Maknanya nak minta lebih la tuu

MCA tak minta lebih jawatan

Yakin bilangan menteri kabinet parti akan dikekal

PUTRAJAYA -- Persatuan Cina Malaysia (MCA) yakin bilangan menteri kabinet yang bakal dilantik dari parti tersebut akan dikekalkan dalam barisan jemaah menteri kabinet yang dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, tidak lama lagi.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, berkata senarai parti itu yang sudah diserahkan kepada Dr Mahathir, tidak memohon sebarang permintaan tambahan.

Ia meminta agar kedudukan yang ada -- empat menteri, enam timbalan menteri dan dua setiausaha parlimen, dikekalkan.

"Kami tidak meminta sebarang perubahan," kata Dr Ling dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusikan satu mesyuarat di Kementerian Pengangkutan kelmarin.

"Kami tidak meminta lebih banyak jawatan. Jadi, saya rasa bilangannya akan dikekalkan," demikian Dr Ling ditukil oleh akhbar New Straits Times semalam.

Dalam kabinet yang lalu, wakil-wakil MCA diberikan jawatan di Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Kesihatan.

Antara nama yang dikatakan telah disertakan dalam senarai MCA itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Fong Chan Onn, yang mungkin dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia.

Timbalan Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Chan Kong Choy, pula ijangka menggantikan Datuk Fong sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.

Anggota parlimen bagi Seremban pula telah disebut-sebut sebagai bakal menggantikan Datuk Chan.

Setiausaha Parlimen Kementerian Pengangkutan, Datuk Chor Chee Heung, pula mungkin menggantikan Datuk Wong See Wah sebagai Timbalan Menteri Kewangan sementara Datuk Ong Ka Ting mungkin dikekalkan sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Sementara itu, pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Kit Siang, menyeru kerajaan supaya memberikan ketua pembangkang dalam parlimen status seorang menteri, sebagai satu komitmen bagi demokrasi yang lebih meluas di Malaysia pada alaf baru, demikian menurut laporan akhbar The Star semalam. -- NST.

Kirim email ke