip keesaan Tuhan juga menjadi semakin benar dan kukuh dalam 
pandangan ahli-ahli sains Islam dan juga masyarakat umum.


KESIMPULAN


MASYARAKAT Islam perlu menyuburkan ilmu Tauhid dan menjadikan ilmu itu 
sebagai titik-tolak pengajian sains. Dengan berbuat demikian kita akan 
meletakkan sains di atas landasan pemikiran yang kukuh. Tauhid juga akan 
menjadi sumber inspirasi utama bagi generasi muda untuk belajar sains dan 
mengkaji alam yang luas ini.

Masyarakat Islam perlu mempunyai kesedaran mendalam bahawa sains 
memperkukuhkan ajaran agama Islam itu sendiri. Kajian saintifik perlu 
digalakkan sebagai salah satu cara utama yang membolehkan kita memajukan 
ilmu Tauhid.


Wallahu ta'ala a'lam.......

Wassalamu.......

Al-Fakir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri

______________________________________________________
Get Your Private, Free Email at http://www.hotmail.com

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Abdul Jamil Lam" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke