Umnolah Yang Selalu Peralatkan Masjid

Assalamu'alaikum wbt. Saya ingin mencadangkan kepada parti-parti dalam Barisan
Alternatif - terutamanya PAS dan KeAdiLan - supaya terus menghidupkan insiden
penyelewengan khutbah Jumaat untuk kempen politik BN oleh Ketua Pengarah Pusat
Islam pada 26.11.99. Isu ini wajar diketengahkan memandangkan BN khususnya Umno
semakin rancak mengatur strategi untuk membendung pengaruh PAS daripada terus
menular ke tengah masyarakat.

Antara langkah yang diambil BN/Umno adalah menjalankan program "pembersihan"
dengan memecat pegawai masjid dan AJK masjid yang dianggap cenderung kepada BA.
Melalui seorang menteri MCA/Gerakan, BN tanpa segan silu menuduh PAS terus
memperalatkan masjid bagi tujuan politik walaupun selepas pilihan raya.

Inilah budaya BN/Umno yang diamalkan sejak dahulu. Bak kata orang tua-tua;
"kokok berderai-derai, ekor bergelumang najis", "mengata dulang paku serpih,
mengata orang awak yang lebih".

Sebenarnya, Umnolah yang kerap memperalatkan masjid demi agenda politik kotor
mereka. Di sesetengah tempat di Semenanjung Malaysia, papan tanda Umno terpacak
di depan masjid. Pemimpin-pemimpin Umno cawangan yang jarang mengimarahkan
masjid dilantik sebagai ahli lembaga masjid. Hasilnya, masjid bukan lagi menjadi
simbol dan lambang perpaduan, tetapi menjadi alat politik dan batu loncatan
untuk menapak di arena politik.

Itu sebab tidak ganjil untuk seorang pengerusi masjid merangkap ketua Umno
cawangan ditangkap polis kerana berjudi di bulan Ramadhan tiga hari sebelum
'Idul Fitri. Kejadian ini berlaku di sebuah kampung di kawasan Jasin lebih
sepuluh tahun lalu. Untuk pengesahan, silalah bertanya kepada pegawai bertugas
di IPK Jasin.

Kita juga lihat bagaimana pemilihan jawatankuasa masjid bukan dibuat berdasarkan
syura atau pemilihan oleh anak qariah. Dalam banyak keadaan, JKK Kampung yang
didominasi Umno seakan diberi hak memilih ahli lembaga masjid. Tidak hairanlah
jika Ketua Umno Cawangan yang juga menjawat Pengerusi JKKK turut kemaruk untuk
menjadi Pengerusi Masjid. Jadilah masjid institusi yang lesu dan hanya bernyawa
ketika sembahyang Jumaat kerana Pengerusinya hanya pandai berpolitik tetapi
jahil dalam ilmu-ilmu asas Islam.

Institusi khutbah juga turut menjadi mangsa kerakusan politik Umno. Mimbar tidak
lagi menjadi medan "amal ma'ruf nahi munkar" atau media untuk mengislah
masyarakat, tetapi hanya menjadi platform untuk mengwar-warkan program kerajaan
yang kadang kalanya tidak relevan dengan permasalahan setempat.

Hasilnya, para khatib pun bertindak seperti burung kakak tua yang cuma membaca
apa yang ditulis. Para makmum pula menahan mengantuk dek kerana bosan dan jemu
dengan khutbah yang tidak relevan.Kejadian 26.11.99 yang disiar secara terus
menerus oleh RTM itu perlu dijadikan bukti dan contoh oleh pemimpin-pemimpin BA
tentang kerakusan BN yang sanggup memperalatkan masjid demi kepentingan politik
sekular mereka.

Satu memorandum perlu dihantar kepada DYMM Yang Dipertuan Agung, selaku Ketua
Agama Islam Persekutuan untuk memaklumkan kepada baginda tentang salah laku
Ketua Pengarah Pusat Islam, Abdul Hamid Zainal Abidin itu.

Sebagai seorang kakitangan kerajaan, adalah amat tidak wajar untuk Abdul Hamid
berkempen menyokong mana-mana parti politik dalam pilihan raya. Apatah lagi
menggunakan mimbar Jumaat untuk menyatakan sokongan beliau. Abdul Hamid yang
nampaknya bersahaja ketika menjadi salah seorang hakim musabaqah al-Quran
baru-baru ini wajar dipecat dari jawatan yang disandangnya kini.

Beliau bukan sahaja memalukan umat Islam, malah telah menjadikan masjid yang
menjadi lambang perpaduan ummah sebagai medan pecah belah. Abdul Hamidlah yang
mula-mula mencipta sejarah apabila mencetuskan insiden sembahyang tujuh imam di
masjid negara.

Semuanya kerana gara-gara rakus beliau yang cuba memperalatkan mimbar dan
khutbah untuk kepentingan politik sekular BN.

-Ahmad Tajdid Seri Gombak



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM

Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke