UMNO JOHOR PERLU SATU FORMULA, KATA HISHAMMUDDIN

 

KOTA TINGGI, 4 Dis (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata Umno Johor memerlukan satu formula khusus bagi calon-calon yang hendak bertanding jawatan tertinggi parti pada perhimpunan agung Umno Mei ini.

Formula ini penting jika ada beberapa calon dari Johor yang berhasrat menawarkan diri untuk bertanding terutamanya bagi jawatan naib presiden, katanya kepada pemberita di sini semalam.

"Setakat ini, hanya Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar yang sudah menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden," kata Hishammuddin, yang juga Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Syed Hamid adalah Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi.

Pada pemilihan parti pada 1996, tiga calon dari Johor bertanding untuk jawatan naib presiden tetapi kesemuanya tewas. Mereka ialah Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Syed Hamid.

Abdul Ghani ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor manakala Syed Hamid timbalan pengerusi. Muhyiddin, yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh, pula ketika itu mempertahankan jawatannya.

Kali ini, Abdul Ghani dan Muhyiddin masih belum menyatakan pendirian masing-masing untuk bertanding.

Hishammuddin berkata formula itu juga akan dapat mengurangkan perselisihan faham dan perpecahan di kalangan Umno Johor.

Tidak ada perkara yang tidak boleh dibincangkan, kata beliau. -- BERNAMA

Kirim email ke