KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Timbalan
presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Dr Chandra Muzaffar hari
ini memfailkan saman fitnah berjuta-juta ringgit terhadap bekas
penolong gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid kerana
mendakwanya (Dr Chandra) menerima RM5 juta daripada Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Dakwaan bahawa Chandra dan Aliran telah
menerima wang sejumlah itu terkandung di dalam akuan bersumpah
bertarikh 26 Okt 1999, yang turut menyenaraikan dakwaan
penyelewengan bekas perdana menteri itu.
Dalam kenyataan
tuntutannya yang difailkan oleh Tetuan Skrine & Co di Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur, Chandra menuntut RM25 juta bagi ganti rugi am
dan RM45 juta bagi ganti rugi teruk, kos dan relif lanjutan lain.
Beliau juga memfailkan satu injunksi untuk menghalang Murad,
ejen-ejennya, pekerja-pekerjanya atau yang lain, daripada terus
menerbitkan dakwaan itu.
"Perkataan-perkataan (di dalam
dakwaan itu) adalah palsu dan merupakan satu fitnah yang teruk ke
atas Chandra," kata kenyataan tuntutan itu.
Dalam akuan
berkanun yang diumumkan pada 28 Okt lepas, Murad, 46, mendakwa
bahawa lebih 20 "akaun induk" bernilai RM3 bilion diuruskan oleh
orang tertentu untuk membolehkan Anwar memajukan cita-cita
politiknya.
Beliau juga mendakwa bahawa sekurang-kurangnya
sembilan pihak, termasuk Aliran dan Chandra, telah dibayar wang yang
berjumlah RM121 juta sepanjang tempoh 1992 hingga 1997.
Menurut kenyataan tuntutan itu, "pada mana-mana peringkat
masa pun, Chandra tidak menerima apa-apa wang daripada Anwar Ibrahim
atau Tabung Induk yang dikatakan itu. Pada mana-mana peringkat masa
pun, Chandra tidak membenarkan dirinya dipergunakan untuk kemaraan
cita-cita politik Anwar Ibrahim."
Secara inuendo,
perkata-perkataan itu telah bermaksud untuk "memburukkan dan
menghina" Chandra di dalam jawatannya sebagai timbalan presiden
Keadilan.
"Disebabkan oleh penerbitan perkataan-perkataan
itu, keperibadian, nama baik dan reputasi Chandra telah terjejas
teruk," kata kenyataan tuntutan itu.
Menurut kenyataan
tuntutan itu, Chandra juga telah berhenti sebagai presiden Aliran
mulai 1991 dan hanya menjadi anggota biasa dari 1992 hingga 1997,
yang bermakna beliau tidak mempunyai apa-apa peranan dalam proses
membuat keputusan Aliran pada tempoh yang dikatakan itu.
"
Disebabkan oleh penerbitan perkataan-perkataan itu, Chandra
dipandang rendah oleh mereka yang berfikiran wajar secara amnya, dan
beliau telah dilibatkan dengan skandal awam, kebencian dan
penghinaan," kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
|