KERAJAAN PERLIS TUBUH UNIT DAKWAH

 

KANGAR, 5 Jan (Bernama) -- Kerajaan Perlis menubuhkan Unit Dakwah dan Kemasyarakatan (UDK) untuk memberi perhatian kepada program pembinaan insan di kalangan penduduk di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim berkata unit itu yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Abdul Latib Omar, membabitkan pengambilan 200 pegawai dan kakitangan untuk menjalankan tugas terbabit.

Bercakap kepada pemberita selepas penyerahan cek Hari Raya kepada pasukan tentera dan polis di pejabatnya di sini hari ini Shahidan berkata antara yang akan terbabit dengan program bina insan seperti kursus ialah kakitangan kerajaan dan rakyat keseluruhannya.

Melalui program bina insan itu, kita berharap rakyat tidak menggunakan agama untuk kepentingan politik sehingga boleh merosakkan akidah mereka, katanya.

Shahidan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri turut melantik tiga wakil masing-masing daripada kalangan pelajar, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan guru sebagai anggota tambahan dalam jawatankuasa itu.

Kemasukan wakil ketiga-tiga pihak terbabit diharap dapat memantapkan lagi jawatankuasa terbabit selain membuktikan ketelusan kerajaan negeri dalam pengurusan pentadbirannya, katanya.

Shahidan juga membayangkan beliau mungkin melantik wakil parti pembangkang menduduki dalam jawatankuasa itu.

Pada majlis itu, Shahidan menyampaikan cek bernilai RM3,000 sumbangan Kerajaan Negeri dan Yayasan Pok dan Kassim (YPK) kepada pasukan tentera dan polis kepada Panglima 6 Briged, Brig. Jen. Datuk Sulaiman Yusof dan Ketua Polis Negeri Datuk Syed Mukhtar Barakbah.

-- BERNAMA

bernamasmall.gif

Kirim email ke