Projek RM250j di Pasir Mas akan dibeku
 
        TUMPAT, Rabu - Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Paduka Ibrahim Ali tidak menolak kemungkinan projek pembangunan bernilai RM250
        juta untuk dimajukan di kawasan Pasir Mas sepanjang tempoh lima tahun akan datang, dibekukan.
 
        Beliau yang tewas bagi merebut kerusi Parlimen itu berkata, rakyat tidak boleh menyalahkan Kerajaan Pusat kerana mereka sendiri membuat
        keputusan menolak pembangunan yang dirancang Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
 
        Katanya, projek lain akan ditangguhkan ialah pembinaan jambatan ketiga dari Tendong ke Wakaf Che Yeh bernilai RM166 juta dan beberapa
        projek dalam Pelan Wawasan Pembangunan Pasir Mas (PWPPM), dianggarkan berharga RM80 juta.
 
        "Kita akan menarik balik semua projek yang diluluskan Kerajaan Pusat untuk Parlimen Pasir Mas kerana rakyat tidak mahu lagi kepada
        pembangunan. Mereka suka kepada kerajaan Pas yang ternyata gagal menjaga kebajikan rakyat.
 
        "Saya terima kekalahan dalam pilihan raya umum lalu, tetapi kecewa dengan sikap rakyat menolak BN. Mereka seolah-olah mementingkan diri
        daripada masa depan generasi akan datang," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Mimi, dekat sini, hari ini.
 
        Ibrahim yang bertanding bagi kerusi Parlimen Pasir Mas tewas kepada calon Pas, Ismail Noh dengan majoriti 8,575. Beliau mendapat 15,392 undi,
        manakala Ismail mendapat 23,967 undi.
 
        Antara projek pembangunan yang dirangka dalam PWPPM ialah pembinaan jejambat merentasi jalan kereta api, pasar besar, perhentian bas/kereta
        sewa, sistem saliran dan menstabilkan tebing Sungai Kelantan yang mengalami hakisan teruk.
 
        Beliau berkata, semua projek itu menelan belanja kira-kira RM80 juta yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun
        bermula tahun depan.
 
        "Nampaknya projek ini tidak dapat dilakukan. Apa boleh buat sebab rakyat sendiri tidak mahu ia dilaksanakan di kawasan mereka," katanya.
 
        Mengenai kedudukannya dalam kerajaan, Ibrahim berkata, beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad
        menentukannya.
 
        "Tetapi dalam politik, ia tidak dapat dipisahkan. Saya tetap akan teruskan perjuangan sebagai ahli Umno dan memberi pembelaan kepada ahli yang
        menyokong saya.
 
        "Kali ini saya akan pastikan penyokong Umno saja akan mendapat bantuan daripada Kerajaan Pusat. Yang lain boleh mengharapkan kepada
        kerajaan yang dipilih mereka," katanya.

Reply via email to