PERUTUSAN TAHUN BARU CINA

YB. DATO’ FADZIL MOHD. NOOR
Presiden PAS merangkap Ketua Pembangkang
Parlimen Malaysia


Saya mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU CINA kepada rakyat Malaysia yang berbangsa Tionghua.

Parti Islam Se-Malaysia selaku sebuah parti yang mendukung dasar Islam sebenarnya mengiktiraf masyarakat Cina sebagai salah satu penyumbang besar terhadap perkembangan budaya dan ekonomi di Malaysia. Orang Cina seiring dengan kaum-kaum lain telah lama mencurahkan bakti ke arah pembinaan masyarakat dan negara yang lebih maju. Sudah semestinyalah semangat ini dikekalkan dan seluruh rakyat perlu terus saling faham-memahami di antara satu sama dan mengenepikan sebarang bentuk sentimen perkauman dan prejudis. Kita semua adalah digalakkan untuk mempelajari selok-belok sesuatu bangsa itu agar integrasi nasional dapat diwujudkan. Sikap tolak ansur harus menjadi budaya kaum di negara ini.

Sebenarnya, masyarakat China di Malaysia tidak perlu merasa bimbang dan takut dengan Islam dan PAS kerana ia mendukung keadilan dan kesaksamaan di kalangan rakyat. Islam bukan agama yang asing bagi orang Cina. Sejarah menunjukkan orang Cina jauh lebih dahulu mengambil Islam sebagai agama berbanding dengan orang Melayu. Oleh itu sebarang usaha untuk menakutkan orang Cina terhadap Islam mesti disanggah. Mereka tidak harus membiarkan pemikiran mereka diracuni oleh diayah yang cuba membataskan perhubungan mereka dengan PAS yang memperjuangkan Islam. Apa yang berlaku dalam tempoh pilihanraya umum lalu di mana orang Cina merasa terancam dengan perjuangan PAS akibat kempen berbahaya Barisan Nasional, amatlah dikesali. Namun, setelah selesai pilihanraya, di mana PAS dan Barisan Alternatif mencapai kejayaan, ternyata segala ramalan buruk yang dibawa oleh Barisan Nasional adalah palsu. Tidak ada persengketaan antara kaum atau rusuhan yang berlaku. Malah PAS kini berjaya meyakinkan kaum Cina bahawa toleransi Islam adalah amat tinggi.

Sepanjang pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan di bawah teraju PAS, kaum Cina dan kaum-kaum yang lain merasa aman dan selesa kerana semua hak-hak mereka dipenuhi dan ia adalah kerajaan yang bersih dari unsur-unsur rasuah, penyelewengan, penindasan dan sebagainya yang menyusahkan rakyat. Kini kita menyaksikan pula bagaimana keadilan akan tertegak bagi semua kaum di Terengganu yang baru di ambil alih oleh PAS dan Barisan Alternatif. Ruang yang ada sekarang ini mesti digunakan untuk menganjurkan berbagai dialog antara kaum, dan antara kepercayaan (inter-faith dialogue)..

Kita juga perlu memandang positif terhadap usaha menyatukan semua parti pembangkang di bawah Barisan Alternatif serta kemenangan besar kita dalam pilihanraya lalu dan ini sebenarnya membuktikan perpaduan di kalangan rakyat negara ini untuk bersama-sama menegakkan keadilan dan menentang kezaliman. Pilihan baru bagi rakyat kini ialah Barisan Alternatif. Perjuangan kita ke arah keadilan, demokrasi dan kerajaan yang baik akan memberi manafaat kepada semua kaum dan agama. Cabaran globalisasi, permodenan, ledakan IT dan berbagai cabaran dalam alaf baru ini harus kita tangani bersama.  

Akhir kata, semoga tahun baru tahun naga mengikut kepercayaan kaum Cina, yang bakal menjelma ini akan memberikan satu semangat dan ransangan baru untuk bersama-sama mewujudkan pemerintahan yang adil dan sejahtera.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU CHINA


YB. DATO’ HJ. FADZIL MOHD. NOOR

Presiden PAS / Ketua Pembangkang



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM

Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke