*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
ASSALAMUALAIKUM.......


ILMU ZAHIR DAN ILMU BATIN

Syariat yang pada umumnya dan pada asalnya bererti jalan yang lurus (Sirat 
al-Musraqim) yang sentiasa kita pohon dan kita pinta pada setiap detik dan 
ketika kurang dari 17 kali pada sehari semalam ketika sembahyang. Melalui 
manusia tidak terkeluar dari lingkungan daerah Iradatu'llah. Maka setiap 
gerak dan perbuatan dalam perjalanan dan pengembaraan hidup manusia tadi 
akan terbentuk acuan Allah (Sibghatullah). Selanjutnya segala gerak dan 
perbuatan dalam hidupnya itu adalah pengabdian kepada Allah.

Syariat juga adalah merupakan batas hukum yang merangkumi segala aspek 
kehidupan insan, sama ada yang berupa suruhan atau perintah wajib dan sunat 
ataupun yang berupa larangan dan tegahan haram dan makruh. Segala aspek 
kehidupan manusia terangkum dalam gerak laku atau amal perbuatan (al'Amal). 
Amal perbuatan itu pula terbahagi kepada dua bahagian yang terbesar. Amal 
perbuatan yang bersifat lahir dan bersifat batin. Amal perbuatan lahir ialah 
amal perbuatan dari anggota badan yang lahir yang dapat dilihat dan 
disaksikan, sama ada yang berhubung dengan ibadat, seperti solat, puasa, 
zakat dan jihad haji ataupun faraidh dan hukum nikah, ataupun juga yang 
berhubung dengan muamalat atau budi-bicara untuk mendapatkan keperluan hidup 
atau urusan ekonomi. Sama ada dalam soal makan dan minumnya atau dalam soal 
pakaian dan perhiasannya, ataupun dalam soal kediaman dan kesihatannya.

Amal perbuatan batin pula ialah amal perbuatan yang tersembunyi dan tidak 
dapat dilihat atau disaksikan, iaitu amal perbuatan yang bersifat kejiwaan 
dan kerohanian. Amalan batin ini juga dinamakan amal perbuatan hati ('Amal 
al-Qalb) atau gerak lintasan nafsu, sifat-sifat nafsu dan peringkatnya. 
Seperti niat, ikhlas, sidq, tasdiq, Iman, yakin, Ma'rifat, tawakkal, 
muhabbah, ridho, zkir, inabah, al-khawf, al-Raja', al-khassyyah, 
al-muraqabah, al-fikrah, al-i'tibar, al-sabr, al-qana'ah, al-taslim, 
al-tafwid, al-khasyyah, al-nadam, al-haya', al-ta'zim, al-ijlal, al-haybah 
dan lain-lain.

Dengan pengertian ini amal perbuatan manusia itu ada zahir dan batinnya, 
selaras dengan tabiat kejadian manusia itu sendiri yang tersusun dari dua 
unsurnya. Unsur jasmani atau unsur fiziknya yang lahir dan unsur rohaninya 
yang batin. Supaya amal perbuatan dalam kedua-dua bahagiannya itu selaras 
dan selari, tepat dan menepati Iradatu'llah, dengan jalan atau syariat-Nya 
maka pastilah diketahui tentang hukum dan hakikatnya, yang disuruh dan yang 
dilarang, yang diperintah dan yang ditegah, yang wajib dan yang haram, yang 
sunat dan yang makruh, yang utama dan yang lebih utama. Jelasnya untuk 
maksud ini maka perlulah ilmu dan pemahaman atau "fiqeh", juga fahaman yang 
lebih mendalam dan terkhusus "Tafaqquh".

Ilmu Syariat - Ilmu tentang amal perbuatan yang zahir dan batin ini adalah 
berasal dari satu jua, iaitu ilmu syara' atau syariat. Hukum-hukum ke atas 
amal perbuatan kita yang bersumber secara langsung dari Al-Qur'an tidak 
sempurna tanpa berpandukan kepada Hadis Rasulullah SAW yang merupakan hanya 
Baginda seorang sahaja manusia yang diberikan "authority" secara mutlak oleh 
Allah seperti yang ditegaskan oleh Al-Qur'an, untuk menjadi penjelas dan 
penerang melalui kata-kata, perbuatan dan diamnya. Dengan lain perkataan 
bahawa ilmu dan pengetahuan kita tentang amal perbuatan yang zahir ataupun 
yang batin yang selaras dan menepati syara' melalui sumber Al-Qur'an tidak 
sempurna tanpa contoh dan tauladan yang praktik dari Rasulullah SAW Di 
samping penerangan dan penjelasan melalui kata-kata dan diamnya. Dari 
sinilah dikatakan bahawa ilmu Islam atau yang dihubungkan dengan Islam 
pastilah bersumber dari syariat (al-Kitab dan al-Sunnah).

Ilmu Zahir dan Ilmu Batin - Penjelasan di atas membuktikan bahawa ilmu ada 
zahir dan batinnya, sebagaimana amal perbuatan manusia itu ada zahir dan 
batinnya, demikian juga unsur kejadiannya itu mempunyai zahir dan batinnya.

(Sifat naluri manusia juga mempunyai zahir dan batinnya, makanan, pakaian 
dan kebersihannya mempunyai zahir dan batinnya, perjuangan atau jihadnya 
mempunyai zahir dan batinnya seterusnya musuh manusia juga mempunyai zahir 
dan batinnya.)

Begitu juga Al-Qur'an ada zahir dan batinnya. Hadis itu ada zahir dan 
batinnya. Syara' atau syariat itu ada zahir dan batinnya, seterusnya Islam 
itu juga mempunyai zahir dan batinnya.

Apabila ahli Sufi mengemukakan pendapat ini, janganlah hendaknya disalah 
fahamkan atau disalah mengertikan lalu dirangkumkan ke dalam golongan yang 
sesat. Sebenarnya "zahir dan batin" merupakan suatu perkataan yang tabi'i 
atau natural pada setiap yang wujud. Konsep lahir dan batin ini diakui oleh 
Al-Qur'an dan Hadis.


Firman Allah Ta'ala, bermaksud :

"Dial-ah (Allah) yang awal dan Dia-lah yang akhir, dan Dia-lah yang zahir 
dan Dia-lah yang batin."

[Al Hadid : 3]


Firman Allah Ta'ala, bermaksud :

"Apakah tidak kamu lihat Allah telah menciptakan segala yang di langit dan 
segala yang di bumi untuk faedah kamu dan Dia (Allah) telah melimpahkan 
nikmat-nikmat-Nya yang zahir dan batin ke atas kamu, dan sesungguhnya 
manusia ada yang (sanggup) berjidal (berdebat) tentang Allah tanpa ilmu, 
tanpa petunjuk dan tanpa kitab yang (mengandungi) cahaya (kebenaran)."

[Al Luqman : 20]


Firman Allah Ta'ala, bermaksud :

"Dan buanglah dosa yang zahir dan batinnya. Mereka yang melakukan dosa akan 
diberi balasan dari apa yang mereka lakukan."

[Al A'rah : 151]


Firman Allah Ta'ala, bermaksud :

"Dan jangan kamu dekati perkara keji (al-Fawashiha) sama ada yang zahir 
ataupun yang batinnya."

[Al An'am : 120]


Firman Allah Ta'ala :

"Katakanlah bahawa Tuhanku (Allah) hanya mengharamkan segala yang keji, 
zahir dan batinnya, dan dosa, dan kezaliman tanpa yang haq, dan 
menyengutukan Allah dengan sesuatu yang tidak diberikan sultan (kuasa atau 
keterangan), dan menyatakan (tentang) Allah dengan perkara yang kamu tidak 
ketahui."

[Al An'am : 151]


Pada zahirnya ayat-ayat ini menjelaskan bahawa dalam Islam ada zahir dan 
batin. Ayat-ayat ini memberikan fahaman yang jelas bahawa amal perbuatan, 
sama ada amal perbuatan yang baik dan salih ataupun perbuatan yang jahat dan 
keji, atau maksiat ada sudut zahir dan batin. Berdasarkan hakikat ini maka 
ilmu tentang amal perbuatan tadi mempunyai zahir dan batinnya. Pembahagian 
ilmu pada zahir dan batin tidak dapat dinafikan oleh setiap insan yang 
berpandangan dan berfikiran luas.

