Dah masuk penggal ke enam jadi YDP Dewan baru perasan ke? Sahlah nyanyok!

 

PENGAWASAN KEHADIRAN WAKIL RAKYAT, WAJAR, KATA TUN ZAHIR

 

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Arahan supaya wakil rakyat hadir di sepanjang persidangan Dewan Rakyat amat wajar dan kena pada masanya, kata Speaker Dewan Rakyat Tun Mohamed Zahir Ismail.

"Saya harap dengan arahan itu, kita akan dapat lihat kehadiran anggota dewan bertambah baik berbanding masa-masa sebelum ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang memberi amaran dan mengingatkan wakil-wakil rakyat yang tindakan akan diambil terhadap mereka yang tidak hadir di Dewan Rakyat.

Dr Mahathir disebut sebagai berkata kelakuan wakil rakyat yang tidak hadir itu sedang diawasi dan mereka terbabit tidak akan disenaraikan sebagai calon pada pilihan raya nanti.

Zahir berkata, dalam usaha menentukan setiap anggota Dewan itu hadir, beliau tidak menolak bahawa kadang-kala kelonggaran harus diberi kepada wakil rakyat yang terpaksa menghadiri majlis-majlis rasmi.

"Dewan ini harus diberi taraf yang mulia. Tapi kadang-kadang ia tak ramai orang...nampak Dewan ini tak dihormati anggota Dewan," katanya.

Mohamed Zahir juga berkata apabila anggota Dewan tidak ramai, dewan kadang-kadang tidak cukup korum dan terpaksa ditangguh dan menjejaskan perjalanan mesyuarat.

Ketika ditanya sama ada wujud perbezaan kehadiran anggota Dewan ketika mesyuarat dimulakan pukul 2.30 petang suatu masa dahulu, beliau berkata tidak ada perbezaannya.

Beliau berkata mesyuarat yang bermula pagi lebih baik kerana anggota dewan yang datang dari luar Kuala Lumpur dapat menggunakan sepenuhnya masa mereka di Parlimen.

Sementara itu, Presiden Kelab Peyokong Kerajaan (BBC) Datuk Dr Jamaluddin Jarjis (BN-Rompin) pula berkata, semua anggota Parlimen harus menganggap kehadiran mereka di setiap persidangan Dewan Rakyat itu sebagai tanggungjawab yang wajib dilaksanakan.

Beliau berkata, amaran Dr Mahathir kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu perlu diberi perhatian serius.

Beliau juga menyambut baik cadangan melaporkan kepada pengundi-pengundimengenai tindak tanduk wakil rakyat masing-masing sama ada mengambil bahagian dalam perbahasan atau hanya berdiam diri.

"Secara tidak langsung, pengundi akan tahu sama ada wakil rakyat mereka memikul tanggungjawab dengan baik atau sebaliknya," katanya.

Muka baru, Mahadzir Mohd Khir (BN-Sungai Petani) menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu sebagai wajar kerana setiap wakil rakyat adalah juga "legislator" yang perlu bertanggungjawab kepada rakyat dan negara.

Anggota pembangkang, Haji Husam Musa (PAS-Kubang Kerian) ketika diminta pandangannya berkata tindakan memantau kehadiran semua wakil rakyat di Dewan Rakyat amat bertepatan.

Jika menteri-menteri tidak mempunyai hal-hal lain, mereka juga mesti diwajibkan hadir, katanya.

-- BERNAMA

Kirim email ke