PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA: YANG TEWAS...

Bekas pensyarah UIA kecundang


Dr Badrul Amin: Dikalahkan oleh calon BN di Silam, Sabah.

KUALA LUMPUR -- Dr Badrul Amin Baharom, seorang tokoh agama yang kerap memberi syarahan di sini dan sering muncul dalam rancangan Forum Ehwal Perdana di televisyen Malaysia tidak lama dulu, kecundang dalam percubaan pertamanya dalam pilihan raya Malaysia.

Dr Badrul Amin yang bertanding bagi kerusi Parlimen Silam, Sabah, atas tiket Parti Keadilan Nasional meraih sebanyak 8,110 undi.

Lawannya, Datuk Railey Jeffrey dari Barisan Nasional (BN), meraih 14,629 undi dan mengatasi Dr Badrul dengan majoriti sebanyak 6,519 undi.

Datuk Railey merupakan pe nyandang kerusi itu dalam pilihan raya 1995 yang lalu.

Kawasan undi Parlimen Silam mempunyai seramai 42,341 orang pengundi.

Menurut laporan peratusan mereka yang keluar mengundi sebanyak 54.66 peratus, dan undi rosak sebanyak 306 undi.

Dr Badrul Amin bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Malaysia, dan tinggal di Taman Desa Jaya, Kepong, Kuala Lumpur.

Beliau pernah ditahan 21 September lalu bersama beberapa anggota Parti Keadilan Nasional berhubung satu tunjuk perasaan oleh penyokong mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kuala Lumpur pada 19 September lalu. Dalam demontrasi tersebut, penyokong Datuk Seri Anwar telah cuba menyampaikan memorandum meminta Yang di-Pertuan Agong campur tangan dalam isu dakwaan Datuk Seri Anwar mengalami keracunan arsenik.

Dr Badrul Amin, yang menjadi Ketua Pemuda Parti Keadilan di Sabah, ditangkap bersama Ketua Pemuda Parti Keadilan, Encik Mohamed Ezam Mohamed Moor, dan Naib Presidennya, Encik Tian Chua.

Kirim email ke