UMAT ISLAM DIAJAK TERUS TINGKATKAN MUTU HIDUP

 

KOTA BAHARU, 31 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mangajak rakyat supaya terus meningkatkan mutu kehidupan dalam segenap aktiviti pada setiap masa bukan hanya pada menjelang tahun baru.

Beliau berkata Islam amat memandang tinggi kepada umatnya yang berterusan meningkatkan mutu kehidupan dalam pelbagai bidang yang dilakukan sepanjang masa.

"Sebenarnya, mengikut tarbiah Islamiah, waktu pagi yang mendatang setiap hari itu adalah seumpama memasuki alaf baru," katanya dalam perutusan sempena tahun baru 2000, di sini.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, dalam semua pihak mengingati detik alaf baru ini, kesempatan perlu diambil untuk diisi dengan dakwah Islamiah memandangkan kelazimannya hati manusia terbuka di waktu-waktu menghadapi suasana berkenaan.

Kerja berdakwah harus berpanjangan dengan dijalankan pada setiap masa untuk kepentingan hidup umat dari dunia hingga akhirat, kata beliau.

Beliau juga berharap umat Islam menyambut tahun baru ini mengikut landasan yang ditetapkan oleh Islam.

"Ini bertepatan dengan sifat Islam itu sendiri yang sememangnya sebuah ikrar mengajak kepada perubahan daripada keadaan yang baik kepada yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata umat Islam tidak perlu terikut-ikut dengan pelbagai cara atau budaya lain yang dipersembahkan untuk meraikan sambutan tahun baru atau alaf baru itu.

Nik Aziz sebagai mewakili Kerajaan Negeri Kelantan mengucapkan selamat memasuki alaf baru dengan penuh taqwa dan hemah kepada seluruh rakyat.

-- BERNAMA

bernamasmall.gif

Kirim email ke