Tidak jejas kerjasama: Fadzil

ALOR STAR, Khamis - Pas tidak menganggap peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang akan menjejaskan kerjasama kedua-dua parti dalam barisan alternatif, kata Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor.

Beliau berkata, kerjasama berkenaan adalah antara parti dengan parti dan bukannya antara pemimpin dengan pemimpin dan ia harus dipertahankan.

Bagaimanapun, katanya, beliau secara peribadi berpendapat Lim tidak seharusnya meletakkan jawatan kerana ia akan menyebabkan ketiadaan pemimpin DAP untuk memberikan penjelasan mengenai kerjasama terbabit kepada ahli dan penyokong DAP.

"Kerjasama dalam barisan alternatif adalah antara parti dengan parti, bukan pemimpin dengan pemimpin. Tidak sepatutnya ia terjejas.

"Saya secara peribadi rasa tidak sepatutnya beliau meletakkan jawatan kerana siapa yang hendak beri penjelasan mengenai kerjasama barisan alternatif kepada ahli," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas peletakan jawatan Lim yang diumumkan pemimpin DAP itu, hari ini.

Fadzil juga berkata, pengundi Cina, khususnya di Pulau Pinang tidak mengundi Lim kerana ditakut-takutkan oleh Barisan Nasional, khususnya MCA.

"Pengundi Cina terpengaruh dengan dakyah MCA yang menakutkan mereka. MCA berjaya tarik undi Cina dengan menggunakan isu negara Islam.

"Mereka tidak perlu takut dengan hukuman hudud kerana ia tak boleh dilaksanakan buat masa sekarang kerana Kerajaan Persekutuan tak setuju. Bukan Islam tidak perlu takut," katanya.

Diminta mengulas mengenai spekulasi beliau akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, Fadzil berkata, beliau bersedia untuk memikul tanggungjawab itu tetapi ia memerlukan persetujuan semua parti dalam barisan alternatif.

Sehubungan itu, katanya, perbincangan akan diadakan antara pemimpin parti dalam barisan alternatif, tidak lama lagi.

Kirim email ke