*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Lawati: http://www.parti-pas.org

KENYATAAN AKHBAR
                       YB. DATO’ FADZIL MOHD. NOOR
                 PRESIDEN PAS DAN KETUA PEMBANGKANG

                              28 FEBRUARI 2000

         ‘EPISOD IWK JANGAN BERULANG: HENTIKAN SEGERA SEMUA
             CADANGAN PENSWASTAAN YANG BELUM BERMULA’


      Rakyat kita dikejutkan lagi dengan pengumuman kerajaan untuk mengambil alih
      Indah Water Konsortium (IWK) yang dianugerahkan projek penswastaan
      pembersihan air kumbahan. Langkah ini dilakukan berikutan kerugian
      berterusan yang dialami dan ketidakmampuan IWK mengendalikan loji-loji
      perkhidmatan pembersihan air kumbahan sejak IWK mengambil alih
      perkhidmatan ini daripada pihak berkuasa tempatan 6 tahun lalu.

      Projek penswastaan ini telah mendapat tentangan hebat dari rakyat sejak
      mula ia dicadangkan dan dilaksanakan. Ianya merupakan tindakan yang sangat
      tidak popular sejak awal ianya diura-urakan. Kerajaan mengambil sikap tidak
      mengindahkan protes rakyat kerana seperti yang kita semua tahu, projek ini di
      kurniakan kepada orang tertentu yang mempunyai hubungan dengan pihak
      berkuasa. Rakyat juga telah meramalkan bahawa projek penswastaan ini akan
      gagal kerana rakyat sendiri boleh mengambil tindakan sendiri secara pasif dan
      aktif bagi menunujukkan ketidakpuasan mereka. Rakyat yang mana rumah
      mereka mempunyai sistem kumbahan sendiri tidak nampak mengapa mereka
      harus membayar kepada syarikat swasta bagi perkhidmatan yang mereka tidak
      perolehi. Menitipkan bil IWK dalam bil penggunaan bekalan air telah menaikkan
      kemarahan rakyat kerana mereka merasa seolah-olah diugut untuk dinafikan
      hak mendapat bekalan air seandainya tidak membayar bil IWK. Namun
      kerajaan tetap berdegil semata-mata bagi memastikan keputusan silap mereka
      terus dilaksanakan.

      Kini kerajaan melakukan satu lagi angkara yang memilukan, iaitu memberikan
      gantirugi kepada IWK yang gagal dalam jumlah yang besar, RM 200 juta,
      sebelum mengambil alih semula perkhidmatan pembersihan air kumbahan.
      Jumlah ini adalah tambahan kepada RM 1 bilion yang telah dileburkan dalam
      projek penswastaan ini. Rakyat langsung tidak dimaklumkan mengenai tindakan
      kerajaan ini melalui parlimen. Maka berkuburlah satu projek penswastaan
      kesayangan BN. Sampai bilakah BN boleh menipu rakyat dalam skim atau
      skandal seperti ini? Kita meramalkan beberapa lagi projek penswastaan akan
      turut menghadapi masa depan yang sama, seperti projek lebuhraya yang
      dikatakan menanggung hutang yang banyak. Kita dapat membaca bahawa
      wang rakyat akan terus digunakan bagi menebus kerugian pihak pemegang
      konsesi. Kini rakyat yang mempunyai maklumat tidak akan berdiam diri.

      Bagi mengelakkan sebarang kerugian di pihak rakyat dan kerajaan, Pas
      mendesak supaya:

         1.Semua langkah menswastakan perkhidmatan seperti penswastaan
           perkhidmatan kesihatan, IPTA, bekalan air dan sebagainya,
           diberhentikan segera.

         2.Kerajaan membatalkan keputusan membayar pampasan dengan wang
           rakyat kepada pihak swasta yang telah gagal dalam projek mereka dan
           wang rakyat ini  digunakan untuk membantu rakyat miskin dan
           kakitangan awam yang bergaji rendah.

         3.Kerajaan menjalankan kajian segera secara mendalam semua projek
           penswastaan yang telah dimulakan bagi mengenalpasti keberkesanan
           dan keuntungannya kepada rakyat dan bukannya selepas ia mengalami
           kerugian dan hampir bangkrap.

         4.Pihak kerajaan mengemukakan episod terbaru ini untuk dibincangkan
           dalam Dewan Rakyat dengan kadar segera.

      Jika pihak kerajaan tidak mengambil sikap telus membincangkan perkara ini di
      Parlimen, pihak Barisan Alternatif akan mengusulkan supaya isu ini dibahaskan
      melalui satu usul tergempar. Dalam masa yang sama Pas mengajak rakyat
      bersatu dalam menghadapi berbagai penyelewengan dan  penyalahgunaan
      kuasa yang dilakukan oleh pemerintah sekarang.

      Sekian.

      DATO’ FADZIL MOHD. NOOR
      Presiden Pas dan Ketua Pembangkang


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Aimi Diyana" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke