Pas peralat pakatan: Pak Lah

KUALA LUMPUR, Selasa - Pas ternyata mengaut keuntungan daripada pakatan berat sebelah barisan alternatif yang menyaksikan kedua-dua pemimpin tertinggi DAP, Lim Kit Siang dan Karpal Singh, tersungkur di kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Malah, Parti Keadilan Nasional (Keadilan) yang menyumbangkan isu-isu kontroversi bagi pakatan itu juga agak kurang menyengat, selepas bertindak agresif 'menyerang" kerajaan dengan pelbagai isu berkaitan pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika ditemui selepas Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk semula kerajaan awal pagi ini, mengulas mengenai kejayaan besar Pas terutama di Kelantan dan Terengganu:

"Pada pilihan raya ini, Keadilan ternyata tidak menunjukkan kesan, sebaliknya Pas yang mengaut keuntungan."

Beliau berkata, kejayaan Pas terutama merampas Terengganu dari BN membuktikan negara ini mengamalkan sistem pilihan raya yang demokratik dan bebas.

"Dalam pilihan raya ada masanya kita menang dan ada masanya orang lain menang. Inilah buktinya bahawa pilihan raya yang diadakan di negara ini adalah demokratik, bebas dan adil," katanya.

Bagaimanapun, Abdullah menolak anggapan bahawa kejayaan Pas di Terengganu disebabkan kelemahan jentera Umno di negeri itu, sebaliknya kata beliau kejayaan Pas disebabkan taktiknya menggunakan agama untuk menarik perhatian terutama rakyat Pantai Timur yang hidup serba sederhana.

Diminta mengulas kemenangan Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen Permatang Pauh, beliau berkata keadaan itu mudah difahami kerana ramai yang bersimpati dengan situasi dialami isteri Anwar.

"(Penduduk) Permatang Pauh memanglah ada perasaan dan sentimen terhadap Anwar dan dengan itu apabila isterinya menjadi calon, tentulah ada perasaan simpati dan dia (Wan Azizah) sendiri telah berkempen dengan cara menagih simpati, bukan kerana idea yang lain," katanya.

Bagaimanapun, Abdullah mengucapkan terima kasih kepada kumpulan majoriti senyap yang telah memberi sumbangan besar kepada kejayaan BN kali ini.

Diminta mengulas mengenai begitu banyak undi rosak kali ini dan sama ada ia adalah satu cara rakyat menyuarakan protes mereka, Abdullah berkata sukar untuk diketahui sama ada ia sengaja dirosakkan atau silap diisi pengundi.

"Kita tidak mengetahui sebab-sebabnya. Tetapi (saya hairan) pada waktu kita sudah maju dan banyak kali menghadapi pilihan raya masih ada juga undi yang hilang dan rosak," katanya.

Sementara itu, Abdullah membidas golongan yang menyebarkan khabar angin bahawa akan berlaku rusuhan di Kuala Lumpur jika kerajaan BN tidak dapat membentuk kerajaan.

"Tiada adalah sebarang alasan kenapa mesti ada rusuhan di Kuala Lumpur," tegasnya.

Menjawab soalan sama Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penentang kerajaan yang banyak mendedahkan pelbagai dokumen rahsia kerajaan sejak beberapa bulan lalu, beliau berkata:

"Apa saja yang sudah bersabit dengan undang-undang dan memerlukan kerajaan mengambil tindakan, maka kerajaan akan mengambil tindakan... kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan."

Kirim email ke