Boleh CAKAP SAJA lah!

BERITA MALAYSIA


November 12 , 1999 18:23PM

 

SPR MINTA LIPUTAN SAKSAMA UNTUK SEMUA PARTI

 

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini meminta media cetak dan elektronik memberi peluang dan liputan saksama kepada semua parti politik yang bertanding pada pilihan raya umum 29 Nov ini.

Pengerusinya Datuk Omar Hashim berkata ini sesuai dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini."SPR juga berharap media massa memainkan peranan untuk menggalakkan rakyat keluar mengundi," katanya pada persidangan berita bagi mengumumkan tarikh pilihan raya umum ke-10 di sini.

Beliau juga meminta majikan sektor awam dan swasta memberikan peluang masa yang munasabah bagi membolehkan pekerja mereka pergi mengundi.

Ketika ditanya sama ada hari mengundi patut diisytiharkan sebagai cuti umum bagi memudahkan orang ramai mengundi, Omar berkata SPR tidak mempunyai kuasa untuk membuat pengisytiharan sedemikian. "Tapi kita harap begitulah," katanya.

Katanya SPR membuat permintaan supaya media membuat liputan sama rata setiap kali pilihan raya diadakan tetapi ia "tidaklah dalam nada yang begitu menekan". "Tetapi saya membuat rayuan khas kali ini," katanya.

Ketika ditanya mengenai tempoh berkempen yang dianggap pihak pembangkang sebagai pendek, Omar berkata: "Kita telah menunggu sekian lama... kempen pilihan raya sudah berjalan bagi satu setengah tahun yang lepas bagi semua parti.

"Tidak ada orang yang sebenarnya memerlukan kempen yang panjang memandangkan setiap orang sudah bersedia bagi pilihan raya ini termasuk SPR."

Omar berkata tempoh berkempen selama lapan hari itu adalah lebih daripada mencukupi, dan jika diambil kira dari tarikh pembubaran parlimen hingga ke hari pengundian, tempoh itu menjadi 19 hari.

"Malahan, tidak terdapat tempoh sebenar untuk berkempen kerana mengikut undang-undang, cuma terdapat masa yang tertentu bagi menamatkan kempen iaitu pada tengah malam menjelang hari pengundian," katanya.

SPR menetapkan 29 Nov sebagai tarikh mengundi manakala 20 Nov hari penamaan calon.

Omar berkata dalam hal ini, SPR terpaksa menimbang faktor dan kekangan seperti tempoh keperluan undang-undang, bulan puasa yang menjelang, peperiksaan umum dan faktor cuaca dan banjir hujung tahun.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata kertas-kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dijadual untuk 29 Nov akan ditunda ke tarikh baru. Bulan puasa dijangka bermula pada awal Disember.

"Musim tengkujuh adalah antara sebab kenapa SPR mahu ia dijalankan secepat mungkin memandangkan semakin dekat dengan akhir tahun, lebih banyak masalah mungkin akan dihadapi daripada segi banjir dan faktor lain di luar kawalan kita," kata Omar.

Beliau berkata pilihan raya kali ini adalah yang tersendiri memandangkan ia akan diadakan pada akhir tahun, tidak seperti pilihan raya-pilihan raya sebelum ini yang dijalankan lebih awal.

-- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke