IPOH, 3 Nov (Bernama) -- Peningkatan
jumlah hujan bulan lepas, tertinggi dalam tempoh 50 tahun,
menyebabkan banjir besar di Daerah Kerian khususnya di Bagan Serai,
kata Menteri Besar Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Beliau berkata banjir di kawasan terbabit adalah
akibat alam semulajadi dan bukan faktor lain termasuk pembangunan
seperti yang didakwa oleh parti pembangkang.
"Berdasarkan
maklumat daripada Jabatan Kaji Cuaca, jumlah air hujan pada bulan
lepas di lembah Kerian melebihi 129 peratus berbanding bulan yang
sama pada tahun sebelumnya, manakala di lembah Kurau melebihi 13
peratus daripada bulan yang sama tahun lepas," katanya kepada
pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini.
Ramli berkata keadaan itu bertambah buruk apabila air laut
pasang setinggi 1.95 meter pada 25 Okt berbanding 1.06 meter pada
tarikh yang sama tahun lepas dan diburukkan lagi dengan keadaan laut
yang bergelora dengan angin kencang dan ombak yang tingi," katanya.
Mengenai mangsa banjir, beliau berkata bilangan mereka yang
masih berada di 10 pusat pemindahan setakat ini hanya 2,086 orang
berbanding 4,000 orang pada Sabtu lepas.
Jawatankuasa
Pengurusan Bencana Negeri juga masih dalam keadaan berjaga-jaga
berikutan ramalan Kaji Cuaca bahawa hujan bulan ini bagi keseluruhan
Perak akan bertambah sebanyak 30 peratus dengan jumlah hujan antara
21 dan 24 hari, katanya.
Ramli berkata kerajaan negeri telah
mengambil pelbagai strategi untuk mengatasinya termasuk menyediakan
lebih banyak pusat pemindahan selain tempat untuk pelajar menduduki
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan.
Antara langkah jangka pendek dan panjang yang diambil
termasuk menggunakan pam air, membina dan membaiki pembentung bagi
mengalirkan air yang bertakung di kawasan rendah di Bagan Serai ke
Sungai Kurau, katanya.
Katanya kerajaan negeri juga akan
membina ban sepanjang tiga hingga empat km yang berharga RM300,000
di kawasan itu untuk menangani masalah banjir.
Ramli turut
membidas tindakan parti pembangkang yang mengambil peluang keadaan
bencana alam ini dan penderitaan penduduk kawasan tersebut terpaksa
berpindah untuk tujuan politik mereka.
Menurutnya parti
pembangkang telah mengambil kesempatan itu dengan menghebahkan
sumbangan bekalan minuman botol yang mempunyai cop parti-parti
pembangkang.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan
Bencana Negeri Datuk Abdul Majid Hussain berkata banjir yang agak
serius di kawasan Bagan Serai adalah juga kerana pelepasan air dari
Empangan Temenggor di daerah Hulu Perak dan juga Empangan Bukit
Merah di Taiping, lebih daripada kadar biasa.
Air di
kedua-dua empangan tersebut perlu dilepaskan bagi mengelakkan
empangan itu pecah kerana jumlah air takungan melebihi kapasitinya,
katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan lampin pakai
buang daripada syarikat Kimberly-Clark Malaysia untuk mangsa banjir.
Abdul Majid yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata
banjir kilat di Teluk Intan dan Bagan Datoh pada minggu lepas pula
adalah berpunca daripada air laut pasang.
Pengarah
Pembangunan Manusia Kimberly Haji Mahyudin Omar menyampaikan
sumbangan bernilai RM10,000 yang berupa 600 paket lampin kepada
Abdul Majid.
--BERNAMA |