Waspada tipu muslihat BN : Anwar

ALOR SETAR, 22 Feb (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Nasional (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim meminta kepada semua pendokong gerakan keadilan di negara ini khususnya di Kedah terus berwaspada dengan muslihat dan keangkuhan BN.

Menurutnya, pendokong keadilan juga perlu menumpukan perhatian mereka untuk menjelaskan kepada rakyat bahawa kuasa bukanlah sijil dan kesempatan untuk berbuat apa saja.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang dipecat jawatannya pada 2 Disember 1998 dan kini sedang menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata demikian dalam perutusan sempena Malam Sinar KeADILan Negeri Kedah yang diadakan di sebuah dewan China di sini, baru-baru ini.

"Kuasa bukanlah sijil dan kesempatan memunggah kekayaan negara untuk kepentingan anak-anak dan keluarga, membina mahligai, boros mendirikan projek mega dan memperkayakan kroni," tegasnya.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden Umno itu mendedahkan BN kini sudah tidak memperdulikan nasib para petani dan nelayan, guru dan pegawai rendah, peniaga kecil tidak diberikan pembelaan sewajarnya.

"Lebih ganas lagi ialah apabila usaha menghina ulama, mempersendakan hukum berterusan dan paling akhir ialah percubaan menyekat khutbah serta kegiatan dakwah," ujarnya mengulas perkembangan terkini.

Sebelum itu, Dato' Seri Anwar menyifatkan pilihan raya lalu telah menyaksikan gelombang pembaharuan yang menyakinkan Kedah yang sebelum ini melaungkan slogan BN dengan menonjolkan dua tokoh angkuh, Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar Kedah.

Menurutnya, Kedah kini menjadi benteng pertahan PAS dan Barisan Alternatif selepas PAS memenangi 1/3 daripada jumlah kerusi Dun iaitu 12 dari 36 kerusi dan mendapat lapan dari 15 kerusi parlimen di negeri itu.

"Saya hargai dokongan rakyat Kedah yang tidak hairan dengan ugutan dan leteran Perdana Menteri, mereka kini melihat kepada kepimpinan Dato' Ustaz Fadzil Mohd Noor, dengan kesederhanaannya tetapi tabah dan cukup berwibawa.

"Di bawah pimpinan beliau bersama rakan-rakan lainnya, PAS telah muncul sebagai parti yang kuat dan mampu menampung inspirasi perjuangan rakyat," tegasnya lagi.

Mesej beliau yang dibacakan oleh Naib Presiden KeADILan, Dato' Sheikh Azmi Ahmad itu juga mengingatkan helah dan rencana Umno dan BN sekarang ialah terus menekan PAS, Keadilan dan Baisan Alternatif.

Dengan semua akhbar dan TV dikuasai BN, mereka masih gentar dengan Harakah kerana takut rakyat mengetahui fakta dan kebenaran, ujarnya lagi.

Undang-undang, katanya, digunakan untuk menindas dan menekan pejuang Islam dan penegak keadilan sedangkan rasuah, penyelewengan, kronisme dan nepotisme mereka, terus dilindungi.

Dato' Seri Anwar pada akhirnya melahirkan keyakinan, dengan kepimpinan gigih Dato' Ustaz Fadzil dan rakan-rakan lainnya, Negeri Kedah pasti akan muncul sebagai negeri yang akan bersama Kelantan dan Terengganu menumbangkan pemerintahan BN.

Dengan itu, katanya, kepimpinan Dato' Ustaz Fadzil juga akan menghapuskan rasuah, kronisme dan nepotisme; melaksanakan sistem pentadbiran Islam yang adil dan menjalinkan kerukunan hidup damai antara kaum dan agama.

Akhirnya, beliau secara peribadi dan bagi pihak keluarga emngucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Kekanda Dato' Ustaz Fadzil, PAS, pimpinan KeADILan, DAP, PRM dan seluruh rakyat Kedah.

Turut berucap dalam majlis itu adalah Ketua Pemuda KeADILan, Saudara Ezam Mohd Noor, Ahli Parlimen Kuala Kedah, Haji Mohamad Sabu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Muslim Haji Osman dan Saudara Saifudin Nasution Ismail.

Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah diwakili oleh Puteri Reformasi, Cik Nurul Izzah Anwar dalam majlis yang turut disertai Persatuan Ulama Kedah (PUK), ABIM, DAP, Jim dan orang ramai.




COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM

Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Reply via email to