BERITA MALAYSIA


November 05 , 1999 22:28PM

 

PENDAKWA RAYA SYARIE KES AZIZAN TERIMA UGUTAN BERSAMA SEBUTIR PELURU

 

MELAKA, 5 Nov (Bernama) -- Timbalan Pendakwa Raya Syarie yang mengendalikan kes khalwat Azizan Abu Bakar, saksi utama perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima surat ugutan bersama sebutir peluru yang dimasukkan ke dalam peti surat di rumahnya semalam.

Eri Nizam Abu Samah, 31, berkata surat ugutan dan peluru bersaiz 7.65 mm itu ditemui isterinya di rumah mereka di Batu Berendam.

Kandungan surat ugutan itu berbunyi: "Eri Nizam ... Kamulah manusia yang paling tak guna. Campur adukkan yang mulia dengan politik. Saya orang yang tak suka tengok manusia durjana seperti awak hidup di dunia ini. Langkah pertama, saya hadiahkan peluru ini. Langkah kedua, tentunya awak tak sempat mengucap nanti. Mampuslah engkau."

Eri Nizam merupakan pendakwa kes khalwat Azizan dengan Norhayati Saad yang masing-masing dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan denda berjumlah R13,300 oleh Mahkamah Rendah Syariah Alor Gajah pada 28 Sept lepas.

Eri Nizam ketika ditemui pemberita di sini berkata surat beserta peluru itu dimasukkan ke dalam sampul berwarna kuning dan diambil oleh isterinya daripada peti surat mereka petang semalam tanpa membukanya.

"Saya menyedari hal itu sebaik sahaja pulang ke rumah dari Port Dickson, Negeri Sembilan pada kira-kira pukul 10.40 malam tadi," katanya.

Katanya beliau terus membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam berhubung perkara itu kira-kira pukul 11 malam tadi.

"Apa yang diutamakan kini ialah keselamatan isteri dan anak-anak saya," kata Eri Nizam dan menurutnya beliau masih berasa terkejut dengan kejadian itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Melaka SAC 11 Ahmad Lihat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan ugutan itu dan sedang menyiasat. -- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke