*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

KINI 
2 May 2000 Edisi 131 
27 Muharram 1421

Pekerja Tuntut Akta Gaji Minima 

Tidak ada para menteri. Tidak ada pemimpin-pemimpin
besar kesatuan sekerja. Tetapi seribu orang pekerja
telah berhimpun menyambut 1 Mei di sebuah ladang
bernama Ladang Strathisila, di Cemor Ipoh. Perhimpunan
Hari Buruh itu dianjurkan bersama oleh beberapa buah
pertubuhan NGO, PSM dan juga parti-parti politik dari
Barisan Alternatif. 

Pada pagi yang cerah itu, perhimpunan pekerja yang
kebanyakannya dari sektor perladangan berlangsung
dengan meriah. Majlis bermula jam sepuluh pagi dengan
pelbagai acara seperti ucapan, pembacaan puisi, muzik
dan nyayian serta tarian. Juga dipersembahkan beberapa
buah drama ringkas menceritakan kisah perjuangan kaum
pekerja di beberapa tempat di Malaysia ini. Kain
sepanduk yang membawa tema 1 Mei tahun ini, iaitu
"Pekerja Menuntut Akta Gaji Minima" telah dilepaskan
ke udara bersama belon-belon yang berwarna-warni. Ia
dilepaskan oleh pekerja-pekerja sendiri, bukannya para
menteri atau tokoh-tokoh VIP. Dalam perhimpunan 1 Mei
di Ipoh itu, tidak ada protokol rasmi. Semuanya sama,
sama ada para aktivis sosial atau pun kaum pekerja. 

Para pekerja pelbagai kaum, dari Ipoh, Pulau Pinang,
Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan lain telah datang
dengan bas yang disewa khas, kereta, van serta
bermotorsikal. Turut serta ialah para pekerja di
Ladang Strathisila itu sendiri. Mereka yang sedang
menghadapi masalah pengusiran dari ladang itu telah
diberi penghormatan sebagai tuan rumah. Teman-teman
kaum pekerja yang lain datang ke ladang itu sebagai
tanda sokongan moral terhadap perjuangan mereka. 

Sambutan Hari Buruh di kawasan amat sederhana di
tengah ladang, tidak jauh dari Tol Plaza Jelapang,
Ipoh yang dikelilingi oleh Lebuhraya Utara-Selatan dan
banjaran bukit dan gunung, berlangsung dengan begitu
bersemangat dan keratif. Ada acara perarakan dari
jalan besar masuk ke estet itu. Perarakan diiringi
dengan pukulan gendang dan irama muzik. 

Acara seterusnya dijalankan di tanah lapang dan juga
di dewan bersebelahan. Dewan di estet yang beratap
asbestos dan berdinding sekerat itu amat jauh sifatnya
dari Dewan Merdeka PWTC atau dewan-dewan mega lain di
Kuala Lumpur. 

Tepat pukul 11 pagi dibacakan sepuluh tuntutan kaum
pekerja. Tuntutan-tuntutan itu ialah



1.Akta gaji minima dilaksanakan, 2.Hari bekerja lima
hari; 3.Cuti bersalin 90 hari, 4.Penggunaan KWSP -
Biar pekerja menentukan, 5.Hak perumahan atau tanah
untuk kaum pekerja, 6.Perkhidmatan kesihatan percuma
dan berkualiti, 7.Hak pendidikan untuk semua,
8.Penswastaan yang membebankan rakyat dimansuhkan,
9.Hak bersuara, berhimpun dan berpersatuan dan
10.Perlindungi saksama hak pekerja asing. 



Demikianlah tuntut asas, malah paling asas bagi sebuah
negara seperti Malaysia yang telah merdeka hampir 43
tahun! 

Kejayaan perhimpunan pekerja itu atas usaha dan
kegigihan para pekerja dan juga aktivis masyarakat
serta NGO yang telah terlibat bertahun-tahun membela
nasib kaum pekerja yang teranianya itu. Misal paling
jelas ialah tentang nasib para pekerja ladang
Strathisila itu sendiri, di mana perhimpunan itu
diadakan. Mereka adalah pekerja ladang getah. Tetapi
ladang getah itu telah dijual oleh tuanpunya kepada
pihak pemaju. Dengan sekelip mata para pekerja itu
hilang pekerjaan dan tempat tinggal. Perbuatan majikan
yang tidak adil dan tidak bertimbangrasa itu telah
ditentang oleh para pekerja ladang itu. Setakat ini,
mereka masih mampu bertahan. Kelihatan para pekerja
itu masih tinggal di rumah-rumah kuaters di ladang
itu. Tetapi pekerjaan mereka telah hilang. Mereka
tidak dapat pampasan. Sebaliknya mereka diancam
pengusiran pada setiap masa. Di sekeliling rumah
kuaters mereka itu, kawasan bekas ladang itu sedang
dibangunkan. Bukit-bukit telah gondol ditarah oleh
mesin jentolak. Nasib malang para pekerja di Ladang
Strathisila itu adalah contoh jelas bagaimana
pembangunan telah dilakukan atas kesengsaraan rakyat
biasa yang lemah dan miskin. 

Isu keadilan, hak untuk hidup dan hak bersuara begitu
ketara sekali dituntut oleh para pekerja, terutama
sekali para pekerja ladang dari kaum India. Golongan
pekerja India yang miskin, terabai dan tertekan telah
hadir dengan begitu ramai dalam perhimpunan 1 Mei di
Ipoh itu. MIC dan Samy Vellu serta Barisan Nasional
gagal memberikan keadilan kepada para pekerja ladang. 

Di samping itu, ramai juga para pekerja Cina,
khususnya petani yang menanam sayur menceritakan nasib
susah hidup mereka. Mereka berucap di atas pentas
dalam bahasa Cina dan diterjemahkan oleh rakan petani
di kalangan mereka ke dalam Bahasa Malaysia dan juga
Tamil. Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia dalam
batas-batas tertentu ternyata menjadi "lingua franca".
Bahasa Inggeris langsung tidak relevan dalam
perhimpunan rakyat kelas bawahan Melayu, Cina dan
India itu. 

"Kami petani tanam sayur." Kata seorang petani Cina
berucap di atas pentas dalam bahasa ibundanya. "Kami
telah bercucuk tanam selama 80 tahun. Kami memohon
pada kerajaan. Kami tidak minta banyak. Kami minta
empat lima ekar sahaja. Tetapi kerajaan tidak bagi.
Kerajaan bagi pada korporat. Bukan empat lima ekar." 

"Tapi kerajaan bagi sampai ratus-ratus dan ribu ekar.
Perdana Menteri, Dr Mahathir baru kata suruh rakyat
tanam sayur. Kami tanam sayur. Tapi sini, di Perak,
kebun sayur kami mereka kasi tolak habis. Adakah ini
adil?" tanya petani itu. 

Wakil-wakil dari PSM, PRM, PAS, dan Parti Keadilan
Nasional turut dijemput memberi ucapan ringkas
masing-masing bersempena perhimpunan 1 Mei itu. Tetapi
pesembahan sebuah drama oleh pelajar universiti dari
KL telah menangkap perhatian para hadirin di
perhimpunan Hari Buruh itu. Dua orang pelakon lelaki
yang masih muda dan berbakat itu telah menceritakan
tentang isu kekerasan dasar sebuah kerajaan yang
menggunakan undang-undang untuk menangkap dan
menghukum para penentang yang berani bersuara bagi
menegakkan kebenaran dan keadilan. 

Ada baiknya orang-orang seperti Senator Zainal Rampak,
Samy Vellu, Fong Chan Onn dan para pemimpin Cuepacs,
MTUC serta kesatuan sekerja lainnya sekali sekala
menyertai perhimpunan pekerja seperti yang berlangsung
di Ipoh pada 1 Mei ini. Tanpa rasmi-rasmian, tanpa
basa-basi, para pekerja itu telah menyuarakan isu
sebenar tentang nasib kehidupan mereka. 

  

Subscribe to KINI & The Malaysian 

__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Send instant messages & get email alerts with Yahoo! Messenger.
http://im.yahoo.com/

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: si tora jebat <[EMAIL PROTECTED]>

Reply via email to