GELAGAT ANGGOTA
DEWAN RAKYAT ANGKAT SUMPAH |
Barisan Pembangkang keluar
Dewan Rakyat diketuai oleh Datuk Fadzil Noor (tengah) di sini hari ini.
|
KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Upacara
angkat sumpah jawatan sebagai anggota Parlimen di Dewan Rakyat hari ini
menyaksikan pelbagai gelagat anggota baru dan tidak kurang juga gaya
anggota lama.
Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), misalnya
yang menjadi anggota Parlimen sejak tahun 1982, menarik perhatian dewan
apabila beliau dapat menghafal teks angkat sumpah yang disediakan.
Ada antara anggota Parlimen yang kelihatan bercakap-cakap sesama
sendiri sambil memerhatikan Tan yang dengan yakin melafazkan ikrar taat
setia di hadapan Speaker Tun Mohamed Zahir Ismail.
Muka baru,
Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Keadilan-Permatang Pauh) pula
kelihatan mengangkat sumpah dengan nada lembut tetapi tegas.
Kebanyakan anggota pembangkang juga turut menekankan ungkapan
"...akan mempertahankan Perlembagaan" semasa mengangkat sumpah
masing-masing.
Majlis itu menyaksikan 189 daripada 193 anggota
mengangkat sumpah taat setia pada permulaan persidangan parlimen yang
pertama diadakan selepas pilihan raya umum ke-10 pada 29 Nov lepas.
Lafaz angkat sumpah dimulakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Mahathir Mohamad, diikuti oleh anggota kabinet, penyokong kerajaan dan
barisan pembangkang.
Antara yang tidak hadir hari ini ialah
Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang yang juga Anggota Parlimen
Marang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paduka Abdul
Hamid Othman dan Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamed pula telah
mengangkat sumpah sebagai senator pada 13 Dis lepas.
Majlis angkat
sumpah yang dimulakan pada 10.30 pagi itu pada awalnya telah dipulau oleh
barisan pembangkang yang meninggalkan majlis kerana tidak berpuas hati
dengan proses pelantikan Zahir sebagai Speaker dan menganggap persidangan
kali ini tidak sah kononnya kerana tidak mengikut Perlembagaan.
Bagaimanapun, mereka kembali semula ke dalam Dewan pada 12.15
tengah hari sebaik barisan penyokong kerajaan hampir selesai mengangkat
sumpah masing-masing.
Kehadiran mereka semula ke dalam Dewan itu
telah diboo oleh penyokong kerajaan sebelum keadaan ditenteramkan oleh
Zahir.
Pada sesi petang, Dr Mahathir mencadangkan dua nama sebagai
Timbalan Speaker iaitu Anggota Parlimen Senai Datuk Lim Si Cheng dan wakil
Maran Datuk Haji Muhammad bin Abdullah.
Cadangan itu disokong oleh
Menteri Kerja Raya Datuk Seri S.Samy Vellu.
Lim dan Muhammad
menggantikan Datuk Ong Tee Keat yang kini dilantik Timbalan Menteri Belia
dan Sukan, dan Datuk Juhar Mahiruddin yang tidak bertanding pada pilihan
raya umum pada 29 Nov lepas.
Zahir juga mengiktiraf Datuk Fadzil
Nor sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Lim Kit Siang, Pengerusi DAP
yang tewas pada pilihan raya itu.
"Dengan pengiktirafan itu,
bermakna beliau layak menerima kemudahan-kemudahan yang diperuntukkan
kepadanya sebagai Ketua Pembangkang mulai hari ini," katanya.
|
|