BERI PELUANG LAKSANAKAN ISLAM DI TERENGGGANU, KELANTAN - HADI

 

ALOR SETAR, 19 Dis (Bernama) -- Timbalan Presiden PAS Abdul Hadi Awang meminta kepada semua pihak supaya memberi peluang kepada parti itu melaksanakan pemerintahan Islam di Terengganu dan Kelantan.

"Beri peluang kita buat (pemerintahan Islam), kemudian lihat apa yang akan terjadi dan hasilnya kemudian," katanya semasa berucap selepas majlis berbuka puasa di Muasasah Darul Ulum, Pokok Sena dekat sini, malam tadi.

Hadi yang merupakan Menteri Besar Terengganu berkata belum lagi berbuat apa-apa tetapi kini banyak pihak yang menentang usaha PAS untuk melaksanakan Islam di kedua-dua negeri terbabit, termasuk daripada kalangan pemimpin Umno sendiri.

Kata beliau, usaha untuk menegakkan Islam di mana-mana tempat merupakan tanggungjawab semua umat Islam dan PAS hanya merupakan parti yang memberi kesedaran terhadap tanggungjawab itu.

Abdul Hadi yakin keadilan akan dapat ditegakkan dan kezaliman akan terhapus dengan sendiri apabila pemerintahan Islam dapat dijalankan.

Pada pilihan raya umum yang lalu, PAS berjaya membentuk kerajaan di Terengganu dan terus mengekalkan pentadbirannya di Kelantan, apabila menang besar di kedua-dua negeri terbabit.

Beliau turut mengingatkan pengarang-pengarang media cetak dan elektronik utama di negara ini supaya sedar dan insaf daripada "kesilapan besar" yang mereka lakukan semasa pilihan raya umum yang lalu.

"Pengarang-pengarang media utama ini memainkan peranan menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam dengan memutarbelitkan pelaksanaan hukum hudud jika PAS berjaya memerintah negara," katanya.

Akibat daripada itu, beliau berkata, pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Barisan Alternatif tidak mendapat kepercayaan daripada kalangan pengundi bukan Islam.

Turut berucap pada majlis itu ialah Presiden PAS dan Ketua Pembangkang Datuk Fadzil Noor.

-- BERNAMA

Reply via email to