Ummi dilarang keluar kenyataan

KUALA LUMPUR, Selasa - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Ummi Hafilda Ali supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan berhubung perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

Hakim Datuk Ariffin Jaka, yang mengeluarkan perintah itu berkata, Ummi Hafilda perlu menutup mulut dan tidak lagi membuat sebarang ulasan mengenai kes berkenaan.

"Perbuatan ini adalah keterlaluan dan sepatutnya beliau memberi penjelasan dengan cara memberi keterangan dalam mahkamah ketika perbicaraan ini.

"Beliau adalah saksi penting yang akan dipanggil oleh pembela. Sungguhpun beliau berhak memberi pendapatnya, kebebasan ini tertakluk kepada perkara yang menjadi isu dalam perbicaraan ini, " katanya.

Ariffin berkata demikian selepas peguam bela Anwar, Karpal Singh memberitahu mahkamah mengenai laporan akhbar hari ini yang menyiarkan kenyataan Ummi Hafilda dalam satu ceramah di Batu Pahat.

Ummi Hafilda dilaporkan bersumpah dengan nama Allah menafikan beliau diupah untuk membuat fitnah terhadap Anwar, menerusi surat bertajuk "Perihal Salah Laku Timbalan Perdana Menteri".

Ariffin berkata, Ummi Hafilda tidak sepatutnya membuat sebarang ulasan berkaitan keterangan Anwar ketika membela diri di mahkamah.

Katanya, dalam laporan itu Ummi Hafilda juga memberi penjelasan terhadap dakwaan ke atasnya (Ummi Hafilda) berkaitan konspirasi mereka cipta bukti tuduhan liwat ke atas Anwar.

Ariffin berkata, Ummi Hafilda tidak boleh membuat alasan mengenai keterangan yang sudah diberi atau keterangan yang belum dikemukakan kepada perbicaraan itu.

Selain itu, Ariffin juga memberi peringatan kepada sesiapa jua supaya tidak lagi membuat sebarang ulasan berkaitan isu yang ditimbulkan dalam perbicaraan itu.

Sebelum itu, Karpal memberitahu mahkamah, sejak akhir-akhir ini, menjadi satu kecenderungan pihak tertentu membuat akuan bersumpah dan kenyataan akhbar untuk menyanggah keterangan yang diberikan kepada mahkamah ini.

Katanya, bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid dan Norhayati Mohd Yusof baru-baru ini membuat akuan bersumpah berkaitan dengan perbicaraan itu.

Karpal berkata, Ummi Hafilda dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Senator Datuk Abdul Aziz Shamsuddin juga membuat ulasan mengenai perbicaraan kes berkenaan.

Katanya, tindakan mereka itu amat berat dan mahkamah perlu berbuat sesuatu bagi menghalang kes berkenaan tidak diterus diulas di luar mahkamah.

Ariffin mencelah: Akuan bersumpah Murad itu hanya mengenai Datuk Seri (Anwar), tidak membabitkan kes ini. Tetapi bagi Norhayati, saya sendiri tidak tahu kenapa beliau muncul secara tiba-tiba kerana namanya langsung tidak disebut dalam perbicaraan ini.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail menjawab: Akuan bersumpah Norhayati sudah dibuat sebelum perbicaraan ini, kira-kira pada September 1998.

Ariffin: Datuk dah baca ulasan Ummi Hafilda. Apa yang beliau katakan dalam akhbar itu menyentuh perbicaraan ini. Suruh beliau tutup mulut. Beliau sepatutnya tahu yang beliau adalah seorang saksi dan tidak sepatutnya membuat kenyataan mengenai kes ini. Jika beliau masih buat kenyataan, tindakan menghina mahkamah boleh diambil.

Ariffin kemudian menangguhkan perbicaraan bagi membolehkan pembela dan pendakwa membaca akhbar yang menyiarkan ulasan Ummi Hafilda mengenai perbicaraan itu.

Karpal dan Abdul Gani kelihatan masuk ke kamar hakim dan selepas kira-kira 15 minit mereka keluar daripada kamar berkenaan.

Abdul Gani kemudian memberitahu mahkamah bahawa Ummi Hafilda ada membuat kenyataan dalam akhbar yang menyentuh isu yang ditimbulkan dalam perbicaraan itu.

Katanya, Ummi Hafilda tidak sepatutnya membuat kenyataan itu walaupun beliau memberi alasan untuk menjawab tuduhan terhadapnya yang disiarkan oleh Internet.

Abdul Gani berkata, beliau dan Karpal bersetuju bahawa tidak ada lagi ulasan dibuat mengenai kes itu.

Katanya, Karpal juga setuju untuk memberi nasihat kepada Anwar supaya tidak membuat kenyataan mengenai isu dalam perbicaraan itu.

Bagaimanapun, Karpal berkata Anwar membuat kenyataan sebagai menjawab tuduhan akuan bersumpah Abdul Murad.

Kirim email ke