Air mata Ogy tercurah bersama kesalan

 

DIRINYA memang dikenali sebagai pengacara 'bermulut laser'.

Namun, Ahad lalu, ramai penonton rancangan Melodi terbitan TV3 pada 12 tengah hari dikejutkan dengan tangisan pengacara sensasinya, Fauziah Ahmad Daud, atau lebih dikenali sebagai Ogy.

Penampilannya berbeza -- bertudung lingkup.

Percakapannya juga semakin lembut selepas kembali mengerjakan umrah di Tanah Suci, Makkah, dalam penghujung Ramadan lalu.

Melalui rancangan itu, Ogy turut mengumumkan niat untuk 'bersara' daripada rancangan hiburan yang sudah lapan tahun dikendalikannya itu.

Semasa mengacarakan rancangan itu untuk kali terakhir, Ogy tidak dapat menahan sebak di dada ketika memohon maaf kepada artis yang pernah terguris kerana jenakanya menerusi rancangan tersebut.

Pengacara baru Melodi, Haliza Misbun, yang turut bersama dalam rancangan yang disiarkan secara langsung selama setengah jam itu, turut terkejut apabila Ogy mula menangis.

Dalam laporan akhbar Harian Metro, Ogy yang ditemui setelah siaran langsung itu, menjelaskan sebab musabab mengapa beliau berubah.

"Saya bersyukur dalam usia muda -- 37 tahun -- saya sudah mendapat petunjuk Allah. Apa yang saya katakan di sini bukanlah mahu menunjuk-nunjuk, cuma sekadar pedoman ikhlas serta sedikit pengalaman yang saya mahu kongsi bersama peminat.

"Ini bukanlah kali pertama saya mengerjakan umrah tapi kali kedua. Kira-kira lapan tahun dulu, saya berkesempatan menunaikannya bersama suami, ibu dan adik perempuan tetapi kali ini, saya sendirian selepas mendapat izin Eman Manan," jelasnya.

Haliza: Apakah yang Ogy perolehi ketika mengerjakan umrah kali ini?

Ogy: "Dalam meniti kehidupan, kadang kala kita terleka apabila memiliki segala-galanya. Saya akui saya pernah lalai dengan duniawi tetapi saya bersyukur kerana Allah masih memberi jalan serta petunjuk.

"Selama 14 hari di Tanah Suci dan saya kembali sehari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, ia betul-betul memberi sinar baru dalam kehidupan saya. Saya fikir, mengapa saya tidak berubah selepas kembali menunaikan
umrah dulu berbanding sekarang? Dan inilah dinamakan sudah sampai seru dan saya reda dengan apa juga ketentuan-Nya.

"Semuanya kerana 'nawaiti' (niat). Sebelum berangkat, saya sentiasa berdoa agar dilimpahi hidayah ke atas diri saya dan ternyata, Tuhan yang maha pengasih dan penyayang memakbulkan hajat itu.

"Ketika berada di hadapan Kaa bah, saya tidak henti-henti memohon petunjuk dari-Nya dan ketika itu juga, seakan ada yang datang berbisik kepada diri saya, dan sekembali ke tanah air inilah keputusannya."

Haliza: Mengapa meninggalkan Melodi?

Ogy: "Saya meninggalkan Melodi bukan kerana ada krisis dengan TV3, sebaliknya, ia adalah ketentuan Allah. Namun saya tidak berani cakap akan meninggalkan dunia lakonan mahupun pengarahan kerana hati manusia cepat
berubah. Oleh itu, biarlah masa dan takdir menentukannya."

Haliza: Bagaimana perasaan Ogy sekarang?

Ogy: "Apa yang menjadi ketakutan pada diri saya sekarang adalah berubahnya pendirian. Insya-Allah saya tidak pernah putus berdoa agar Tuhan tetapkan keimanan diri. Sekarang saya rasa lebih tenang dalam mengharungi
kehidupan seharian.

"Saya belum pernah menikmati solat yang khusyuk dan hari ini, saya bersyukur menikmati segalanya. Pada masa yang sama, saya juga bersyukur bertemu dengan Tuan Haji Jemali (pengusaha pakej haji dan umrah) ketika di Tanah Suci.

"Dialah yang memberi ruang untuk menguruskan agensinya untuk pakej haji dan umrah. Insya-Allah selepas ini, saya akan lebih kerap ke Tanah Suci membawa jemaah lain."

Haliza: Selepas mengendalikan Melodi selama lapan tahun, apa yang ingin Ogy perkatakan?

Ogy: "Saya mengambil kesempatan ini untuk meminta ampun dan maaf kepada artis dan karyawan yang tersinggung dengan gurau senda saya sepanjang mengacarakan Melodi. Saya tidak berniat menyakiti hati sesiapa, sekadar bergurau.

"Bagi saya, dosa pada Allah, mungkin kita diampuni tetapi dosa sesama manusia, bagaimana pula?

"Sebagai manusia lemah, saya tidak boleh lari daripada kesilapan. Saya juga berharap penonton akan terus memberi sokongan kepada Melodi biarpun saya sudah tiada di situ.

"Berilah Haliza Misbun peluang membuktikan kebolehannya dan satu pesanan saya, jangan bandingkan saya dengannya."



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM

Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Reply via email to