30 Hari Belajar Bebas
 

Semalam, 20 Disember, mencatat satu sejarah penting - setidak-tidaknya kepada peminat laman web
malaysiakini.com. Usia kami sudah 30 hari. Kami tentunya gembira. Tetapi tempoh 30 hari bagi sebuah penerbitan,
apatah lagi 'akhbar harian dalam talian', hanyalah debu-debu di pinggir jalan. Usia penerbitan tidak diukur dengan hari.
Tetapi usaha ini menjadi cukup signifikan dan bersejarah apabila dilihat dalam konteks perubahan sosio-politik yang
lebih besar.
 
Kajian terbaru dari Biro Audit Pengedaran (ABC) sepanjang 1 Julai 1998 hingga 30 Jun 1999 menunjukkan edaran
semua akhbar harian utama, kecuali The Star dan Sunday Star, jatuh mendadak. Akhbar-akhbar harian berbahasa
Inggeris dan juga berbahasa Melayu itu (termasuk edisi Ahad) mengalami kejatuhan edaran sebanyak tujuh hingga 12
peratus, khususnya dalam tempoh kedua kajian, yakni selepas 1 Januari 1999.
 
Dari kajian itu, dua faktor yang dikenal pasti sebagai punca kejatuhan edaran akhbar-akhbar ini, khasnya yang
berbahasa Melayu, ialah peningkatan pengguna Internet dan juga apa yang dikenali sebagai 'faktor Harakah'. Kajian ini
difokuskan di Semenanjung sahaja.
 
Kejatuhan edaran akhbar-akhbar ini dipercayai wujudnya ‘kempen senyap’ memboikot akhbar. Walaupun
ada kempen rasmi memboikot akhbar dari Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) tetapi kempen selama
lapan hari itu apalah sangat kesannya. Hakikatnya, sebelum dan selepas kempen Gerak itu, rakyat sudah tidak
membaca akhbar. Boikot itu bukannya kejayaan apa-apa kempen politik atau sebarang usaha terancang, sebaliknya
boikot itu semata-mata gerakan semulajadi menolak sesuatu yang difikirkan buruk yang dirasai bersama.
 
Pada 3 Mei tahun ini, sempena Sambutan hari Kebebasan Akhbar Sedunia, Perdana Menteri MAHAFIRAUN dinamakan
'musuh kebebasan akhbar' bersama sembilan lagi tokoh yang dikenali mempunyai rekod pentadbiran kuku besi dari
seluruh dunia. Tidak pernah lagi Perdana Menteri yang dikenali sebagai tokoh negara-negara Selatan termasuk dalam
senarai itu walaupun kita semua tahu organisasi-organisasi media harian hanyalah 'budak-budak suruhan' kepada
tuan-tuan politik mereka.
 
Wartawan sendiri menderitai kesakitan ini. Jawatankuasa Perlindungan untuk Wartawan (CPJ), sebuah organisasi
antarabangsa yang memantau kebebasan media, dalam kajiannya, "Freedom Takes Hold: Asean Journalism in
Transition" (Disember, 1998) melaporkan: Akibat kawalan yang terlalu ketat ke atas akhbar-akhbar, ramai wartawan
Malaysia berkata mereka berada dalam iklim ketakutan dan self-censorship, sentiasa bimbang talian-talian telefon
mereka dirakam dan kerja-kerja mereka tergugat jika berani mencabar pihak berkuasa.
 
CPJ memetik sendiri kata-kata seorang wartawan kanan: "Akhbar bukan sahaja ditindas, ia benar-benar dirantai.
Mereka [pihak berkuasa] mahu membunuh akhbar."
 
Tetapi isu sebenar di sebalik boikot semulajadi dari rakyat, kemerosotan jualan akhbar dan ketakutan yang dijiwai oleh
wartawan-wartawan arus rasmi bukannya kezaliman akhbar-akhbar itu sendiri. Isu sebenarnya ialah kewujudan akhbar
yang bebas, wibawa, dan berani yang dihormati oleh semua pihak. Pihak pertama yang perlu menghormati prinsip
kebebasan akhbar ialah orang yang merasai sendiri kezaliman akhbar itu.
 
Media harus berdikari, bebas, berani dan tidak memihak walaupun mungkin akan tersepit dalam pertembungan antara
dua pihak - seekor pelanduk di antara gajah pemerintah dengan gajah pembangkang yang sedang bertarung.
 
Selama 30 hari, malaysiakini.com belajar hidup bersama kebebasan, belajar untuk berlaku adil kepada semua pihak.
-(pembaca MRF) 22 Dis 99
 
 
 

Kirim email ke