Ia hanya akan dinafikan oleh golongan yang hanya berkecimpung dalam ilmu 
zahir, kerana tidak mengetahuinya dari Al-Qur'an dan Hadis selain 
hukum-hukum yang zahir, yang boleh dijadikan bahan berhujah dengan pihak 
lain. Orang lebih cenderung kepada ilmu ini kerana lebih senang untuk 
mendapat kedudukan dan nama di kalangan orang awam, juga untuk mendapat 
kemewahan dunia.

Jika kita kembali kepada Hadis terdapat juga Hadis-hadis yang menguatkan 
konsep ilmu zahir dan batin.

Firman Allah Ta'ala, bermaksud :

"Tidak ada khilaf dari kalangan ahli ilmu dari seluruh umat Muhammad bahawa 
Rasulullah SAW telah diperintahkan supaya menyampaikan segala yang 
diturunkan."

[Al Ma'idah : 67]


Tetapi ada pula Hadis yang mengatakan, maksudnya :

"Sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui nescaya kamu sedikit 
ketawanya dan banyak menangisnya, nescaya kamu tidak berseronok-seronok 
dengan isteri-isteri kamu di tempat tidur; nescaya kamu melarikan diri ke 
padang melaungkan nama Allah."


(Hadis ini dari Abu Dzar r.a. yang diriwayatkan oleh Bukhari dengan ringkas 
juga oleh al-Hakim dengan tashihnya. Juga oleh al-Turmizi dengan sedikit 
perbezaan, juga oleh al-Syaykhan dari Hadis Anas. Pernah diriwayatkan oleh 
Bukhari dari Aisyah r.a. sementara al-Hakim dan al-Tabrani dari Hadis Abu 
Darda' tashihkan oleh al-Hakim dan diakui oleh al-Dzahabi. Sila rujuk 
"Takhrij al-Hadis" oleh al-Iraqi dalam al-Luma').

Jikalau ilmu yang diketahui oleh Rasulullah SAW itu termasuk dalam ilmu yang 
wajib disampaikan kepada umum nescaya telah disampaikan oleh Rasulullah SAW.


"Sesungguhnya setengah daripada ilmu itu ada yang seperti bentuk 
tersembunyi, yang tidak diketahui melainkan oleh mereka yang berilmu dengan 
Allah (al-'Alimun Billah Ta'ala)."


Suatu yang tidak dapat dinafikan oleh golongan ahli ilmu bahawa di antara 
kalangan para sahabat ada yang diberikan keistimewaan tersendiri yang tidak 
ada pada yang lainnya, seperti Huzaifah bin Yaman yang diberikan 
"keistimewaan" oleh Rasulullah SAW iaitu ilmu tentang nama-nama orang 
munafiq, sehingga Saiyidina Umar Al-Khataab selalu bertanyakan beliau 
tentang dirinya kerana takutkan kalau-kalau dirinya termasuk dalam senarai 
golongan munafiqin.

"Kami dari golongan para Nabi-nabi telah diperintah supaya berbicara dengan 
manusia mengikut kadar akalnya."

Dari Saiyidina Ali KWJ telah diriwayatkan bahawa beliau telah menyatakan 
sambil menunjukkan ke dadanya (qalbun), bermaksud :

"Sesungguhnya di sinilah segala ilmu, kiranya dengan engkau bawakan 
kenderaan untuk membawanya."


Dari Ibnu Abbas telah diriwayatkan, ketika mentafsirkan ayat 12 surah 
Al-Talaq, membawa maksud :

"Dia-lah (Allah) yang mencipta tujuh langit dan seperti itu juga (mencipta) 
bumi, perintah Allah berlaku padanya. Kiranya aku cuba menerangkan 
tafsirannya nescaya kamu akan merejam aku."


Diriwayatkan pula dari Abu Hurairah, katanya :

"Aku telah menghafal dua jenis doa dari Rasulullah SAW. Jenis pertama aku 
sampaikan pada orang lain dan jenis kedua jika aku ajarkan pada orang lain 
nescaya aku akan menerima hukum pancung."

[Al-Ghazali, Ihya' Ulumiddin]


Wallahu ta'ala a'lam.......

TO BE CONTINUED....

Al-Fakir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri
________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Abdul Jamil Lam" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke