KENYATAAN AKHBAR
 
OLEH PIMPINAN WANITA BARISAN ALTERNATIF
 
24 MAC 2000
 
 
 
Pilihanraya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Sanggang sekali lagi akan
memberi kesempatan kepada rakyat khususnya pengundi di kawasan DUN Sanggang
untuk membuat pemilihan ke arah perubahan untuk mengembalikan maruah bangsa
dan negara.
 
Kami yakin pengundi di DUN Sanggang matang, mengikuti perkembangan semasa
serta tahu menilai bahawa negara sekarang berada di persimpangan jalan dengan
arus perubahan terus berkembang.
 
Dalam pilihanraya yang lalu kita tahu peratusan rakyat yang mengundi Barisan
Alternatif telah menggoncang Barisan Nasional khususnya pimpinan UMNO bahawa
angin perubahan adalah nyata dan mereka tidak mampu menahan angin perubahan
ini.
 
Sekian lama hak rakyat tercemar dan kami di Wanita Barisan Alternatif ingin
mengambil kesempatan seperti pilihanraya kecil DUN Sanggang untuk
memaklumkan kepada masyarakat Malaysia tentang hak-hak mereka khususnya
kaum wanita.
 
Barisan Wanita Alternatif, PAS, Parti Keadilan Nasional, DAP dan PRM, akan
bersama-sama dalam satu pakatan yang padu turun ke Sanggang untuk
memperjelaskan tentang isu-isu seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, sikap angkuh
dan ketidakadilan yang sedang berlaku di negara kita.
 
Kita yakin Barisan Alternatif akan dapat meyakin pengundi DUN Sanggang bahawa
kehadiran kami adalah realiti untuk jangkamasa panjang dan bukan pakatan yang
hanya untuk pilihanraya. Ini telah jelas selepas pilihanraya umum kita tidak roboh
seperti dikatakan oleh BN malah kami semakin mantap.
 
Sehubungan dengan ini, Wanita Barisan Alternatif menyeru kepada Kerajaan BN
untuk mempastikan dalam pilihanraya kecil DUN Sanggang segala peraturan
dipatuhi. Kita tidak mahu melihat lagi penyalahgunaan jentera dan kemudahan
Kerajaan dipergunakan dengan alasan seperti lawatan pimpinan negara ke kawasan
Sanggang.
 
Akhir sekali kita yakin pada 1 April 2000 masyarakat Sanggang akan menjadi
pelupor kepada obor perubahan ke arah pembentukan Kerajaan baru dalam
pilihanraya umum akan datang dengan memilih Datuk Hishamuddin Yahaya, calon
Barisan Alternatif bagi DUN Sanggang.
 
DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL


COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Reply via email to