Tafsir Al-Quran
Oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Tafsir Surah an-Nisa' ayat 141

Golongan mencari kesempatan

Allah menjelaskan lagi tentang sifat mereka sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"(Mereka yang munafiq itu ialah) orang-orang yang sentiasa menunggu-nunggu (berlakunya sesuatu) kepada kamu." (Surah an-Nisa' ayat: 141)

Orang munafiq tidak menyertai jemaah kamu dan tidak juga menyertai jemaah orang kafir. Mereka sentiasa menunggu-nunggu apa yang terjadi kepada kamu dan kufar. Mereka boleh diumpamakan sebagai golongan atas pagar yang memerhati perkembangan berlaku di sekitar mereka di samping cuba mencari kesempatan untuk mendapatkan habuan dari kedua-dua golongan berkenaan.

Firman Allah yang bermaksud:

"Maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah (dalam sesuatu peperangan), berkatalah mereka (kepada kamu): "Bukankah kami turut berjuang bersama-sama kamu?" (Surah an-Nisa': 141)

Apabila Allah memberi kemenangan kepada kamu, mereka akan membuat pengakuan bahawa mereka pun turut berjuang bersama dengan kamu. Mereka mengaku kononnya mereka menjadi golongan atas pagar kerana terlalu ramai yang berjuang dalam kelompok Islam pada hal mereka berada di situ antara lain untuk mempermudahkan mereka lari dari perjuangan.

Mereka membuat pengakuan bersama dengan perjuangan Islam bertujuan untuk memudahkan mereka mendapat 'ghanimah' (harta rampasan perang), habuan dari kemenangan Islam. Dalam perkiraan sekarang pula ialah untuk mendapat tender kontrak kerajaan dan habuan-habuan lain.

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

"Dan jika orang-orang kafir pula mendapat bahagian (yang menguntungkan dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada orang-orang kafir itu): "Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu dari (serang balas) orang-orang yang beriman?" (Surah an-Nisa': 141)

Apabila golongan kufar mendapat kemenangan, mereka mengaku bersama-sama dengan golongan itu. Mereka berada dalam kelompok Islam hanyalah sekadar meninjau keadaan, bukan betul-betul memberi sokongan kepada mereka.

Allah berfirman lagi yang bermaksud:

"Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat." (Surah an-Nisa': 141)

Di akhirat, Allah Taala akan memutuskan segala perbuatan yang kamu lakukan di dunia dahulu sama ada kepura-puraan kamu bersama Islam atau seumpamanya.

Biasanya golongan munafiq lebih banyak memberi bantuan kepada golongan kufar berbanding dengan kelompok Islam. Jika mereka mendermakan wang berjumlah RM1,000 kepada golongan Islam, RM10,000 didermakan pula untuk kelompok kufar. Inilah sifat yang ada pada mereka.

Firman-Nya yang bermaksud:

"Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman." (Surah an-Nisa': 141)

Allah Ta'ala tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk mengatasi orang-orang yang beriman.

Seorang lelaki bertanyakan Sayidina Ali r.a.: "Wahai Amirul Mukminin! Bagaimanakah ayat ini?"

Allah Taala menyebut bahawa Dia tidak memberi jalan kepada orang kafir untuk menguasai orang yang beriman sedangkan sering kali juga orang kafir mengatasi orang beriman termasuk dalam peperangan.

Sayidina Ali r.a. berkata: "Hampirilah aku! Hampirilah aku! Itu berlaku pada hari kiamat." Yakni di hari akhirat kelak, Allah mesti menjadikan orang yang beriman mengatasi orang kafir buat selama-lamanya. Tidak ada jalan langsung untuk orang kafir mengatasi golongan beriman pada hari itu.

 



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM

Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Reply via email to