*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* { Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net } { Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] } { Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] } *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ WARKAH TERBUKA KE BAWAH DYMM RAJA-RAJA MELAYU 14 Dzulhijjah 1420 20 Mac 2000 Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Istana Negara Kuala Lumpur Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Ampun Tuanku, Adapun, patik pohonkan keampunan dari Ke Bawah Duli Tuanku kerana terpanggil untuk menulis warkah ini. Warkah ini juga terpaksa patik tulis secara terbuka kerana apa yang akan patik sentuh di dalam warkah ini adalah demi hendak melihat terpeliharanya kedaulatan DYMM Raja-raja Melayu dan demi hendak melihat terpeliharanya kesejahteraan rakyat di negara kita. Terlebih dahulu izinkan patik menjunjung kasih Ke Bawah Duli Tuanku dan Ke Bawah DYMM Raja-raja Melayu kerana telah berkenan menerima baik memorandum rakyat yang dipersembahkan pada 18 dan 19 September 1999, yang antara lain memohon belas ihsan dan campurtangan Ke Bawah DYMM Raja-raja Melayu dalam isu peracunan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh. Ketika itu, patiklah orangnya yang bertanggungajwab menyerahkan memorandum rakyat di pintu utama Istana Negara kepada pegawai-pegawai Tuanku yang menerimanya bagi pihak ke Bawah Duli Tuanku. Sekian lama berlalu, memorandum rakyat yang dipersembahkan bukan sahaja diterima oleh Ke Bawah Duli Tuanku dan Ke Bawah DYMM Raja-raja Melayu, malah ianya tidak pernah ditolak sama sekali oleh Majlis Raja-raja Melayu yang telah kerap kali bersidang selepas dari tarikh itu. Sekali lagi patik berserta dengan hamba rakyat yang lain menjunjung kasih Ke Bawah Duli Tuanku dan Ke Bawah DYMM Raja-raja Melayu kerana tidak melayan permintaan Mahathir supaya Majlis Raja-raja Melayu menolak memorandum rakyat tersebut. Hari ini, sebagai rakyat Tuanku yang bertanggungjawab yang sentiasa mendukung institusi Raja-raja Melayu, patik untuk julung-julung kalinya tampil dengan warkah terbuka untuk mempertahan kedaulatan institusi Raja-raja Melayu dan menyelamatkan maruah bangsa ini dari dimangsa dan dirobek kehormatannya oleh seorang manusia yang bernama Mahathir Mohamad. Mahathir Mohamad baru-baru ini telah memulakan gendang dengan membuat kenyataan mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh Raja-raja Melayu dalam menyelamatkan bangsa Melayu dari berpecah belah. Kenyataan Mahathir telah disambut dan disokong oleh beberapa pihak yang selama ini memang menjadi burung belatuk dan pengampu utama Mahathir. Tidak ketinggalan, akhbar-akhbar utama milik mereka terutama Mingguan Malaysia bertarikh 19 Mac 2000 dalam ruangan rencana pengarangnya telah dengan biadap mempersoalkan kewibawaan institusi Raja-raja Melayu disambut dengan beberapa rencana khusus pada keluaran akhbar tersebut. Sesungguhnya, kenyataan Mahathir yang menyentuh peranan Raja-raja Melayu dan tingkah laku akhbar-akhbar yang mendukungnya adalah merupakan perancangan politik Mahathir untuk mengalih bebanan serangan dan kebencian rakyat terhadapnya. Justeru itu, Mahathir mahu supaya Raja-raja Melayu dijadikan mangsa untuk bertempur dengan rakyat yang mana episod ini akan berakhir dengan keuntungan di pihak Mahathir. Perkara yang sama juga telah dia lakukan semasa negara mengalami krisis ekonomi pada tahun 1997, dengan menjadikan George Soros sebagai objek terbaik untuk dimangsakan bagi menutup segala kepincangan dan kelemahannya. Dia turut berjaya memainkan sentimen rakyat bahawa Soros adalah seorang Yahudi tetapi dalam masa yang sama dia terus berurusan dengan Yahudi lain yang menjadi penasihatnya iaitu Solomon Smith Barnie. Jelas, Soros diserang bukan kerana kebencian Mahathir pada Yahudi tetapi kerana Soros adalah sasaran terbaik Mahathir untuk menutup rasuah, penyelewengan beliau dan kroni-kroninya yang menjadi punca utama krisis ekonomi. Patik ingin menarik pemerhatian Tuanku bahawa perpecahan di kalangan Bangsa Melayu pada hari ini adalah kerana angkara Mahathir sendiri. DYMM Raja-raja Melayu tidak pernah berbuat perkara-perkara yang menyakiti hati rakyat, tidak pernah menganiaya rakyat apalagi menipu dan memperbodohkan rakyat khususnya Bangsa Melayu sehingga berlakunya pecah belah. Siapakah yang memulakan fitnah terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim? Siapakah yang mempersenda hukum Allah? Siapakah yang telah menghina sunnah Baginda Rasullullah SAW? Siapakah yang telah mendera rakyat? Siapakah menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman? Siapakah yang telah memperalatkan semua instrument dan jentera kerajaan? Siapakah yang telah memperalatkan mahkamah? Siapakah yang melindungi rasuah dan salahguna kuasa pemimpin-pemimpin kerajaan? Siapakah menguasai Jabatan Peguam Negara? Siapakah yang merestui tindakan terhadap rakyat yang menyokong pembangkang? Persoalan yang telah patik bangkitkan di dalam warkah ini merupakan angkara Mahathir yang menjadi titik tolak kepada perpecahan Bangsa Melayu. Pada kesempatan ini, sukalah patik memetik sebahagian dari inti pati ucapan YBhg Tan Sri Musa Hitam, seorang pemimpin UMNO yang pernah menjadi Timbalan Presiden UMNO sewaktu beliau merasmikan Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Johor Bahru pada 19 Februari 2000. Antara lain beliau menyatakan : "Yang memecah belahkan Parti kita ialah budaya politik dalam UMNO sekarang. Iaitu kedua-dua pihak yang menang dan kalah sedar bahawa yang kalah akan terus dikutuk, dikecam dan dihalang bukan sahaja dalam aktiviti politiknya tetapi juga ke peringkat periuk nasi mereka. Bukan sahaja yang bertanding, yang menyokong pun akan mengalami sama. Kerjanya terancam, perniagaannya, pinjam-pinjamannya daripada institusi-institusi kewangan, biasiswa anak-anak pun terancam. Tidak hairanlah pertandingan begitu sengit dan akhirnya memecah belah…ini semua yang memecah belah! Benci membenci berterusan, permusuhan berterusan dan singkir menyingkir terus berlaku. Dengan keadaan demikian pertandingan dalam UMNO benar-benar merupakan " a matter of life and death"! Kenyataan seorang bekas pemimpin negara ini yang masih lagi di dalam UMNO jelas membukti bahawa punca kepada perpecahan bangsa Melayu adalah Mahathir dan budaya yang dia terapkan di dalam UMNO. Sememangnya kenyataan ini ada kebenarannya. Inilah yang sedang berlaku di negeri Melaka di mana penganiyaan terhadap golongan yang menyokong pembangkang sedang dilakukan secara meluas dan mengganas. Tindakan pimpinan kerajaan negeri Melaka ini, telah mendapat restu Mahathir. Untuk itu patik menjangkakan lain-lain pimpinan negeri akan mengikut jejak langkah yang sama. Pegawai kerajaan, peniaga, pegawai masjid, peguam, doktor, kakitangan bank menjadi mangsa politik dendam, politk pecah belah ciptaan Mahathir. Patik bimbang sikap tidak demokratik Mahathir ini akan berlanjutan ke tengah masyarakat dan akan menyebabkan perpecahan yang semakin parah di kalangan bangsa Melayu. Kisah baru-baru ini di mana pertempuran berlaku di salah sebuah masjid di daerah Selangor antara pegawai Jabatan Agama Islam dan ahli kariah masjid sehingga senjata api hampir digunakan oleh pegawai tersebut untuk memaksa rakyat menerima nama pegawai masjid yang pro-parti pemerintah yang ditolak oleh ahli kariah masjid tersebut seharusnya menjadi iktibar kepada kita semua. Pada kesempatan ini sukalah patik mengimbau kembali tarikh 14 April 1999. Pada tarikh itulah Dato' Seri Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman 6 tahun penjara bermula dari tarikh dijatuhkan hukuman. Pada tarikh itu jugalah bermulanya pencabulan kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan negara. Dalam tempoh itu, Suruhanjaya Siasatan DiRaja telah ditubuhkan dengan perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan DYMM Raja-raja Melayu untuk menyiasat sebab dan punca kecederaan yang dialami oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Suruhanjaya itu juga telah diminta melaporkan secara terperinci serta memberikan cadangan-cadangan yang berkaitan dengan hasil siasatannya. Hasil siasatan Suruhanjaya tersebut telah mendapati bahawa Bekas Ketua Polis Negara, Rahim Noor telah membelasah dan mencederakan Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan. Seterusnya, Suruhanjaya tersebut telah mencadangkan supaya Rahim Noor didakwa di bawah peruntukan undang-undang yang membolehkan beliau dipenjara selama 7 tahun. Bagaimanapun, cadangan Suruhanjaya Siasatan Di Raja itu telah tidak dihiraukan oleh Peguam Negara dengan meminda-minda kepada peruntukan undang-undang yang lebih ringan hukumannya. Peguam Negara bukan sahaja engkar kepada cadangan Suruhanjaya Siasatan Di Raja tetapi yang jelas dia telah menderhaka dan biadap kepada DYMM Raja-raja Melayu. Ini semua dengan restu Mahathir. Sekadar makluman Tuanku, patiklah orangnya yang mula-mula mendakwa kecederaan Dato' Seri Anwar adalah angkara Rahim Noor. Pada waktu itu, seluruh negara sedang ditipu oleh Mahathir bahawa Dato' Seri Anwar memukul dirinya sendiri. Kedengaran juga penafian dari Rahim Noor sendiri bahawa beliau atau mana-mana anggota polis tidak terlibat dalam mencederakan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Dakwaan patik ketika itu bukan omong kosong. Patik ada bukti kukuh ketika membuat pendedahan dan dakwaan itu. Setelah dihadapkan ke muka pengadilan, rakyat terperanjat dengan perubahan sikap Rahim Noor yang tiba-tiba menukar pengakuan tidak bersalah kepada mengaku bersalah. Ini sebenarnya adalah perancangan Mahathir dalam usaha untuk mengelak dari terbongkarnya rahsia bahawa dialah orangnya yang mengarahkan supaya Dato' Seri Anwar di pukul. Patik sekali lagi punya bukti kukuh dalam dakwaan ini. Untuk itu, Insya Allah sekali lagi pada 14 April 2000 bersamaan hari Jumaat, patik akan bersama-sama rakyat untuk menyerahkan memorandum Ke Bawah Duli Tuanku. Memorandum ini memohon perkenan Duli Tuanku untuk membawa keperhatian Majlis Raja-Raja kegawatan institusi-institusi terpenting negara yang telah menjadi mangsa kerakusan seorang Perdana Menteri yang takut hilang kuasa. Institusi kehakiman, jabatan Peguam Negara, Instiusi Polis, Badan pencegah Rasuah kesemuanya merupakan insitusi pelaksana hukum yang seharusnya menjadi paksi kepada sistem bernegara tetapi telah diperalatkan Mahathir untuk menyelematkan dirinya yang sudah tidak mendapat tempat dihati rakyat. Memorandum tersebut memohon perkenan Majlis Raja-raja untuk melakukan sesuatu bagi menyelamat institusi ini dari terus menjadi alat Mahathir dan akan membawa kepada keruntuhan sebuah negara yang berdaulat. Dakwaan dan hukuman terhadap Dato Seri Anwar, tangkapan dan dakwaan terhadap ribuan rakyat yang berhimpun secara aman, tangkapan dan dakwaan terhadap pemimpin politik dibawah akta polis, akta hasutan, akta rahsia rasmi, sekatan terhadap edaran Harakah, tangkapan dan dakwaan terhadap pengarang dan pencetak Harakah, kes rasuah Rafidah yang secara tiba-tiba ditutup, dan yang terbaru peranan Rahim Noor memukul Anwar dan dakwaan dan hukuman yang diberikan kesemuanya merupakan bukti jelas pencerobohan kuasa politik terhadap institusi-institusi pelaksana hukum tersebut.. Langkah patik kali ini, adalah langkah rakyat yang bertanggungjawab yang mahu Institusi Raja-Raja Melayu terus diperlihara dan berdaulat serta menentang sebarang usaha memperalat DYMM Raja-Raja untuk kepentingan politik sempit kerajaan pimpinan Mahathir. Tahun lepas patik dan puluhan ribu rakyat berhimpun untuk melakukan langkah yang sama. Bermula dengan solat hajat di Masjid Negara, selepas itu patik bercadang menghadap Ke Bawah Duli Tuanku. Malangnya, selepas memulakan langkah, patik dapati ramai rakyat yang tidak berdosa yang dipukul, ditahan dan dipancut dengan air asid oleh pasukan keselamatan yang mendapat arahan langsung daripada Abdullah Badawi. Sehari selepas itu patik dan ramai teman-teman telah ditangkap dan disumbat ke dalam lokap hanya kerana bersolat hajat di masjid negara. Cadangan untuk menghadap Tuanku juga suatu kesalahan di mata Mahathir. Luka di hati rakyat begitu parah dan dalam pada hari tersebut, pengalaman lokap memang mengerikan tetapi kami tidak sedikitpun patah semangat. Kami masih percaya, Ke Bawah Duli Tuanku yang menjadi Raja kami sentiasa mendengar dan bersimpati. Sebab itulah kami akan terus melangkah ke Istana. Semangat dan azam kami tetap sama cuma bezanya kali ini langkah kami ini bukan lagi untuk mempertahankan kesejahteraan rakyat semata-mata tetapi untuk mempertahan keutuhan instusi Raja-raja Melayu yang sedang diserang oleh manusia durjana bernama Mahathir Mohamad. Kami percaya negara perlu dikembalikan kepada semangat kemerdekaan Tanah Melayu sebagaimana yang termaktub dalam permahsyuran kemerdekaan yang di bacakan oleh Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di hadapan DYMM Raja-raja Melayu dan di hadapan rakyat. Antara lain YTM Tunku menyatakan, "Maka dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Mengasihani saya Tunku Abdul Rahman Putera Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu dengan persetujuan dan perkenan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Negeri-negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai daripada 31hb. Ogos Tahun 1957 maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi di dalamnya negeri-negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah SWT akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kepada kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyat dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa." Patik mohon ribuan ampun dan maaf di atas segala kekurangan. Daulat Tuanku. Mohamad Ezam Mohd Nor ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB) ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB) ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan ) ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net ) ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] ) ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Pengirim: abuhanif <[EMAIL PROTECTED]>