LAPAN PEGAWAI TADBIR TERENGGANU DITUKAR

 

KUALA TERENGGANU, 7 Dis (Bernama) -- Lapan pegawai tadbir negeri Terengganu bertukar jawatan berkuatkusa semalam, menurut satu kenyataan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Datuk Mohamed bin Ngah, setiausaha sulit kanan kepada bekas Menteri Besar Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, kini menjadi Pegawai Daerah Kuala Terengganu menggantikan Mokhtar Nong yang berpindah ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, demikian menurut kenyataan itu yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Che Mat Jusoh.

Persuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Tengku Hassan Tengku Omar kini menjadi Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) mengambil alih tempat Datuk Ismail Sulong yang kini menjadi Pegawai Daerah Kemaman.

Pegawai Daerah Kemaman sekarang Datuk Wan Awang @ Wan Isa bin Long mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Tengku Hassan.

Pertukaran itu juga melibatkan Pengarah Yayasan Islam Terengganu Datuk Alwi Muhammad sebagai Pegawai Daerah Dungun menggantikan Datuk Ibrahim @ Mat Nor A Rahman yang berpindah ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Mohd Shalahin Mamat dilantik memangku jawatan setiausaha sulit kanan kepada Menteri Besar yang baru Haji Abdul Hadi Awang.

Pertukaran kakitangan kerajaan itu adalah yang pertama dilakukan setelah PAS mengambil alih pentadbiran negeri itu selepas pilihan raya umum ke-10 pada 29 Nov lepas.

Pada pilihan raya itu, PAS memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Kirim email ke