PENJELASAN DESAKAN BELIA 4B AGAR BUKU MAHAFIRAUN HARAMKAN?


Akhbar Utusan Malaysia (disebut juga Utusan Meloya) hari ini (6 November), di muka surat 8 ruangan tujuh dan lapan telah menyiarkan desakan Gerakan Belia 4B kawasan Kemaman Terengganu supaya Kementerian Dalam Nengeri (KDN) mengharamkan buku saya; SAYA ADALAH MAHAFIRAUN.

Desakan itu dibuat oleh orang bernama Mustafa Abdul Rahman yang mengakui dirinya Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia. (Masih wujud lagi ke belia 4B ini?) Beliau juga mencadangkan agar Jawatan Kuasa Menangani Fitnah (dan membuat Fitnah) yang dipengerusikan oleh Datuk Paduka Ibrahim Ali (yang digelarkan sebagai Katak), membuat penyiasatan dan mendakwa saya.

Alasan yang dikemukakan ialah kerana buku saya itu telah mengkritik Dr Mahathir Mohamad sebagai PM habis-habisan. Beliau juga telah menuduh buku itu telah menghina dan melanggar adat resam dan agama. (Waduh sedap bunyinya..).

Selain itu beliau juga berkata adalah tidak wajar bagi seorang penulis yang menganut Islam menganggap Perdana Menteri sebagai mahafiraun dan mahazalim. (Sebenarnya yang mengaku dirinya Mahafiraun adalah Mahathir sendiri).

Saya sedikit pun tidak terkejut dengan desakan itu, malah saya sudah ,menunggu satu hari nanti buku saya itu akan diharamkan juga dan mereka akan bertindak ke atas saya. Justeru saya menyeru sesiapa yang belum baca buku itu segera memilikinya.

Seperti saya nyatakan bahwa saya bersedia menghadapi apa jua. Kalau saya penakut saya tidak akan menulis buku politik dan mendedahkan keburukan orang. Adalah lebih baik saya duduk dalam selimut dengan bini sahaja. Saya adalah seorang penulis yang merakam perisitiwa dan sejarah negara. Saya adalah penganalisis dan pembongkar segala kemungkaran tokoh-tokoh politik. Itu tanggungjawab saya kepada agama, bangsa dan negara! Saya tidak bertanggung kepada mana-mana parti politik, terutamanya Umno.

Jadi untuk apa saya takut? Saya akui saya telah mengkritik Dr Mahathir didalam buku itu. Sebelum mendesak agar buku itu diharamkan dan tindakan diambil ke atas saya, Sdr Mustafa Abdul Rahman dan sesiapa sahaja, patut bertanya kenapa saya berbuat demikian? Kenapa saya mengkritik Mahathir. Kenapa saya tidak kritik, tokoh-tokoh lain; Abdullah Badawi, Syed Hamid atau lain-lain? Kenapa saya tidak kritik tokoh-tokoh lain? Sebabnya mereka tidak sedurjana Dr Mahathir dalam tindak tanduk politiknya.

Lagi pun Dr Mahathir adalah seorang ketua. Seorang ketua bukan saja kena bijaksana, berfikiran jauh tetapi ia juga kena adil dan saksama dengan manusia dan rakyat. Ia juga kena patuh dan hormati kepada segala hukum hakam Allah, bukannya mempersenda-sendakannya.

Tetapi apa yang Dr Mahathir lakukan hari ini sudah melampau dari kacamata saya dan rakyat lain juga. Menuduh orang berzina, meliwat, rasuah dan sebagainya tanpa bukti dan saksi yang mutlak, apakah tidak melampau? Menuduh Nabi tidak cukup janggut kerana tidak ada pisau cukur bukankah melampau? Saya tidak tahu dari juring dan sudut mana yang Mustafa Abdul Rahman dapat melihat kebaikan Dr Mahathir khususnya dalam konteks pergolakan politik hari ini. Apakah kerana beliau seorang penaung Gerakan Belia 4B, maka ia harus dilihat baik, ikhlas, jujur dan sempurna? Begitukah justifikasi yang Mustafa lakukan?

Saya ingin menjelaskan dakwaan Mustafa mengatakan saya seorang penulis yang rapat dengan Anwar, tuduhan itu tidak benar. Saya bukan rapat dengan Anwar. Dan dalam hidup saya, saya bersalam dengan Anwar tiga kali sahaja. Pertama di lobby Parlimen tahun 1993, kedua di rumah ramsinya sebagai TPM, 2 September 1998, dan ketiga di Kota Bharu bulan Oktober, 1998. Saya bukan baik dengan Anwar, malahan saya sewaktu dulu dicap sebagai musuh dan orang yang cuba merosakkan imej politik Anwar. Untuk pengetahuan, saya juga pernah diacahkan dengan saman oleh sdr Annuar Tahir Setiausaha Agung ABIM ketika itu gara-gara saya menulis dan menerbitkan buku berjudul ANWAR IBRAHIM – MIMPI DAN REALITI. Buku itu mengkritik Anwar habis-habisan. Tetapi Alhamdulilah akhir ini kritikan saya lapan tahun lalu diterima jua hari ini...

Hari ini kalau sdr Musftafa atau sesiapa melihat saya seperti membela Anwar itu adalah satu ‘kebetulan’, Kebetulan yang disengajakan kerana Anwar memerlukan pembelaan dan sanjungan ketika ini. Jadi atas prinsip saya sebagai penulis; perakam sejarah, penganalisis politik dan pembongkar rahsia, saya akan memihak kepada kebenaran demi keadilan, walaupun orang yang membawa keadilan dan kebenaran suatu waktu dulu pernah saya musuhi. Saya menulis bukan dengan emosional, tetapi penuh resional. Saya bukan seorang pendendam yang membabi buta, tetapi seorang peka dan penuh prihatin.

Sekiranya esok Dr Mahathir kembali menghadap kiblat, meluruskan perjuangan dan memutihkan nawaitunya, jangan terkejut saya akan menyokong dan menyanjungnya. Saya akan menulis mengenai kebaikan dan kemurnian taubat-taubat nasuhanya. Begitu juga sekiranya selepas Barisan Alternatif menang kelak (inysa-Allah) dan Anwar menjadi PM, dan dia ikut sama memerintah ala Dr Mahathir seperti hari ini, saya juga akan serang beliau seperti mana saya serang Mahathir seperti sdr tafsirkan hari ini. Saya tidak ada budi yang harus dibalas oleh Anwar melainkan saya ada hati untuk memerhatinya.

Semoga dengan penjelasan ini sdr Mustafa, sekalian anggota belia Gerakan Belia 4B dan sekalian rakyat yang mempunyai pandangan seperti Pengerusi 4B Kemaman itu mengenali saya dan mengetahui prinsip saya. Saya menulis bukan kerana nama dan kekayaan, tetapi kerana kebenaran dan keadilan demi mencapai keredhaan Allah SWT.

Wassalam.

MOHD SAYUTI OMAR (MSO),
[EMAIL PROTECTED]

Kirim email ke