PEMUDA PPP HARAP BEBERAPA PEMIMPINNYA DILANTIK SENATOR

 

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Pergerakan Pemuda Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) berharap Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad akan melantik beberapa pemimpinnya sebagai senator manakala presidennya Datuk M. Kayveas diberi jawatan "penting" dalam kabinet.
Ketuanya, T. Murugiah berkata, pelantikan itu akan membolehkan PPP sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) memberikan khidmat kepada masyarakat.

"Kami masih menaruh harapan kepada Dr Mahathir, mungkin beberapa jawatan senator boleh diperuntukkan kepada PPP bagi membolehkan kami menjalankan tugas yang perlu untuk ahli dan orang ramai," katanya pada persidangan berita di sini hari ini.

Katanya, PPP akan terus memberi sokongan kepada BN walaupun parti itu tidak diberikan sebarang kerusi untuk bertanding pada pilihan raya umum lalu.

"Inilah masa yang sesuai untuk kita membantu BN menawan kembali dua negeri (Kelantan dan Terengganu) yang dikuasai oleh pembangkang," katanya.

Beliau juga berkata, Pemuda PPP akan mengemukakan memorandum kepada Dr Mahathir bagi menyarankan formula untuk menawan kembali kedua-dua negeri itu.

Katanya, antara formula yang dicadangkan ialah menggalakkan penghijrahan lebih ramai kaum Cina dan India ke Kelantan dan Terengganu untuk mengimbangi pengaruh parti Pas.

"Ketika ini kedua-dua negeri itu majoriti penduduknya ialah orang Melayu dan kita rasakan dengan lebih banyak kaum lain tinggal di sana, BN berpeluang merampas kembali menerusi sokongan kaum India dan Cina," katanya.

Beliau juga berkata, Dr Mahathir akan menghadiri majlis rumah terbuka parti itu di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada 1 Januari depan. -- BERNAMA

Kirim email ke