Kenyataan akhbar(2) Ketua Pembangkang Parlimen, Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen bagi kawasan Tanjong, Lim Kit Siang di Petaling Jaya pada 2 November 1999

Saya Sedia Berbincang Dengan Hadi, Shukri Dan Semua Menteri Serta Ahli Parlimen PAS, UMNO, MCA Dan Gerakan Atas Isu Negara Islam Dan Hukum Hudud

Akhbar hari ini melaporkan Timbalan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata bahawa beliau sedia membincangkan isu negara Islam dengan saya, apabila wartawan menanyanya tentang percakapan saya yang terdahulu di Parlimen semalam apabila Ahli Parlimen UMNO bagi kawasan Machang, Datuk Sukri Mohamad mengganggu ucapan saya atas Belanjawan tahun 2000.

Demi mendapatkan penjelasan daripada saya, Sukri berdiri untuk membangkitkan subjek yang saya tidak sentuhkan dalam ucapan saya, iaitu menanya saya sama ada bersetuju dengan niat PAS untuk menubuhkan negara Islam dan mengamalkan hukum hudud atau tidak.

Jawapannya adalah jelas kerana DAP telah banyak kali berkata di luar dan di dalam Parlimen iaitu DAP tidak menyokong penubuhan negara Islam bagi masyarakat Malaysia yang bermajmuk, tetapi yang Sukri inginkan ialah publisiti murah daripada gangguan itu.

Saya enggan membenarkan Sukri untuk merampas perbahasan saya tentang penyelewengan di peringkat politik tertinggi, “double standard” yang diamalkan oleh Badan Pencegah Rasuah dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk menuntut penyiasatan terhadap pengisytiharan Murad atas Anwar Ibrahim sementara tiada tindakan atau keprihatinan ditunjukkan dalam 4 laporan polis Anwar mengenai penyelewengan di peringkat kerajaan tertinggi.

Saya memberitahu Sukri saya sedia membincangkan isu negara Islam dan undang-undang hudud dengannya serta pemimpin-pemimpin BN lain, tetapi saya tidak akan membenarkannya merampas perbahasan saya dan cuba mengawal apa yang harus saya katakan dalam ucapan saya.

Saya sedia berbincang dengan Hadi, Shukri dan semua Menteri dan Ahli Parlimen PAS, UMNO, MCA dan Gerakan atas isu negara Islam dan undang-undang hudud di suatu tempat dan pada suatu masa yang disetujui – dan jika mereka berminat, saya sedia mengaturkan perbincangan sedemikian di Parlimen semasa persidangan ini.

Kirim email ke