USRAH TUNJANG JEMAAH
Oleh Sulaimin Muhsinin
(Pelajar Sabah di Jordan)

Usrah merupakan salah satu proses pentarbiahan yang terpenting sekali dalam jemaah Islamiah. Oleh kerana itu, pada kali ini ana suka bercakap hal yang berkaitan dengan usrah. Walaupun kata-kata ini kemungkinan besar sudah dimaklumi, tetapi kita sebagai manusia yang alpa ini mestilah sentiasa disedarkan hari demi hari agar semangat yang ada itu dapat dipanaskan, insya-Allah.

Usrah merupakan tunjang kepada sesebuah jemaah. Kalau usrah kemas dan berjalan dengan baik natijahnya jemaah itu kuat dan kukuh, tetapi kalaulah perjalanan usrah itu lembab dan tak bermaya di situlah akan lahirnya jemaah yang lemah dan tak berkembang.

Kepentingan usrah ini tak dinafikan lagi kerana apabila kita lihat pada awal perjuangan Rasulullah s.a.w., baginda sangat mengambil berat tentang usrah di samping baginda berjalan dalam keadaan yang sirri (senyap). Ini dapat dilihat bilamana Rasulullah memilih bait Arqam bin Arqam sebagai tempat Rasulullah menjalankan usrah kerana apabila kita membaca sirah, kita dapat lihat bahawa Arqam ini seorang budak kecil yang tidak semestinya dijangka oleh orang kafir bahawa Rasulullah membuat usrah di rumahnya. Kita lihat ini satu taktik atau sirriah yang dibuat oleh baginda.

Kepentingan usrah ini jelas lagi bilamana pejuang-pejuang Islam sebelum kita melihat proses usrah yang dibuat oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna. Apabila kita membaca perjalanan usrahnya, kita dapati beliau sangat mengambil berat terhadap anak buahnya. Boleh dikatakan beliau akan bertemu dengan anak buahnya setiap hari walaupun cuma beberapa minit sahaja, tidak mengira malam ke, pagi-pagi buta ke, atau sebagainya kerana prinsip beliau yang amat penting sekali sekadar bertemu mata antara dengan anak buah akan menimbulkan rasa ukhuwah dan semangat yang kuat dalam berjuang. Proses seperti inilah yang harus kita ambil contoh dalam kita mengendalikan perjalanan usrah.

Dengan sebab itulah kita jangan sekali-kali menjadikan usrah sebagai usaha sampingan sahaja, tetapi anggaplah ia sebagai aset yang terpenting dalam jemaah kita—kerana usrah yang berjaya itu melahirkan jemaah yang kuat dan berkualiti, insya-Allah.

Oleh hal yang demikian, wahai pejuang-pejuang Islam tercinta, kenallah diri dan muhasabah selalu. Di manakah kerja-kerja Islam yang telah kita lakukan untuk ummah ini? Siapakah diri kita yang sebenarnya? Apakah tanggungjawab kita dijadikan oleh Allah. Seterusnya ingatlah janji-janji Allah yang akan membantu  kita bilamana kita membantunya. Janganlah berasa ragu-ragu lagi dalam perjuangan suci ini, kerana dalam perjuangan, kita perlu berpegang pada dua prinsip sama ada kita menang atau syahid!

Disediakan oleh Abu Saufi,
Ketua Lujnah Penerangan
PAS Kawasan Keningau (Penaja)
5 Februari 2000

Kirim email ke